Nur Izzati Mohamad
BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang disyaki menyerang dan mencungkil mata ibunya di flat Mak Mandin, di sini, semalam direman empat hari bagi membantu siasatan.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal membenarkan suspek lelaki, 47, seorang pengawal keselamatan direman bermula hari ini hingga Khamis bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, wanita warga emas, 72, dipercayai diserang anaknya selepas dia baharu pulang ke rumah mereka.
Mangsa sebelum itu menghadiri kelas agama di masjid berhampiran.
Wanita warga emas berkenaan kemudian dihalau anaknya sebelum suspek dipercayai mencungkil mata ibunya dan menyerang mangsa menggunakan objek tajam hingga menyebabkan kecederaan pada anggota badan.
Mangsa diselamatkan jiran sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan dan dikatakan terpaksa menerima jahitan pada muka.
Berikutan itu, polis menahan suspek di kediaman sama dan ujian air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah.
Suspek dikatakan baharu sahaja dibebaskan daripada pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), 2 September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan