"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami kejam, tergamak bunuh isteri selepas dakwa curang

Agensi

New Delhi: Seorang lelaki bersama tiga rakannya membunuh isterinya dengan memberikan pil tidur yang dicampur racun kerana disyaki berlaku curang, sebelum menanam mayat mangsa di sebuah tanah perkuburan di Selatan Delhi, kata polis pada Selasa.

NDTV melaporkan suspek utama dikenal pasti sebagai Shabab Ali, seorang pelukis dari Mehrauli, bersama dua rakannya – Tanveer Khan, 25, seorang pelukis dari Araria, Bihar, dan Shahrukh Khan, 28, seorang juruelektrik dari Chandanholla – telah ditahan, manakala usaha sedang dijalankan untuk mengesan suspek keempat, kata polis.

Mangsa, seorang wanita berusia 30 tahun dan ibu kepada dua anak, dilaporkan hilang pada 10 Ogos oleh seorang rakannya.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Mehrauli, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis (Selatan) Ankit Chauhan.

"Sebelas hari kemudian, pada 15 Ogos, mayat wanita itu digali semula dari tanah perkuburan berkenaan dengan kehadiran pegawai polis dan Penolong Pesuruhjaya Bahagian (SDM) kawasan terbabit," tambahnya.

Siasatan polis melalui pemantauan teknikal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dilihat dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri menaiki sebuah kereta bersama suami dan beberapa individu lain, kata polis.

"Hasil soal siasat berterusan, Ali akhirnya mengaku membunuh isterinya pada 2 Ogos," ujar pegawai itu lagi.

Ali memberitahu penyiasat bahawa dia memberikan pil tidur yang dicampur dengan racun rumpai kepada isterinya sehingga mangsa meninggal dunia.

Dengan bantuan rakan-rakannya, Ali membawa mayat isterinya pada malam 2 Ogos dan menanamnya di tanah perkuburan Chandanholla.

Kubur berkenaan dikenal pasti, dan mayat digali semula selepas mendapat kebenaran daripada SDM.

Pakar forensik turut dipanggil untuk memeriksa sisa mayat tersebut.
-hmetro 

Tiada ulasan: