"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TPM: Mesej ugutan bakar LNG Bintulu didakwa guna nombor Indonesia

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mesej berbaur ugutan diterima kakitangan Petronas berhubung ancaman terhadap kemudahan gas asli cecair (LNG) di negara ini, didakwa menggunakan nombor negara jiran Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bagaimanapun berkata ia masih dalam siasatan polis selain Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengarahkan kawalan diperketat di semua loji LNG termasuk di Bintulu, Sarawak.

“Saya dimaklumkan bahawa ada yang menerima SMS ugutan yang menggunakan nombor telefon Indonesia.

“Tapi siapa? Polis masih membuat siasatan. Jadi sebagai langkah jaga-jaga, MKN telah mengeluarkan untuk meningkatkan dari segi kawalan keselamatan.

“Kita tidak tahu sama ada akan berlaku di LNG di Bintulu, Sarawak ataupun di Sabah. Sebab mereka mengatakan hanya konteks LNG,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini, lapor Buletin TV3.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata SMS itu diterima kakitangan ibu pejabat Petronas selepas pengirim tidak mendapat respon terhadap mesej awalnya sebelum itu.

“Dia minta menjawab sesuatu tetapi sebab tidak ada respon, dia mengugut untuk membakar LNG kita. Tetapi tidak tahu yang mana satu,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan memandang serius ugutan berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan sektor tenaga negara.

Semalam, MKN mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu, Sarawak memperketatkan langkah keselamatan berikutan ancaman terhadap fasiliti tenaga strategik negara itu.

Ia memaklumkan menerima laporan mengenai ancaman keselamatan terhadap beberapa fasiliti LNG dalam negara, khususnya di Bintulu.

Tiada ulasan: