Ezra Kamilea
am@hmetro.com.my

Dua maut dan enam cedera selepas mereka yang mereka naiki terbabas di Jalan Sri Aman-Serian, hari ini. IHSAN JBPM
Simunjan: Dua maut manakala enam lagi cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dinaiki mereka terbabas di Bukit Sabal Tapang, Jalan Serian-Sri Aman, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 9.37 pagi.
"Bertindak atas panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dengan bantuan BBP Serian bergegas ke lokasi sejauh kira-kira 54 kilometer.
"Setiba di lokasi, terdapat lapan mangsa dikenal pasti termasuk seorang bayi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ditemukan di dalam parit berhampiran lokasi kejadian dipercayai tercampak semasa kemalangan berlaku sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Serian.
Sementara itu, enam lagi mangsa iaitu tiga lelaki, dua wanita dan seorang bayi lelaki mengalami kecederaan namun dalam keadaan sedar.
"Orang awam turut membantu mengeluarkan tiga mangsa dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
"Manakala dua lagi mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas," katanya.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan