Buletin TV3
AMPANG JAYA: Seorang lelaki mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba memukul seorang doktor akibat terlepas tarikh temu janji klinik.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata doktor lelaki berusia 30 tahun itu tampil membuat laporan pada 12 Ogos lalu susulan kejadian berkenaan.
Beliau berkata, mangsa memaklumkan semasa bertugas di kaunter saringan Jabatan Kecemasan Hospital Ampang, suspek berusia 61 tahun mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menerkam dan memukul bahagian mukanya kerana tidak berpuas hati terlepas tarikh temu janji klinik dan diberikan tarikh baharu.
“Susulan itu, pada jam 4.20 petang 13 Ogos lalu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di kawasan Cheras, Kuala Lumpur.
“Semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, suspek diberikan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan