"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini hal PN pula: Bila PAS naik darah

Mohsin Abdullah

PAS sudah berulang kali ingatkan Bersatu jangan bertindak sendirian khususnya mengenai calon PM untuk PN.

Sehari selepas Bersatu ‘sebulat suara’ menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal mereka untuk jawatan perdana menteri, tampil PAS menegaskan penamaan calon tidak harus dibuat secara unilateral. Sebaliknya harus ada ‘syura rentas parti’. Itu kata Annuar Musa kawan lama Muhyiddin. Mereka berdua agak rapat semasa dalam Umno suatu masa dahulu.

Annuar sekarang timbalan ketua pengarah pilihan raya PAS. Kata beliau rakyat negara ini ‘mendambakan’ seorang tokoh yang mampu membawa harapan baharu dan ‘pimpinan segar’ daripada Perikatan Nasional berbanding apa ditawarkan kerajaan perpaduan.

Lantas adakah kata-kata itu bermakna Annuar berpendapat Muhyiddin bukanlah tokoh ‘pimpinan segar yang mampu bawa harapan baharu?’

Dan apabila Annuar kata ‘adalah penting bagi parti menyucikan diri terlebih dahulu dengan memperbaiki imej dan dasar serta memulihkan kepercayaan rakyat’. Adakah beliau maksudkan Bersatu ‘tidak suci’ lantas perlu sucikan diri? dan imej serta dasar Bersatu tidak boleh memulihkan kepercayaan rakyat maka mesti diperbaiki?

Jika kata-kata Annuar dianggap tidak ‘carry weight’ kerana beliau bukan asal PAS, kenyataan Sanusi Nor tentunya dilihat ada ‘value’ dan wajar diberi perhatian. Sebabnya memang ‘obvious’. Sanusi adalah pemimpin kanan PAS selaku ketua pengarah pilihan raya parti. Dan kerana Sanusi adalah Sanusi. Bila beliau bercakap ramai peminat PAS dengar.

Hampir serta-merta setelah Bersatu membuat pengumumannya, Sanusi menegur Bersatu jangan terlalu ghairah bersendirian membuat keputusan politik penting. Mesti ada konsensus kata beliau. Sebenarnya PAS sudah berulang kali mengingatkan Bersatu jangan bertindak sendirian khususnya mengenai calon PM untuk PN. Mursyidul Am Hashim Jasin banyak kali mengingatkan Muhyiddin bincang sebelum sebarang keputusan PN.

Tetapi, Bersatu buat juga keputusan secara sendirian pada penghujung Perhimpunan Agung Tahunan Ahad lalu. Sekarang timbul persoalan apabila PAS mengadakan muktamar tahunannya hujung minggu ini di Kedah (yang menteri besarnya Sanusi) adakah mungkin PAS pula akan umum calonnya bagi jawatan perdana menteri?

Selama ini saya berpendapat PAS ‘do not mind’ tidak letak pemimpinnya sebagai perdana menteri ditakdirkan Perikatan Nasional memerintah negara ini. Selagi orang itu dengar cakap. Pada pandangan saya PAS tahu seorang perdana menteri yang ‘hardlined Islamist’ – berkopiah dan jubah tidak disenangi (baca takut) masyarakat bukan Islam. Malah ada juga dalam kalangan Melayu yang begitu.

Lalu ia rela seorang yang bukan ulama dijadikan perdana menteri walaupun bukan daripada PAS. Tetapi perdana menteri itu akur segala keputusan penting dibuat oleh pemimpin PAS di belakang tabir. PAS jadi ‘power behind the throne’. Ini pandangan peribadi saya yang pernah saya tulis untuk FMT.

Oleh itu, apabila PAS mahu PN merombak struktur kepimpinannya ramai pemerhati dan penganalisis politik percaya PAS mahu pemimpin Bersatu dijadikan perdana menteri. Yakni Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin PAS sokong. Adakah PAS percaya Hamzah akan bekerjasama tetapi Muhyididn tidak? Wallahuaklam. (Kata orang kuat Muhyiddin, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali bosnya tenang tetapi adalah serigala).

Ada seorang bekas aktivis politik beritahu saya formula PAS ialah Hamzah sebagai perdana menteri manakala Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan timbalan perdana menteri. Presiden PAS dan barisan ulama akan mengawal keadaan dari belakang ‘and call the shots’. Seperti di Iran. Ada presiden tetapi kuasa di atasnya ialah Ayatollah.

Walau berpendapat demikian saya tetap percaya tidak ada yang mustahil dalam politik. “Politics is the art of the possible,” kata Otto von Bismarck, pemimpin Prussia satu wilayah di Jerman.

Tujuh hari lalu FMT menyiarkan laporan yang memetik penganalisis berkata masanya sudah tiba PAS sendiri menamakan calon perdana menterinya – dipilih dalam kalangan mereka. Adakah ini akan atau boleh berlaku? teringat kata-kata von Bismarck.

Bagaimanapun, adakah PAS yakin pemimpin berwajah ulama boleh diterima sebahagian besar rakyat Malaysia? Kata kawan saya mungkin PAS (baca Hadi Awang) akan menonjolkan pemimpin PAS bukan ulama. Seperti menteri besarnya di Kedah dan Terengganu. Kedua-dua tidak pakai kopiah dan jubah setiap hari.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar ialah seorang teknokrat. Beliau setia dengan parti khususnya presiden PAS hingga sekarang. Pernah menjadi setiausaha politik Hadi. Pelantikannya sebagai MB direstui Hadi. Kata aktivis media Fathi Aris Omar “saya agak Hadi mahu membuktikan kepimpinan politik tidak perlu sentiasa dipegang oleh agamawan seperti tradisi di Kelantan”.

Pelbagai pihak percaya jika PAS mahu menamakan calon perdana menteri orangnya ialah Samsuri. Walaupun teknokrat Samsuri akur dengan kepimpinan ulama terutama Hadi jika dijadikan perdana menteri. Ini akan sedikit-sebanyak menyenang dan menenangkan kumpulan ulama dalam PAS yang sememangnya dominan dan mahu terus dominan.

Bukanlah rahsia dalam PAS kumpulan agamawan dan teknokrat tidak sehaluan. Seperti dalam Bersatu antara puak yang mahu Muhyiddin turun dengan puak yang mahu beliau kekal. Cuma mungkin perang dalaman Bersatu lebih sengit. Saya ulangi. Mungkin. Ini kita cerita lain kali.

Realitinya soal calon perdana menteri daripada PN belum beres. Malah tambah rumit. FMT semalam menyiarkan laporan yang memetik penganalisis berkata Muhyiddin membuktikan beliau bukan mudah ditolak ke tepi. Seorang lagi penganalisis menjangka keadaan menjadi lebih buruk sehingga beliau digulingkan.

Menutup artikel ini saya sajikan catatan di Facebook oleh Azlan Zainal daripada Ilham Centre: “Dulu, Bersatu tarik sokongan, kerajaan tumbang. Masa kalut lantik PM, kumpul SD. Lepas PRU nak jadi PM kumpul SD sekali lagi. Semalam (Sabtu lalu) masa ucaptama dia umum ada orang sibuk kumpul tandatangan nak singkir dia. Hari ini (Ahad lalu) dia calon PM semula.

Meskipun saya pasti semua sudah tahu saya tanyalah juga – siapa si dia itu?

Tiada ulasan: