Agensi
LOKASI wanita itu ditemukan maut. FOTO Polis Perbandaran Fengbin
Taipei: Keseronokan seorang wanita menikmati aktiviti luncur udara (paragliding) di Hualien, pada Sabtu, bertukar tragedi apabila dia maut akibat kerosakan peralatan itu.
Taiwan News melaporkan mangsa berusia 27 tahun dikenali Hsiao itu mengembara bersama teman lelaki dan rakannya ke Perbandaran Fengbin, Hualien untuk melakukan aktiviti berkenaan.
Dia kemudian mendaftar untuk penerbangan tandem dengan seorang pengajar bernama Yeh.
Satu minit selepas penerbangannya, gesper keselamatan pada abah-abah dipakainya gagal berfungsi. Dia jatuh dari ketinggian 10 meter (m) dan mendarat di permukaan jalan berturap, dan mati serta-merta.
Pengajarnya berkata, gesper keselamatan itu gagal, dan pendakwa raya tempatan sudah ke tempat kejadian untuk memeriksa peralatan dan rakaman video.
Pejabat Pendakwa Daerah Hualien sedang menyiasat pengajar itu untuk kematian akibat cuai.
Wanita itu mempunyai pengalaman melakukan aktiviti itu dan pernah melawat lokasi aktiviti luncur udara berkenaan sebelum ini.
Kali ini, dia membawa teman lelaki dan kawan baiknya, dengan harapan dapat memperkenalkan mereka kepada aktiviti itu.
Teman lelaki Hsiao yang dikenali sebagai Li menuduh pengajar itu membenarkan Hsiao berlepas tanpa memeriksa gesper keselamatan.
Dia turut percaya pengajar itu juga sengaja kehilangan GoPro yang dipasang pada paraglider untuk mengelak bertanggungjawab atas kemalangan itu.
Aktiviti luncur udara diuruskan oleh Kementerian Pendidikan dan "Peraturan Pergerakan Penerbangan Tidak Berkuasa."
Pengendali luncur udara, yang terbabit dalam kemalangan itu diminta untuk menangguhkan operasi sehingga selesai siasatan.
Pengendali aktiviti luncur udara lain berkata, rutin prapenerbangan membabitkan pemeriksaan tetap peralatan keselamatan.
Jika peralatan sentiasa diselenggara dan diperiksa, adalah sukar untuk gesper keselamatan tertanggal, kata mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan