"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pencalonan Samsuri tanda Pas tidak pandang rendah cabaran BN di PRK Kemaman

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mazlan Ali berpendapat, pencalonan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai wakil rakyat di Kemaman, menunjukkan Pas tidak memandang rendah cabaran parti lawan, Barisan Nasional (BN) pada kali ini.

Beliau berpandangan, BN mungkin boleh mencipta kejutan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini sekiranya Pas sekadar meletakkan calon yang ‘biasa-biasa’ di Kemaman.

“Penilaian saya, walaupun Pas adalah parti pilihan untuk memenangi Parlimen Kemaman, tetapi ia tidak menutup peluang BN untuk merampas kembali kerusi tersebut atas faktor-faktor tertentu.

“PRK memungkinkan kadar peratusan keluar mengundi menjadi rendah dan memberi peluang kepada BN. Ia disebabkan pengundi muda yang majoritinya menyokong Pas, tidak akan pulang mengundi.

“Kedua, atas faktor calon BN adalah kategori ‘heavyweight’. Ia mungkin boleh menarik sokongan terutamanya golongan dewasa yang lebih patriotik dan juga menarik pengundi tentera serta polis.

“Faktor ketiga, Kemaman adalah satu-satunya peluang bagi rakyat untuk menjadi penghubung kepada Kerajaan Persekutuan. Ini kerana, semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh parlimen lain diwakili Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai potensi kemenangan BN apabila pertembungan dua nama besar pada PRK kali ini melibatkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (Bersara) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mewakili BN dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri daripada Pas.

Justeru itu katanya, naratif Parlimen Kemaman sebagai ‘Parlimen Angkat’ atau wakil Persekutuan yang akan menjadi ‘pintu masuk’ kepada penyaluran dana pembangunan, pasti akan mendominasi kempen yang akan menarik sokongan pengundi di sana nanti.

PRK diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Untuk rekod, pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi.

Dua lagi calon iaitu Hasuni Sudin daripada Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani dengan 506 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Disember sebagai tarikh mengundi, manakala pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Tiada ulasan: