"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tetak Ketua Polis Daerah kerana pokok kelapa: Rayuan penyerang gagal

Ahmad Johari Mohd Ali
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang penganggur yang didapati bersalah menetak Ketua Polis Daerah Besut dengan parang enam tahun lalu kerana tidak berpuas hati menanam pokok kelapa tanpa kebenarannya, sehingga ibu jari kanan mangsa putus.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman itu ke atas Mohd Nasli Mohd Nasir, 39, selepas mendapati perayu waras ketika melakukan kesalahan berkenaan dan pembelaan bahawa beliau mengalami skizofrenia (gangguan mental) tidak berjaya dibuktikan.

Dalam fakta kes berkenaan, Mohd Nasli tinggal berjiran dengan mangsa, yang ketika itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi.

Pada 15 Ogos 2019 ketika Mohd Zamri tiba di rumahnya, beliau mendapati pokok kelapa yang ditanam di tepi jalan di hadapan rumahnya dicabut orang dan pokok itu dibuang di halaman rumahnya.

Seketika kemudian, Mohd Nasli sampai di hadapan rumah Mohd Zamri dengan menaiki kenderaan dan mempertikaikan penanaman pokok kelapa serta mengarahkan mangsa untuk mendapatkan kebenaran dahulu.

Mohd Nasli selaku perayu tidak puas hati dan memarahi Mohd Zamri, kemudian keluar daripada kenderaan dan mengejar mangsa sambil membawa parang, dan menetak pegawai polis itu dari arah belakang dan terkena tangannya yang sedang menahan Iuka di kepala akibat tetakan kali pertama.

Ia menyebabkan ibu jari tangan kanan Mohd Zamri putus.

Dalam keputusan rayuan Mohd Nasli ke atas hukumannya pada 5 Ogos lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati, perayu tidak mencapai tahap bagi pembelaan tidak waras menurut Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Isu utama perayu di dalam memohon pengurangan hukuman adalah keadaan kesihatannya yang menghidap skizofrenia, yang mana dihujahkan mewajarkan hukuman yang ringan dan berbentuk pemulihan.

Perayu menghujahkan bahawa Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi telah khilaf apabila tidak menilai dan mempertimbangkan keterangan bahawa dia menghidap skizofrenia.

Menurut penghakiman bertulis dikeluarkan pada 8 September lalu, panel yang diketuai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, mendapati Mohd Nasli telah didapati waras semasa melakukan kesalahan berkenaan.

Panel mendapati, Seksyen 84 tidak berjaya dibuktikan, di mana keadaan mental perayu dan semua keadaan tindakan perayu serta keterangan dalam laporan psikiatri telah dinilai dan dipertimbangkan semasa hukuman.

"Hakim Mahkamah Sesyen telah mengingatkan dirinya berkenaan prinsip hukuman dan mengambil kira hujahan mitigasi daripada perayu dan pendakwaan bagi faktor pemberatan.

"Di dalam menjatuhkan hukuman, hakim bicara tiada khilaf dan telah menimbangkan kepentingan perayu dan keadaan mentalnya dan juga kepentingan awam.

"Oleh itu di peringkat Mahkamah Rayuan, selepas dua keputusan di mahkamah bawah, kami dapati tidak ada kesilapan dilakukan Hakim Mahkamah Sesyen yang mana telah disahkan Mahkamah Tinggi.

"Kami dapati hakim bicara telah menimbangkan semua faktor secara memuaskan sebelum menetapkan hukuman. Hukuman adalah sesuai dan tidak melampau, dengan itu, kami tiada sebab untuk mengusik keputusan yang telah dicapai oleh mahkamah bawahan," katanya.

Perayu diwakili peguam bela, Datuk Mohd Yazid Mustafa manakala Zaki Asyraf Zubir bertindak bagi pihak pendakwaan selaku responden.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nasli didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah di bahagian ibu jari tangan kanan mangsa hingga putus dan mengalami cacat kekal.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan parang panjang di hadapan rumah di Taman Cordoba Residence Padang Luas, Jerteh, Besut, kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada 15 Ogos 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Tiada ulasan: