Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Georgetown: Tindakan ahli keluarga cuba menenangkan lelaki dipercayai orang kurang upaya (OKU) berakhir tragedi apabila dia rebah dan meninggal dunia di rumah mereka di Gelugor, di sini, hari ini.
Lelaki berusia 48 tahun itu dikatakan mengamuk di rumah keluarganya sebelum bertindak memukul ibunya menggunakan tangan dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.
Sementara, bapanya bersama dua lagi anak perempuan dikatakan cuba menenangkan keadaan, namun berlaku pergelutan.
Ketika pergelutan itu, lelaki terbabit dikatakan terjatuh dan berlumuran darah sebelum ahli keluarga segera menghubungi pihak polis.
Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.
Pemeriksaan awal doktor juga mendapati tiada sebarang kecederaan berunsur jenayah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kejadian berkenaan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan