Natasha Busst
KUALA LUMPUR: Polis belum dapat mengesahkan individu hadir memberi keterangan semalam berkait siasatan video perbualan mirip bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohammad Agus Yusoff, adalah “Mr H”.
Ini kerana, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, Penolong Pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir belum tampil membuat laporan.
Katanya, polis hanya dapat mengenal pasti “Mr H” secara positif selepas Wahab mengesahkannya.
“Kita cuba jejakinya (Wahab) menerusi peguam beliau dan cuba yakinkannya, kita cuba bantu dan jamin keselamatan beliau untuk selesaikan kes ini.
“Polis telah merekod keterangan individu didakwa sebagai Mr H pada Khamis, tapi kita tidak boleh kemukakannya atas faktor keselamatan, juga tidak mahu jejaskan dalam konteks siasatan hingga timbul spekulasi yang menyukarkan siasatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.
Isnin lalu, Agus dan Wahab dalam sidang media khas mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sudah disunting, dengan Wahab mendakwa diarahkan individu bernama “Mr H” untuk merakam video perbualannya bersama Agus.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan individu dikenali sebagai “Mr H” selesai memberi keterangan semalam.
Dalam tempoh seminggu ini, Shuhaily berkata, keterangan empat individu sudah diambil, termasuk pengadu (Agus), Hisham Shaharin yang lebih dikenali Che’gu Bard serta pekerja hotel bagi mengesahkan sidang akhbar diadakan pada 17 Nov lalu.
Katanya, polis juga masih menunggu laporan pakar bagi mengesahkan kesahihan video didakwa disunting itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan