FMT Reporters
Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit, berkata usaha mencari dan menyelamat digerakkan selepas menerima aduan daripada bapa mangsa. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kanak-kanak lelaki dua tahun dipercayai hilang selepas terjatuh dalam longkang ketika menemani ibunya menjaja, dalam kejadian di Taman Goodwood, Bukit Palah, Melaka.
Dalam kejadian hujan lebat lebih kurang 3.25 petang tadi, kehilangan mangsa disedari ibu, Nor Amiza Che Kar, 28, ketika sedang berniaga berdekatan kawasan itu.
Menurutnya, sebelum itu mangsa dilihat bermain di kawasan berhampiran bersama abangnya berusia berusia empat tahun.
“Ketika sedang berniaga dengan keadaan hujan lebat tiba-tiba Danish hilang.
“Sebelum itu, saya lihat dia sedang bermain dan tidak lama kemudian dia tidak kelihatan,” katanya menurut Sinar Harian.
Nor Amiza kemudian bertanya kepada anak ketiganya itu di mana adik bongsunya, namun anaknya itu menjawab tidak tahu.
Dia kemudiannya menemui selipar dipakai mangsa berada di kawasan rumput tepi longkang, sebelum mencari mangsa bersama suaminya, Mohd Faizal Maarop, 38, di sekitar kawasan terbabit.
“Selepas gagal menemui mangsa, suami segera membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 3.45 petang daripada bapa mangsa.
Menurutnya, sehingga kini usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dalam keadaan hujan.
“Seramai 10 anggota dan pegawai bomba serta 10 anggota dan pegawai polis terlibat dalam operasi SAR itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan