"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kejutan 6 pagi di rumah mayat

Agensi

Palmeira dos Indios, Brazil: Seorang lelaki yang disahkan meninggal dunia memberikan kejutan besar kepada petugas rumah mayat di Brazil selepas didapati hidup semula beberapa jam kemudian, lapor Mirror.

Pesakit berusia 90 tahun itu dibawa ke hospital pada 1 September lalu sebelum jantung dan pernafasannya terhenti pada awal pagi keesokan harinya.

Selepas beberapa siri usaha resusitasi yang gagal, warga emas itu tidak memberikan sebarang tindak balas dan disahkan meninggal dunia di bilik kecemasan.

Namun, ketika ahli keluarga tiba di rumah mayat kira-kira 6 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir, mereka menemukan sesuatu yang tidak dijangka.

Salah seorang saudara perasan bahawa "mayat" itu sebenarnya masih bernafas dan pemeriksaan lanjut mengesahkan dia turut mempunyai nadi.

Selepas dikeluarkan dari rumah mayat, lelaki itu segera dimasukkan semula ke hospital, namun malangnya dia kekal tidak bertindak balas sebelum sekali lagi disahkan meninggal dunia.

Dalam satu kenyataan, pihak pengurusan hospital menjelaskan bahawa "tiada kesilapan teknikal, perubatan atau kejururawatan dikenal pasti" dan semua protokol sudah dipatuhi.

Pihak hospital juga bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan membenarkan kes itu dianalisis oleh jawatankuasa pakar.

Insiden luar biasa ini dikaitkan dengan fenomena perubatan yang jarang berlaku dikenali sebagai "kesan Lazarus" atau "resusitasi automatik" ialah apabila seseorang yang diisytiharkan mati akibat jantung terhenti tiba-tiba menunjukkan tanda-tanda kehidupan, biasanya dalam masa 10 minit selepas resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Peristiwa sedemikian mungkin kelihatan ajaib kepada orang yang melihat tetapi malangnya, majoriti pesakit yang melaluinya tidak dapat bertahan lama selepas pengaliran darah kembali untuk masa yang singkat.

Menurut Klinik Cleveland, ia berlaku apabila peredaran darah kembali secara spontan selepas usaha CPR dihentikan, menyebabkan pesakit kelihatan 'hidup semula'.
-Hmetro 

Tiada ulasan: