Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis menahan tiga lelaki dipercayai mabuk selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah restoran di Hulu Bernam, Hulu Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.22 pagi.
Beliau berkata, siasatan mendapati pergaduhan membabitkan empat lelaki dengan pemilik restoran.
"Pemilik restoran menegur keempat-empat suspek yang membawa minuman keras ke dalam premis sehingga berlaku pergaduhan.
"Susulan itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) berjaya menahan tiga suspek berusia 23 hingga 36 tahun ditahan itu ditahan," katanya ketika dihubungi, malam ini.
Ibrahim berkata, hasil semakan mendapati suspek pertama dan kedua mempunyai lapan rekod jenayah.
"Suspek kedua juga masih dikehendaki polis di Hulu Selangor atas kesalahan pergaduhan. Manakala suspek ketiga tidak mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.
"Suspek keempat pula berjaya melarikan diri sebelum polis tiba di lokasi dan kini sedang diburu," katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati negatif dan mereka direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan bersama Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan