KOSMO!

Tangkap layar video yang dikongsikan di Facebook @Juraimi Desa hari ini.
PETALING JAYA – Tular satu rakaman memaparkan sekumpulan penunggang motosikal Yamaha RXZ melakukan aksi berbahaya ketika dalam perjalanan menuju ke program Himpunan RXZ Member 7.0 di Terengganu.
Rakaman berdurasi hampir dua minit yang dikongsikan Juraimi Desa di Facebook memaparkan beberapa penunggang dilihat melakukan aksi ‘superman’ dengan meniarap atas motosikal sambil memecut, selain menunggang secara zig-zag di laluan utama.
Aksi berbahaya itu bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, malah menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna jalan raya lain yang berkongsi laluan dengan kumpulan terbabit.
Rakaman itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mencabar undang-undang jalan raya.
Ada yang mengaitkan sikap segelintir penunggang RXZ dengan beberapa kemalangan maut melibatkan peserta RXZ Member 7.0.
“Patutlah setiap kali ada himpunan RXZ mesti ada kes kemalangan, kalau gaya tunggang pun macam ini. Nyawa macam tiada harga,” kata Syukor.
“Program dah bagus….Cara pergi dan balik begini yang jadi bahaya. Semoga dipermudahkan segala urusan,” komen Mohd Hazri.
“Bila JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan polis ‘pukat’ marah. Bila tak ‘pukat’ macam ni la perangai sesetengah daripadanya, program tak salah, yang salah perangai mereka (penunggang RXZ),” kata Haidhir.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang penunggang yang dalam perjalanan menyertai Himpunan RXZ Member 7.0 di Terengganu maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar tebing di Jalan Palong 8 di Bera, Pahang hari ini.
Kejadian pada pukul 6.30 pagi itu berlaku ketika Mohd. Syukri Shahrudin, 33, dalam perjalanan dari arah Rembau, Negeri Sembilan menghala ke Terengganu.
Terbaharu, hasrat jururawat, Roslinawati Ramli, 33, untuk menyertai himpunan sama tidak kesampaian apabila dia maut selepas Yamaha RXZ ditunggangi terlibat dalam nahas di Kilometer 394, Lebuh Raya Pantai Timur 2, berhampiran Ajil, di Hulu Terengganu tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan