"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri pendidikan digesa penuhi tuntutan atau letak jawatan

Chia Wan Rou
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek digesa memenuhi enam tuntutan berkaitan keselamatan murid dalam tempoh 30 hari atau meletakkan jawatan serta-merta jika gagal berbuat demikian.

Perkara itu dinyatakan hampir 20 peserta himpunan mogok ‘UndurFadhlina’ diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) di depan bangunan Kementerian Pendidikan sejak 10.30 pagi.

Presiden Gamis, Azamuddin Sahar, berkata himpunan bertujuan menyerahkan memorandum ‘secara langsung’ kepada Fadhlina susulan ‘kegagalannya’ menangani kes kematian Zara Qairina Mahathir, reformasi pendidikan dan perkara lain.

Memorandum diterima wakil Kementerian Pendidikan Faiz Rashid (dua kanan).
Dakwanya, tiada penyelesaian tuntas daripada Fadhlina dalam menangani kes buli yang meningkat secara mendadak sekian lama.

“Kami nak tuntutan ini diserahkan ‘first hand’ kepada menteri,” katanya ketika ditemui.
Memorandum diterima wakil KPM Faiz Rashid pada 12.20 tengah hari.
Antaranya tuntutan dikemukakan termasuk mewujudkan sistem sokongan psikososial di sekolah dengan meningkatkan nisbah kaunselor kepada pelajar serta menyediakan talian 24 jam mesra pelajar untuk aduan rahsia berkaitan buli dan sebagainya.

Selain itu, latihan wajib guru dan warden asrama mengenai ‘trauma-informed education’, kewajipan modul didikan ibu bapa melalui seminar berkala dan pembentukan panel pemantau bebas bagi menyemak laporan buli.

Memperkenalkan ‘roadmap’ awal pelan nasional antibuli dengan sasaran, garis masa, indikator kejayaan dan laporan berkala setiap tiga bulan, serta langkah tambahan bagi keselamatan murid seperti pemasangan CCTV dan penubuhan unit khas siasatan buli melibatkan guru, polis serta persatuan ibu bapa.

Sementara itu, Presiden Haram Brandon Gan mempersoalkan keberkesanan langkah KPM mewajibkan laungan antibuli di sekolah bagi menangani gejala tersebut.

Beliau turut menyifatkan pemberian insentif kepada sekolah ‘sifar buli’ sebagai penganiayaan kepada murid pada masa akan datang kerana berisiko memupuk tindakan ‘sapu bawah karpet’ iaitu menyembunyikan kejadian demi menjaga imej sekolah.

Tiada ulasan: