Vinsla Santiran
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada wujud dalang di sebalik jenayah seksual membabitkan kumpulan yang dikenali sebagai Geng Budak Sekolah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) itu memerlukan penelitian rapi kerana melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun.
Jelasnya, polis kini sedang memperhalusi setiap maklumat untuk memastikan sama ada terdapat pihak lain yang menjadi dalang dan mengawal kegiatan tersebut.
“Masa ini kita belum ‘establish’ lagi, jika ada saya akan sampaikan,” katanya selepas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 serta Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Beliau menegaskan siasatan terperinci perlu dibuat kerana melibatkan pemikiran serta keputusan seorang kanak-kanak yang sanggup meninggalkan sekolah kerana melihat aktiviti itu sebagai sumber pendapatan.
“Kes ini rumit, kita kena faham usianya, tahap pemikirannya, apa yang mendorong dia sanggup tinggalkan pelajaran untuk buat duit,” jelasnya.
Saifuddin turut mengaitkan kes tersebut dengan modus operandi serupa dalam kegiatan ‘swinger’ yang pernah dibongkar sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan