Haspaizi Zain & Alyaa Alhadjri
Pengumuman mengejutkan oleh Muhyiddin Yassin untuk tidak pertahankan jawatan sebagai presiden Bersatu akan membuka ruang kepada PAS untuk menerajui gabungan Perikatan Nasional (PN).
Pemerhati politik berpendapat perkembangan itu bukan saja akan menyebabkan konflik dalaman Bersatu, tapi menyerlahkan kelemahan Bersatu untuk terus menerajui gabungan pembangkang.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berpendapat pengumuman Muhyiddin itu tepat pada masa ketika dia dilihat gagal menentukan hala tuju partinya.
Katanya, ia jelas dilihat apabila empat ahli parlimen parti itu baru-baru ini bertindak menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Ia keputusan terbaik yang dibuat Muhyiddin pada ketika ini. Bukan saja ada kem-kem, ada kem Hamzah (Zainudin), ada kem Radzi (Jidin), ada kem Ahmad Faizal Azumu atau ada kem Ronald Kiandee, itu perkara biasa.
"Tapi masalahnya ialah presidennya telah hilang arah tuju, dikatakan tak ada matlamat, tak ada objektif sejak beberapa bulan yang lepas. Terutama sekali bila Muhyiddin dikaitkan dengan isu rasuah di mahkamah.
"Ini yang dikatakan masalahnya serta empat ahli parlimen Bersatu yang beralih angin menyatakan sokongan kepada perdana menteri itu, bukan kerana peruntukan kawasan, tidak...alasan sebenar kepimpinan Bersatu yang dah hilang hala tuju," katanya kepada Malaysiakini.
Sebab itu kata Azmi ada perebutan untuk menggantikan Muhyiddin dan tindakan ahli Parlimen Pagoh itu mengumumkan hasratnya itu dari awal baik untuk Bersatu.
Tiada pemimpin lain
Sekutu kanan di firma perundingan politik Vriens & Partners, Shazwan Mustafa Kamal berkata perancangan Muhyiddin untuk berundur daripada menerajui Bersatu memberikan cabaran dalaman kepada parti itu.
Katanya, ini kerana, tiada pemimpin lain yang boleh mendapat sokongan majoriti dalam Bersatu dan seterusnya gabungan pembangkang.
“(Setiausaha Agung Bersatu) Hamzah Zainudin adalah tokoh yang terlalu bersifat 'divisive' (menyebabkan perpecahan) untuk diterima sebagai calon perdana menteri, dan penyingkiran Muhyiddin daripada kepimpinan juga boleh mengakibatkan perbalahan dalaman apabila puak-puak dalam Bersatu bergelut untuk mengukuhkan kuasa.
“Sekiranya terdapat kekosongan kepimpinan, ini juga boleh memberi kesan kepada peranan Bersatu dalam PN. Di situ terdapat peluang untuk PAS merampas kuasa,” katanya kepada Malaysiakini.
PAS lebih layak
Sentimen hampir sama dikongsi ahli akademik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya yang turut berpendapat PAS sewajarnya memimpin PN sekiranya Muhyiddin tidak lagi memimpin Bersatu.
Katanya, berdasarkan kerusi Parlimen yang dimenangi pada pilihan raya lalu PAS secara dasarnya perlu memimpin PN.
"Berdasarkan kerusi, PAS layak pimpin PN, itu dari segi rasionalnya PAS menang banyak kerusi.
"Seharusnya PAS memimpin PN jika gabungan itu mahu dilihat kuat dan ampuh. Setakat ini tiada wakil rakyat PAS yang mengumumkan sokongan pada perdana menteri.
"PAS juga ada pangkal kuasa, mereka menguasai empat negeri berbanding Bersatu," katanya.
Jelas Awang Azman kegagalan PN untuk mengambil alih Putrajaya seperti diwar-warkan sebelum ini juga antara faktor yang tidak mewajarkan untuk Muhyiddin memimpin Bersatu.
Selain itu, tambahnya, Muhyiddin juga mungkin sedar peluang mereka untuk kembali ke Putrajaya sudah tertutup rapat ketika ini.
MPT tolak hasrat Muhyiddin
Semalam, pada akhir ucapan presidennya sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, Muhyiddin mengumumkan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti akan datang.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga mengulangi pendiriannya pada sidang media bersama Hamzah, Ahmad Faizal dan pemimpin Bersatu yang lain.
Pada sidang media itu, Hamzah berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu (MPT) Bersatu telah menerima cadangan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti tahun depan.
Bagaimanapun, Hamzah berkata, mereka tidak dapat menerima jika Muhyiddin mahu berundur lebih awal.
Namun, MPT Bersatu pada sebelah petang semalam mengadakan mesyuarat tergempar dengan disusuli kenyataan Hamzah bahawa MPT bersatu sebulat suara menolak keputusan Muhyiddin untuk tidak bertanding.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan