Agensi

POLIS melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat wanita yang dikerat 65 di Dusun Pacet Selatan, Jawa Timur. FOTO Agensi.
Jakarta: Penduduk di Dusun Pacet Selatan, Jawa Timur digemparkan dengan penemuan mayat wanita yang dikerat kepada 65 bahagian di kawasan semak.
Portal DetikJatim melaporkan, pihak berkuasa mengesahkan identiti mangsa sebagai TAS, 25, berasal dari Lamongan dan menetap di Surabaya selepas tamat pendidikan sarjana S1 di Universitas Trunojoyo Madura (UTM).
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Mojokerto, Fauzy Pratama berkata, keterangan daripada keluarganya mengesahkan dia tinggal bersama kekasih yang juga penuntut di universiti sama.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki, Alvi Maulana, 24, dari Sumatera Utara.
Hasil siasatan polis mendapati, suspek membunuh mangsa kira-kira jam 2 pagi, pada 31 Ogos lalu.
Sebahagian anggota badan mangsa yang dipotong dibuang suspek di kawasan hutan Pacet, Mojokerto.
Polis menemukan cebisan badan manusia kira-kira 10.30 pagi pada 6 September dan pemeriksaan lanjut menemukan 65 cebisan badan manusia yang mana 63 adalah cebisan otot, lemak, kulit kepala, serta rambut.
Polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Lidah Wetan, Surabaya bagi mencari semula bukti dan bahagian badan yang belum ditemui.
Hasilnya, beberapa bahagian lain pula ditemui disimpan dalam almari dan di dalam tong sampah bercampur najis kucing, menyebabkan bau busuk menyengat di bilik berkenaan.
Polis turut menemukan 239 serpihan tulang mangsa di bilik tidur yang dibungkus di dalam dua beg plastik hitam.
Walaupun sudah lima hari selepas kejadian, suspek dilaporkan masih tinggal di bilik sama bersama beberapa potongan tubuh mangsa, walaupun ruang itu dipenuhi bau bangkai.
Menurut pemerhatian detikJatim, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Mojokerto tiba di lokasi kira-kira jam 3 petang.
Sebaik pintu bilik dibuka, bau busuk terus menusuk hidung.
Penduduk tempatan yang turut berada di lokasi siasatan terkejut dengan keadaan itu, serta hairan bagaimana suspek sanggup berada dalam bilik sedemikian.
"Baunya menusuk hidung. Tak faham macam mana dia boleh tahan duduk dalam bilik ini," kata seorang penduduk, Handoko.
Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Berat Mojokerto, Inspektor Sukron berkata, pihaknya kembali ke lokasi untuk melengkapkan bahan bukti selepas penahanan suspek.
"Kami temui beberapa anggota badan mangsa, termasuk tulang yang dibuang dalam tong sampah bercampur najis kucing," katanya semalam.
Beliau berkata, ketika tangkapan dibuat polis turut menemui beberapa lagi bahagian tubuh mangsa dalam almari.
Ditanya mengenai mata dan kulit mangsa, Sukron hanya memaklumkan ia antara anggota badan yang turut ditemui.
"Semua akan diperincikan dalam sidang media oleh Ketua Polis Daerah Mojokerto," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan