Buletin TV3
MELAKA: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid lelaki tahun enam sebuah sekolah rendah di Bukit Baru di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan dibuat mangsa berusia 12 tahun itu pada hari kejadian 15 Ogos lalu.
Menurutnya, berdasarkan aduan mangsa mendakwa kejadian itu berlaku jam 5 petang ketika dia berbasikal seorang diri untuk pulang ke rumah dari kedai runcit.
“Setakat ini polis masih menyiasat kesahihan perkara ini, jadi saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggusarkan masyarakat.
“Pada masa sama masyarakat perlu sentiasa menjaga keselamatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Beliau mengulas berita tular di media sosial didakwa dikeluarkan oleh sebuah sekolah di sini, yang mendakwa seorang murid sekolah cuba diculik seorang lelaki dewasa bertopeng menaiki van putih.
Berdasarkan kenyataan tular itu, pihak sekolah mendakwa kanak-kanak itu berjaya lolos dan melaporkan kejadian kepada ibu bapa sebelum membuat laporan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan