"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Cuba pergi negara lain dapat ke tak berniaga'

Redzuan Muharam
redzuanmuharam@hmetro.com.my
MARIAM (kiri) dan Abdul Hafiz. FOTO Ihsan Abdul Hafiz Saleh
MARIAM (kiri) dan Abdul Hafiz. FOTO Ihsan Abdul Hafiz Saleh
Klang: "Hina orang Melayu itu tak bagus kerana orang Kemboja berniaga, orang Melayu juga yang beli.

"Kita pun orang Islam. Cuba kita pergi negara lain dapat ke tak (berniaga)," kata wanita keturunan Melayu Champa, Mariam Daud.

Mariam, 62, memberi reaksi itu susulan tindakan seorang wanita asal Kemboja yang mengeluarkan kenyataan Melayu malas dalam satu video hingga dikecam netizen.

Menurut Mariam, kenyataan usahawan kilang jahit pukal itu tidak seharusnya dikeluarkan terutama oleh individu yang mencari rezeki di negara ini.

"Mak cik masuk Malaysia umur 12 , sekarang sudah (berusia) 62 tahun. Okay saja jiran Melayu semua bagus. Mak cik duduk sini pun Alhamdulillah, hidup pun senang, tak ada susah.

"Di Kemboja nak cari duit RM10, RM20 pun susah, duduk Kemboja siang malam tak dapat tidur, makan pun susah. Di Malaysia ini hidup aman saja," katanya dalam satu video yang sebelum ini dimuat naik di TikTok.

Sementara anaknya, Abdul Hafiz Saleh, 23, berkata, kenyataan lantang wanita itu membuatkannya dan komuniti Kemboja lain di negara ini turut terkena tempiasnya.

Justeru, Abdul Hafiz memohon wanita berkenaan memohon maaf sekali lagi dengan seikhlas hati dan berubah kerana kenyataan dikeluarkan sebelum ini amat mengguris hati ramai orang Melayu khususnya di negara ini.

"Mak cik (merujuk usahawan kilang jahit pukal) kena sedar mak cik dekat sini hanya menumpang, mak cik kena ingat yang beli orang Melayu, tanpa sokongan orang Melayu mak cik tak akan kaya macam sekarang.

"Walaupun hanya content (kandungan video di laman sosial) jangan yang tak berfaedah sampai hina bangsa, marah pekerja, kalau boleh buatlah content yang elok tapi sekarang dah tak guna kerana nasi dah jadi bubur, ramai tak suka.

"Saya pun tak sedap hati dan agak marah (dengan kenyataan). Pergi mana-mana tak senang sebab saya banyak berkawan dengan orang Melayu.

Kawan saya Melayu semuanya rajin sampai buat dua kerja, tak ada yang malas," katanya yang menyokong usaha memboikot perniagaan wanita itu bagi memberi pengajaran terhadapnya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat menunjukkan seorang wanita yang mengaku berasal Kemboja tetapi sudah lama bermastautin di negara ini ketika mengadakan penstriman langsung di sebuah gedung pakaian Muslimah.

Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas, namun pada akhir rakaman video berkenaan menyatakan dia hanya bergurau serta memohon maaf, disusuli permohonan maaf yang diulang pada hantaran berasingan.

Susulan kecaman diterima, wanita itu memuat naik rakaman video permohonan maaf, dipercayai ditujukan kepada Tunku Makhota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim kelmarin.

Dalam video berdurasi satu minit dua saat itu, wanita berkenaan yang memaklumkan nama dan syarikat diusahakannya, menjelaskan yang dia sedih dipercayai kerana menjadi mangsa kecaman warganet selain mengucapkan terima kasih kepada TMJ kerana dapat bermastautin dan berniaga di Johor.

Isu menjadi lebih panas apabila tular video kemarahan seorang lelaki didakwa anak usahawan kilang jahit pukal asal kemboja itu turut tular di media sosial.

Video terbabit mendapat kecaman netizen yang rata-rata tidak berpuas hati dengannya kerana menggunakan bahasa kurang sopan.

Bagaimanapun, lelaki dikenali Ezuan mendakwa video di TikTok itu sudah disunting.

Ezuan dalam hantaran di platform X mendakwa, video kemarahannya itu ditujukan kepada bekas pekerja syarikat ibunya dan bukan kepada netizen mahupun masyarakat umum.

Tambah Ezuan, dia juga menerima banyak ugutan selepas video kemarahannya tular di media sosial.

Tiada ulasan: