"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengaku tidak bersalah tikam adik guna gunting

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
RAJASKANA diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menikam adik kandungnya. - Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON / KOSMO!
MELAKA – Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menikam adik kandungnya menggunakan sebilah gunting, minggu lalu.

Tertuduh, Rajaskana Sheik Abdul Kadar, 38, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Jogajohti Sheik Abdul Kadar, 35, dengan menggunakan sebilah gunting yang mana ia adalah senjata serangan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah rumah bernombor di Taman Kandang Permai dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Ogos 2025.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama 326A kanun sama.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhammad Zailani mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 sementara peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai juruelektrik selain telah berkahwin dan menanggung dua anak serta seorang adik.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September depan bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: