Astro Awani
Dua pelajar Tingkatan Empat didakwa diarahkan oleh ketua warden untuk membersihkan kesan darah selepas mayat pelajar perempuan, Zara Qairina Mahathir, dibawa keluar oleh ambulans sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa arahan tersebut dipercayai dikeluarkan oleh Ustaz Azhari, ketua warden yang berada di lokasi kejadian.
Menurut Linah, sebelum ambulans tiba, tiga pelajar telah diminta untuk mengalihkan tubuh Zara Qairina ke kawasan berhampiran pintu keluar blok asrama, berdekatan rumah warden, bagi memudahkan proses pemindahan.
“Saya hanya melihat dari jauh. Saya mahu bantu, tetapi tiada ruang untuk pegang.
"Kakinya cedera parah, tulang terkeluar dan darah banyak keluar dari situ. Saya juga nampak darah di belakang lehernya,” katanya ketika disoal peguam keluarga mangsa, Shahlan Jufri.
Linah turut mengesahkan terdapat kesan darah di lokasi Zara Qairina ditemui serta di tempat dia dialihkan.
Selepas ambulans beredar, dua pelajar dilihat membersihkan kawasan tersebut menggunakan lampu suluh yang dipegang oleh seorang lagi pengawal keselamatan.
“Sebahagian darah telah hanyut dibawa hujan, tetapi kesan di atas simen masih kelihatan dan menjadi hitam. Tiada siapa mencucinya selepas itu,” katanya.
Dalam prosiding inkues hari ini, Linah turut mendedahkan bahawa dia diminta oleh Ustaz Azhari untuk memadam gambar Zara Qairina yang diambil sejurus selepas kejadian.
“Dia kata takut gambar itu tular sebab pelajar selalu pinjam telefon saya,” ujar Linah, yang merupakan antara saksi awal di lokasi kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan