"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya kepala warga emas ditemui selepas dilaporkan diserang buaya di Kampung Siang-Siang Laut

Warga emas ditemui tinggal kepala selepas diserang buaya

Mohd Roji Kawi

KUCHING: Seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila hanya kepalanya dijumpai selepas dipercayai menjadi mangsa serangan buaya di Kampung Siang-Siang Laut, Trusan di Lawas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata berikutan penemuan anggota tubuh mangsa itu oleh penduduk kampung malam tadi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan hari ini.

Mangsa, Tuah Lamat, 80, dilaporkan hilang ketika sedang mandi di jeti sungai berhampiran rumahnya sekitar jam 5.30 petang Selasa lalu.

Berdasarkan maklumat ahli keluarga, mereka mula menyedari kehilangan mangsa selepas beliau tidak pulang ke rumah, sebelum menemui sehelai tuala dan sepasang selipar dipercayai milik mangsa di lokasi terakhir mangsa dilihat.

Penduduk kampung kemudian segera melancarkan pencarian menggunakan perahu di sepanjang sungai namun usaha mereka gagal menemukan mangsa.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas yang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.48 petang Selasa lalu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai anggota polis.

“Susulan penemuan anggota badan mangsa itu dan disahkan oleh keluarganya, pihak polis mengumumkan SAR ditamatkan secara rasmi pada jam 10.30 pagi tadi,” katanya.

Seterusnya operasi akan tertumpu kepada usaha menangkap buaya yang disyaki terbabit dalam insiden berkenaan.

Operasi itu kini diketuai oleh pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama polis.

Tiada ulasan: