"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak Mak Cik Kemboja cabar orang ramai bersemuka

MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
TINDAKAN seorang lelaki yang mendakwa anak kepada Mak Cik Kemboja' yang mengatakan orang Melayu malas dan mencabar orang ramai bersemuka dikhuatiri menambah kemarahan rakyat terhadap masyarakat berketurunan Kemboja di negara ini.
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dipercayai anak kepada ‘Mak Cik Kemboja’ tampil membela ibunya daripada kritikan netizen ekoran kenyataan mengatakan orang Melayu malas dibuat wanita berkenaan.

Lelaki itu dalam satu hantaran berdurasi 29 saat dalam media sosial turut mencabar orang ramai agar bersemuka dengannya di kilang yang dipercayai milik wanita berkenaan.

“Anak Mak Cik Kemboja kat sini. Aku cabar kau, kau ‘face’ (bersemuka) dengan aku kat kilang ni, yang kau hina tu emak aku tahu.

“Kalau setakat menyalak macam anjing, gong gong gong gong gong, ha ni anak Mak Cik Kemboja kat sini, aku dah tak takut kat kau, aku memang tak pernah takut pun kat kau,” kata lelaki terbabit.

Menurut polis, sebanyak 14 laporan telah dibuat terhadap wanita terbabit oleh beberapa pihak yang tidak puas hati berkaitan kenyataannya mengatakan orang Melayu sebagai pemalas. 

Sementara itu, wakil Persatuan Melayu Champa Johor Bahru, Zulkifli Zakaria, 37, pula memberitahu, tindakan lelaki itu ibarat mencurah petrol ke dalam api.

“Anak dia sengaja nak tambah kemarahan rakyat Malaysia terhadap masyarakat berketurunan Kemboja. Seolah-olah dia nak bunuh orang Kemboja di sini, kita tak pernah kenal dia, orang Kemboja tidak macam itu.

“Penduduk Melayu Champa di negara ini terpanggil nak buat laporan polis terhadap tindakan anak dia. Selagi wanita itu tidak dikenakan tindakan selagi itu orang ramai akan salahkan masyarakat Kemboja. Kita bimbang apa-apa akan berlaku pada masa depan,” jelasnya.

Sementara itu, wanita berkenaan yang memulakan kontroversi tersebut telah mengeluarkan permohonan maaf dipercayai ditujukan kepada Tunku Makhota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Wanita berkenaan mengakui sedih dengan perkara yang berlaku dan turut mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana dapat bermastautin dan berniaga di Johor.

“Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik bangga menjadi rakyat negeri Johor, patik terlalu sedih, terima kasih Tuanku. Patik bangga menjadi rakyat negeri Johor, dapat berniaga di negeri Johor. Patik nak bantu lebih ramai lagi orang Tuanku, terima kasih sangat-sangat,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: