"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Dah sebut berkali-kali pasal Farhash, tapi jawapan Anwar sama

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli berkata dia dan beberapa pemimpin PKR lain pernah membangkitkan isu berkaitan ahli politik yang kini bergelar usahawan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, bekas timbalan presiden PKR itu berkata, Anwar menolak kebimbangan tersebut.

"Kami sendiri pun ada bersebut berkali-kali tapi jawapan Datuk Seri Anwar itulah, dia (Anwar) kata dia (Farhash) bekas setiausaha politik saya,” kata Rafizi dalam episod terbaru podcastnya Yang Berhenti Menteri malam tadi.

Rafizi berkata kebimbangan itu timbul berikutan persepsi bahawa Farhash mempunyai pengaruh politik yang besar dalam parti itu.

"Semua orang tahu banyak percaturan di dalam parti memang dibuat oleh Farhash,” katanya sambil menambah perkara itu sudah menjadi rahsia umum dalam PKR.

Menurut Rafizi, persepsi itu perlu ditangani, dan hubungan Farhash dengan Anwar menyebabkan isu tersebut perlu dibawa secara dalaman kepada perdana menteri.

"Memang dibawa ke Anwar, tapi jawapan Anwar seperti itulah, ‘tak ada kena-mengena, dia bekas setiausaha politik saya’," katanya.

Pengaruh dalam parti

Rafizi berkata dia mula menyedari kehadiran Farhash pada 2019, dia dilihat menunggu di luar bilik Anwar di Hospital Cheras untuk bertemu presiden PKR itu.

Menjelang 2022, katanya, pengaruh Farhash cukup besar sehingga dia mampu mengetuai kumpulannya sendiri.

Kumpulan itu digelar “geng baju hitam” yang menampilkan diri mereka sebagai pembela Anwar.

Rafizi berkata fenomena itu berlaku kerana “kuasa politik dan pengaruh politik mereka datang daripada Anwar.”

Selain itu, Rafizi turut menyentuh mengenai pemberi maklumat (whistleblower) yang sebelum ini menemuinya dengan dakwaan mengaitkan Farhash dalam skandal perlombongan di Sabah.

"Pemberi maklumat ni datang lepas saya sebut bahawa Farhash perlu disiasat kerana saya ingat itu kali pertama mana-mana ahli politik menyatakan secara terbuka, Farhash, nama dia.

"When you do so-called investigative journalism, the moment you hantar isyarat then orang akan datang,” katanya.

Rafizi berkata selepas serangan terhadap anak lelakinya berusia 12 tahun, dia telah bertemu dengan pemberi maklumat tersebut.

Dia memberi bayangan bahawa serangan itu – di mana anaknya dicucuk dengan jarum suntikan di sebuah tempat letak kereta di pusat beli-belah di Putrajaya – mungkin berkait rapat dengan pertemuan tersebut.

Tiada ulasan: