"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tular budak kena buli tangan kena ikat, disembur dengan api

MOHD SHARKAWI LONDING
TANGKAP layar CCTV kejadian buli melibatkan seorang kanak-kanak diikat tangan dan disyaki disembur dengan api berlaku di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, malam tadi.
JOHOR BAHRU – Tular satu rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian buli melibatkan beberapa kanak-kanak yang disyaki berlaku di kawasan kediaman di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini, tengah malam tadi.

Menerusi video yang berdurasi 23 saat, menunjukkan kejadian berlaku kira-kira pukul 12.39 tengah malam melibatkan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak melakukan kejadian itu ke atas mangsa yang disyaki juga kanak-kanak lelaki.

Kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur ke arah mangsa yang terbaring dalam keadaan tangan terikat.

Tidak lama kemudian, tiga daripada mereka mendekati mangsa yang terbaring sebelum mengangkat mangsa dalam keadaan lemah.

Manakala seorang kanak-kanak bertindak sebagai pemantau atau ‘cover line’.

Rata-rata pengguna laman sosial meminta agar si pelaku diambil tindakan tegas memandangkan kes berkenaan bukan kes kecil malah melibatkan kes buli dan jenayah.

Sementara itu, Kosmo! sedang mendapatkan keluarga atau mangsa yang terlibat bagi mendapatkan maklumat terperinci.

Selain itu, difahamkan, polis sedang melakukan siasatan susulan kejadian tular berkenaan.-KOSMO! ONLINE

Polis tahan peserta demo anti rumah ibadat haram

Hariz Mohd & B Nantha Kumar






Polis mula menahan beberapa individu di pekarangan kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Individu berkenaan dipercayai ditahan kerana disyaki pihak berkuasa sebagai peserta perhimpunan membantah rumah ibadat ‘haram’ yang dirancang diadakan malam ini.

Berdasarkan kiraan petugas media di lapangan, setakat ini tujuh orang dibawa pergi oleh sekumpulan polis, termasuk aktivis politik Shafiq Abdul Halim.

Seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak yang dipercayai anak kepada pasangan itu juga diiringi oleh polis ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi yang terletak berhampiran.

Setakat ini, tiada penganjur perhimpunan lain yang kelihatan termasuk pendakwah bebas Zamri Vinoth.

Terdapat kehadiran polis yang ramai di lokasi tersebut.

Isteri minta cerai dibakar suami

KOSMO
Suspek ditahan selepas membakar isterinya kerana memfailkan perceraian. - Istimewa
JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia meninggal dunia selepas melecur teruk akibat dibakar suaminya sendiri hanya kerana mangsa memfailkan perceraian, lapor laman berita Detik.

Mangsa bernama Nurima Siregar, 53, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya selepas menerima rawatan di Hospital Gunung Tua, wilayah Sumatera Utara. 

Ketua Polis Tapanuli Selatan, AKBP Yon Edi Winara berkata, mangsa dibenarkan pulang ke rumah beberapa hari yang lalu. 

“Kami turut berduka cita atas pemergian Niruma Siregar. Kami mendoakan yang terbaik untuk arwah,” kata Yon. 

Mangsa mengalami melecur di  seluruh tubuh akibat dibakar suaminya, baru-baru ini.

Suspek bertindak kejam kerana marah mangsa memfailkan perceraian. 

Ketua Siasatan Jenayah Polis Tapanuli Selatan, Inspektor Bontor D. Sitorus berkata, pasangan suami isteri itu sering bertengkar. 

“Rumah tangga mereka menjadi tegang akibat perubahan tingkah laku mangsa. Terdapat khabar angin bahawa mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain,” tambahnya. – AGENSI

Kelantan: Mekanik putus kaki kanan, bom buatan sendiri meletup dalam bengkel

ROHANA MOHD. NAWI
Anggota bomba menjalankan siasatan di kawasan letupan bom buatan sendiri di sebuah bengkel di Kampung Air Merbo Dalam, Tanah Merah hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
TANAH MERAH – Seorang mekanik putus kaki kanan selepas dipercayai terkena bom buatannya sendiri dalam kejadian di sebuah bengkel di Kampung Air Merbo Dalam di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu menyebabkan lelaki yang berusia 31 tahun perlu ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tanah Merah sini.

Difahamkan, bom buatan sendiri yang diperbuat daripada komponen pendingin hawa kereta itu digunakan untuk menangkap ikan di sungai menggunakan kaedah bom ikan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Mat Nuri Muhamad berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, dua buah kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Wira yang berada di dalam bengkel itu turut terkena serpihan bom berkenaan.

Menurutnya, terdahulu, pihak bomba menerima panggilan daripada polis berhubung letupan bom tersebut kira-kira pukul 11.15 pagi tadi untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Siasatan di kawasan bengkel itu mendapati, ada ada kesan pada tanah di lokasi kejadian seperti letupan bom. Kejadian itu disyaki berlaku akibat letupan bom buatan sendiri.

“Pemeriksaan di kawasan bengkel itu memberi petunjuk bahawa letupan berlaku akibat daripada kemungkinan mangsa terpijak penyambungan wayar pada bom buatannya sendiri,” katanya

Mat Nuri memberitahu, siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar letupan tersebut diserahkan kepada pihak polis. – KOSMO! ONLINE

Belon berisi gas meletup dalam lif cederakan dua orang

Agensi
TANGKAP layar daripada video CCTV di X menunjukkan belon berisi gas meletup di dalam lif.
TANGKAP layar daripada video CCTV di X menunjukkan belon berisi gas meletup di dalam lif.
Mumbai: Dua individu cedera selepas belon berisi gas hidrogen untuk majlis hari jadi meletup di dalam lif sebuah pangsapuri di India.

Dalam kejadian itu, penuntut wanita, Himani Tapriya, 21, mengalami luka melecur pada lengan, leher dan perut.

Turut tercedera ialah penghantar barang, Raju Kumar Mahato, 32, yang membawa belon itu untuk seorang penghuni di pangsapuri berkenaan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial menunjukkan Tapriya sedang menolak beg ke dalam lif penumpang yang sempit, sebelum Mahato masuk sambil membawa belon berwarna putih, emas dan jingga lembut.

Bagaimanapun, selepas individu ketiga melangkah masuk ke dalam lif, belon berkenaan tiba-tiba meletup dan mengeluarkan api yang memenuhi ruang sempit itu dalam sekelip mata.

Ketiga-tiga individu berkenaan kemudian segera melarikan diri sebaik pintu lif terbuka dengan Tapriya turut meninggalkan begnya kerana terlalu panik.

Menurut laporan media tempatan yang dipetik SCMP, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 malam Isnin di Anmol Tower, Mumbai.

Polis dilapor berkata, Mahato membawa antara 10 hingga 12 belon diisi gas yang dipesan penghuni pangsapuri iaitu Arpit Jain bagi sambutan hari jadi ahli keluarganya.

Tapriya yang dikejarkan ke hospital sejurus kejadian kini dalam keadaan stabil, kata polis lagi.

"Saya baru tiba di bangunan itu dari Surat dan menaiki lif untuk ke rumah ibu saudara apabila ada orang membawa belasan belon memasuki lif.

"Tiba-tiba belon di tangannya meletup, mencederakan tangan kanan, leher dan perut saya," kata wanita itu dalam laporan polisnya.

Media tempatan melaporkan belon berkenaan diisi dengan gas hidrogen yang mudah terbakar, berbanding gas helium yang lebih selamat namun kosnya lebih mahal.

Susulan kejadian itu, polis memfailkan kes kecuaian terhadap TK Jaiswal iaitu pemilik kedai belon kerana gagal memberikan arahan keselamatan kepada pekerjanya sehingga menyebabkan insiden terbabit.
-Hmetro 

Hamzah takkan undur, hanya tunggu tindakan Bersatu

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Hamzah Zainudin tidak akan melayan desakan berundur daripada jawatan timbalan presiden Bersatu sebaliknya hanya menunggu tindakan mungkin dikenakan parti ke atasnya, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Ahli Parlimen Larut itu juga mungkin tidak tampil memberikan penjelasan terbuka dalam masa terdekat, dan akan terus mengambil pendekatan berdiam diri.

“Saya pasti Hamzah tidak akan berundur, pada masa sama tidak akan menjawab (desakan itu).

“Dia akan terus mendiamkan diri dan hanya menunggu kalau Bersatu atau lembaga disiplin mengambil tindakan seperti yang berlaku terhadap rakan-rakannya,” katanya kepada FMT.

Azmi mengulas gesaan Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, supaya Hamzah berundur daripada jawatan itu atau dikenakan tindakan disiplin tegas kerana didakwa menjadi punca utama kemelut dalaman parti.

Rafiq berkata, beberapa laporan terhadap Hamzah dikemukakan ahli parti kepada Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan penglibatan dalam gerakan terancang untuk melemahkan Muhyiddin.

Beliau turut mempersoalkan sikap Hamzah yang didakwa gagal mengawal penyokongnya walaupun Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) memutuskan semua pihak menghentikan serangan dalaman.

Hamzah sebelum ini menafikan hubungannya dengan Muhyiddin tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam parti selain mendakwa cerita itu sengaja diadakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Namun, ketua pembangkang terus dikaitkan dengan dakwaan wujud usaha menyokong perpecahan dalaman parti, yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Sementara itu, Azmi berkata kemelut berkenaan dijangka terus berlarutan dan berpotensi menjadi lebih rumit apabila dikaitkan dengan perkembangan politik di Perlis serta hubungan Hamzah dengan kepimpinan PAS dalam PN.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, gesaan terhadap Hamzah berpotensi mencetuskan perpecahan serius dalam Bersatu jika tidak ditangani segera.

Katanya, kemelut juga dijangka berlarutan memandangkan Muhyiddin tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berundur walaupun berdepan tekanan kuat daripada pihak sering dikaitkan dengan kumpulan Hamzah.

Bagaimanapun, Mazlan berkata bagi menyelesaikan masalah itu, Hamzah mempunyai dua pilihan iaitu kembali merapatkan hubungan dengan Muhyiddin atau menunggu waktu sesuai untuk mencabar jawatan presiden.

“Namun, saya fikir dua pilihan itu juga sukar bagi Hamzah kerana perkembangan yang berlaku dalam Bersatu sudah kritikal dan kemungkinan Bersatu pecah dua adalah tinggi.

“Walaupun Hamzah bertahan dengan menyokong Muhyiddin namun tindakan penentang, pengkritik Muhyiddin dalam kalangan penyokong dan pemimpin Bersatu sering ditafsir ada hubungan dengan Hamzah meskipun ia tidak semestinya benar begitu,” katanya.

Serangan bom di masjid Islamabad, 30 maut dan 130 cedera

Buletin TV3 
ISLAMABAD: Satu serangan bom di sebuah masjid di sini hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dan menyebabkan lebih 130 yang lain cedera, menurut sumber polis.

Seorang pegawai kanan polis memberitahu AFP, letupan berlaku selepas solat Jumaat, ketika masjid dipenuhi jemaah dan jumlah korban dijangka meningkat.

Sumber keselamatan turut memberitahu AFP, penyerang telah dihalang di pintu masuk dan kemudian meletupkan dirinya.

Wartawan AFP di hospital Institut Sains Perubatan Pakistan melihat beberapa orang dewasa dan kanak-kanak dibawa masuk menggunakan pengusung atau dipapah.

Petugas perubatan dan orang awam membantu menurunkan mangsa yang pakaiannya berlumuran darah dari ambulans dan kenderaan.

Kedengaran rakan dan ahli keluarga mangsa yang cedera meraung ketika tiba di wad kecemasan hospital yang dikawal ketat.

Satu lagi kumpulan wartawan AFP melihat anggota keselamatan bersenjata di luar masjid, dengan tompokan darah kelihatan di permukaan tanah.

Video yang dikongsi di media sosial, yang tidak dapat disahkan oleh AFP, menunjukkan beberapa mayat terbaring berhampiran pintu hadapan masjid, dengan serpihan turut berselerak di ruang solat beralas permaidani merah.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengecam letupan tersebut dan berkata pihak yang bertanggungjawab akan dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab ketika pasukan keselamatan Pakistan sedang berdepan peningkatan pemberontakan di wilayah selatan dan utara negara itu yang bersempadan dengan Afghanistan.

Hassan Karim saran Rafizi jadi Presiden PKR lepas Anwar

Shakira Buang

Di sebalik kelantangan melontarkan kritikan, beberapa ahli parlimen PKR berpendapat tidak wajar Rafizi Ramli diambil tindakan oleh parti.

Malah seperti pandangan dikongsi Hassan Abdul Karim bekas Timbalan Presiden PKR itu wajar terus diberi ruang untuk menyuarakan pandangan kritikal terhadap kerajaan.

Tidak sekadar itu, pada pendapat Ahli Parlimen Pasir Gudang berkenaan, Rafizi boleh diberikan peranan lebih besar tidak lama lagi – apabila PKR mengadakan pemlihan parti.

Kata Hassan, seandainya PKR – dan PH – memenangi PRU akan datang, mereka wajar memberikan ruang lebih signifikan kepada bekas menteri ekonomi berkenaan.

Tambahan pula, katanya, Anwar tidak akan menjadi Presiden PKR selama-lamanya.

“Saya cadangkan kalau kita (PH) menang lagi, kita lantik dia (Anwar) jadi perdana menteri sepenggal lagi, tetapi dalam PKR, saya cadangkan Rafizi jadi sebagai presiden manakala Nurul Izzah (Anwar) kekal sebagai timbalan presiden.

“Dalam pemilihan parti akan datang biar Nurul Izzah pertahankan jawatan timbalan presiden dan Rafizi jadi presiden.

“(Biar) Semua sokong dia (supaya) kita dapat gabungkan orang muda, manakala Anwar boleh jadi penasihat parti dan peganglah jawatan perdana menteri untuk sepenggal lagi,” katanya kepada Malaysiakini.

Anggap sangat bagus

Rafizi merupakan orang nombor dua PKR pada 2022 dan bertanding untuk mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan pada tahun lalu. Bagaimanapun dia gagal apabila kalah kepada Nurul Izzah.

Pemilihan yang berlangsung pada Mei 2025 itu bukan saja menyaksikan Rafizi kalah dengan perbezaan lebih 5,900 undi berbanding Nurul Izzah, malah dia mengotakan janjinya dengan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi.

Dia kemudian muncul dalam slot audio siar dari semasa ke semasa dengan menjadi pengkritik kerajaan serta parti sehingga menyebabkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Hassan – yang pernah bersuara mengkritik Rafizi semasa dia dalam kabinet – berpendapat pandangan diberikan Ahli Parlimen Pandan berkenaan bukanlah fitnah.

Sebaliknya, kata Hassan, ia berdasarkan kepakaran dan pengalaman Rafizi khususnya dalam soal dasar dan tadbir urus.

“Dia memberi pandangan tentang sesuatu perkara, sama ada berkaitan parti ataupun negara. Contohnya semasa membahasakan usul titah diraja baru-baru ini, dia bangkitkan isu fiskal defisit dan cukai.

“Pada saya ia sangat bagus. Dia meneliti dan menggunakan pengetahuan dia sebagai akauntan.

Sepatutnya peranan itu dimainkan oleh pembangkang tetapi pembangkang tak ada kemahiran itu, jadi dia (Rafizi) tetap bersuara,” katanya.

Yakin Anwar pun tak setuju

Untuk rekod pada 2 Feb lalu dalam ciapan di X, Rafizi menganggap Anwar ghairah mahu menjadi perdana menteri manakala dirinya sendiri berharap dapat hidup seperti orang lain dan bersara dengan tenang.

Walaupun membuat kenyataan keras terhadap Anwar sebegitu, Hassan berkata, dia tetap tidak bersetuju jika ada pihak mahu mengambil tindakan disiplin terhadap Rafizi.

Antara lain, Hassan berpendapat, tindakan sebegitu akan memberi kesan besar kepada PKR dan PH.

“Kalau ada sesiapa yang tak setuju dengan dia, jawablah secara rasional. Janganlah ambil tindakan pada dia.

“Rafizi banyak jasa kepada parti dan saya ingat lagi dia (Rafizi) pernah cakap, kalau kita menang banyak kerusi dalam pilihan raya, kita akan bebaskan Anwar. Itu memang betul-betul berlaku.

“Kalau dia tegur sedikit parti kena pujuk dia, bukannya ambil tindakan,” katanya.

Pada masa sama, Hassan yakin Anwar juga tidak akan bersetuju jika Rafizi diambil tindakan oleh parti kerana ahli politik terbabit bukanlah seorang pendendam, sebaliknya sentiasa terbuka.

Hassan juga mencadangkan agar PKR berbincang secara baik dengan Rafizi dan bukannya meminggirkan ahli politik terbabit kerana bersikap kritikal kepada parti.

Ditanya mengenai kemungkinan Rafizi akan menubuhkan parti baru, Hassan berkata, dia tidak melihat ada keperluan untuk berbuat begitu.

“Banyak jasa disumbangkannya untuk PKR dan dia sendiri membangunkan parti ini,” katanya.

Daya penarik buat PKR

Sementara itu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berpendapat teguran dibuat Rafizi tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada parti atau kerajaan.

Kata Nik Nazmi, dia sendiri sering mengkritik kerajaan – walaupun dengan gaya yang berbeza – namun ia selari dengan semangat demokrasi yang diraikan PKR.

Dia yang sebelum ini menjadi sebahagian anggota kabinet sebelum meletakkan jawatan selepas Rafizi berkata kritikan yang dilemparkan bukan bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan.

“Kita tidak menggagalkan belanjawan, tidak mahu tukar perdana menteri. Sebagai backbencher (penyokong kerajaan), kita bersuara berdasarkan apa yang kita rasa betul,” katanya.

Nik Nazmi yang kalah semasa mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan lalu menegaskan Rafizi berperanan suara hati (conscience) kepada parti dan kerajaan.

Bahkan, katanya, itulah antara kekuatan serta daya penarik PKR untuk menjadi parti yang terbuka.

Tambah Nik Nazmi sebarang tindakan ke atas Rafizi hanya akan mengundang kemelut lebih besar dan tidak menguntungkan PKR atau PH.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Prof Madya Mazlan Ali, pula berpandangan kritikan Rafizi perlu dilihat dalam konteks realiti politik Malaysia, khususnya dalam kerangka kerajaan yang melibatkan pelbagai parti dengan latar ideologi berbeza.

Kata Mazlan, Rafizi adalah tokoh yang berfikir seperti penggerak masyarakat sivil yang cenderung bersifat idealistik dan menuntut reformasi secara menyeluruh serta segera.

“Masalahnya, kita kena faham latar politik Malaysia ini. Agama dan kaum masih faktor utama.

“Tambahan pula, ini bukan kerajaan PH semata-mata tetapi kerajaan perpaduan,” katanya.

Untuk melaksanakan semua janji yang terkandung dalam manifesto PH sebelum ini, kata Mazlan, ia perlu mengambil kira pendirian dan manifesto parti lain yang bersama-sama dalam kerajaan.

Hormati hak mengkritik

Sebagai contoh, kata ahli akademik itu, isu pelantikan orang politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang masih diterima dalam amalan Umno, justeru ia tidak dapat diubah secara paksa.

“Bagi Umno pelantikan orang politik itu biasa pada mereka yang lebih lama memerintah. Maka tak boleh dipaksa untuk tidak buat lantikan sebegitu.

“Kecualilah kerajaan hari ini melibatkan PH saja, ketika itu ia mesti dilaksanakan.

“Pada wakti ini kena hormatlah hak Umno sebab bagi mereka pelantikan ahli politik tidak ada masalah selagi ada integriti,” katanya.

Menurut Mazlan lagi, melantik golongan profesional semata-mata ke jawatan utama dalam GLC juga tidak menjamin ketelusan terlaksana secara mutlak.

Hal itu, katanya, dapat dibuktikan apabila dari semasa ke semasa tetap ada golongan terbabit terlibat dalam salah laku dan didakwa di mahkamah.

“Dalam soal integriti ini, tidak semestinya semua orang politik tidak ada integriti. Pelanggaran boleh dilakukan sesiapa sahaja,” katanya.

Berhubung kritikan yang dibuat Rafizi, Mazlan mengakui pada dasarnya ia adalah hak masing-masing namun dia juga mengingatkan, reputuasi kerajaan boleh terjejas jika dibuat secara keterlaluan

Kata Mazlan, semua orang boleh mengkritik tetapi tidak ramai yang mampu memberikan jalan keluar atau alternatif.

“Sebenarnya kita menghormati hak sesiapa saja yang mahu mengkritik selagi ia tidak melanggar undang-undang.

“Sebagai ahli politik pula, jika Rafizi nak mengemukakan reform dia, idea dia, lebih baik dia ketuai satu parti politik dan cuba bertanding pilihan raya.

“Sekurang-kurangnya kalau tak tubuh (parti baru) pun, cuba Rafizi pertahankan kerusi Parlimen Pandan sebagai calon bebas. Cuba tengok, ada pengaruh atau tidak,” katanya.

Mahkamah keluar waran tangkap terhadap dua pegawai Imigresen

Muhaamad Hafis Nawawi

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor memperoleh perintah waran tangkap terhadap dua pegawai Imigresen kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes rasuah.

Menurut sumber, perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Chan Lee Lee dan Ameera D’Aneez Mohd Shukari memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

“Sebelum itu, peguam kedua-dua tertuduh, Saleh Tukimin, memberitahu mahkamah kedua-dua anak guamnya dalam tempoh cuti sakit di mana seorang mengalami ‘slip disc’ dan seorang lagi mengalami masalah tyroid.

“Susulan itu, mahkamah kemudian menetapkan pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan sebelum 25 Februari ini,” katanya.

Sebelum ini, pertuduhan kali pertama untuk kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 21 Januari lalu bagaimanapun kedua-duanya gagal hadir dan mahkamah menetapkan semalam untuk pertuduhan kali kedua.

Kedua-dua tertuduh sepatutnya didakwa dengan kes berkaitan perbuatan rasuah yang didakwa berlaku pada 22 September 2024 di Pejabat Imigresen Terminal Pasir Gudang, Johor.

Kedua-duanya disyaki secara bersama menerima wang berjumlah RM100 sebagai dorongan untuk tidak menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap dokumen perjalanan seorang warga Indonesia.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan maklumat itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bilik sejuk tapi berpeluh, ingat mimpi hantu rupanya kena tibi

NURUL IZZATI ZAINI

PETALING JAYA – Tidur dalam bilik berhawa dingin dengan suhu serendah 16 darjah Celsius, namun terjaga di tengah malam dengan badan dan bantal basah lencun akibat berpeluh mungkin bukan sekadar kesan mimpi ngeri.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu perkongsian di Facebook memberi peringatan bahawa keadaan tersebut boleh menjadi isyarat awal jangkitan tibi (tuberculosis) yang aktif, khususnya jika ia berlaku berulang hampir setiap malam.

Menurut PHM, ramai menganggap peluh malam berpunca daripada cuaca panas atau mimpi buruk, sedangkan tubuh sebenarnya sedang menghantar ‘isyarat SOS’ apabila berdepan jangkitan serius.

Keadaan dikenali sebagai night sweats atau berpeluh malam itu merupakan salah satu tanda klasik tibi iaitu penyakit berjangkit yang sering disalah anggap hanya berlaku apabila pesakit mengalami batuk berdarah.

“Hakikatnya kuman tibi bijak menyorok. Sebelum batuk berdarah berlaku, terdapat beberapa tanda awal yang sering dipandang ringan,” jelas PHM.

PHM berkata, antara tanda awal yang dikesan ialah berpeluh malam tanpa sebab jelas disebabkan badan cuba menurunkan suhu akibat demam gred rendah ketika tidur bagi melawan jangkitan kuman.

“Selain itu, pesakit mungkin mengalami penurunan berat badan mendadak walaupun selera makan meningkat, disebabkan nutrien dalam badan ‘dicuri’ oleh kuman tibi.

“Tanda lain termasuk demam tidak menentu yang biasanya muncul pada waktu petang atau senja, di mana badan terasa panas dan menggigil sebelum kembali normal keesokan pagi,” katanya.

Portal kesihatan itu menambah, sakit dada ketika menarik nafas dalam atau semasa batuk juga antara simptom yang perlu diberi perhatian, di samping batuk berterusan melebihi dua minggu.

PHM menegaskan tibi bukan disebabkan keturunan atau akibat gangguan mistik, sebaliknya penyakit berjangkit yang boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan dan dirawat lebih awal. – KOSMO! ONLINE

Bapa mencuri depan anak, isteri

KOSMO
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki itu mencuri bungkusan dari sebuah motosikal yang digunakan oleh pekerja kurier. - Instagram
JAKARTA – Polis memburu seorang lelaki di Jakarta Selatan yang dirakam mencuri bungkusan daripada pekerja penghantaran (kurier) ketika suspek bersiar-siar bersama isteri dan anaknya, lapor portal berita iNews. 

Kejadian berlaku di Desa Pulo, Kalibata, baru-baru ini. 

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki terbabit berjalan menghampiri sebuah motosikal yang digunakan oleh pekerja penghantaran  untuk menghantar bungkusan. 

Apabila pekerja itu sibuk menghantar bungkusan ke rumah pelanggan, dia tiba-tiba mengambil salah satu barang dan berlalu pergi. 

Lebih mengejutkan, kecurian itu dibuat di hadapan isteri dan anaknya. 

Ketua Polis Pancoran, Mansur berkata, hasil siasatan mendedahkan bahawa suspek tidak tinggal kawasan itu

“Berdasarkan keterangan saksi, dia telah berjalan di lokasi sama sejak dua hari lalu. Kami sedang bekerjasama dengan penduduk tempat untuk mengenal pasti pelaku,” kata Mansur. – AGENSI

Warga emas dipenjara 12 tahun, samun barang kemas dua wanita

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
TERTUDUH, Abd Khalid Hamid dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kangar diiringi anggota polis. FOTO Aizat Sharif.
TERTUDUH, Abd Khalid Hamid dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kangar diiringi anggota polis. FOTO Aizat Sharif.
Kangar: Lelaki warga emas dihukum penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana melakukan samun terhadap dua wanita warga emas di Arau pada Disember dan bulan lalu.

Tertuduh, Abd Khalid Hamid, 67 dari Alor Setar kekal dengan pengakuan bersalahnya yang dibuat pada prosiding sebelum ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Abd Khalid didapati melakukan samun terhadap Hamiah Ismail, 83, dengan mengambil seutas rantai leher berwarna emas dengan berat sekitar 22 gram di sebuah rumah di Kampung Katong, Kurung Anai, Arau sekitar jam 11.30 pagi, 27 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan satu lagi samun terhadap Siti Gayah Ahmad, 87, dengan mengambil seutas rantai emas bernilai RM7,000 di sebuah rumah di Kampung Changkat Kabu, Jelempok, Arau jam 5 petang pada 6 Januari lalu.

Tertuduh didapati melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Azira Aziz dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Azira dalam hujahannya memohon mahkamah agar dapat memberikan satu hukuman penjara yang paling singkat memandangkan anak guamnya sudah mengaku salah dan menjimatkan kos mahkamah.

Selain itu, Azira dalam rayuannya memohon mahkamah mengambil kira keadaan anak guamnya yang mempunyai pendapatan tidak menentu serta terpaksa menanggung ibu dan bapa saudara yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan serta dua anaknya yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Dalam masa yang sama juga, anak guamnya adalah seorang duda yang menghidap kanser prostat, kencing manis dan darah tinggi serta memerlukan rawatan di hospital.

Azira dalam rayuannya lagi memberitahu mahkamah anak guamnya sudah insaf dan tindakan yang dilakukan adalah disebabkan desakan kesempitan wang untuk kelangsungan hidup dan tidak bertujuan untuk hidup mewah.

Selain itu, tiada mangsa yang dicederakan dalam kedua-dua kejadian itu.

Nabilah pula memohon mahkamah agar dapat memberikan satu tempoh hukuman penjara berasingan untuk kedua-dua pertuduhan berkenaan mengambil kira kesalahan tertuduh yang bertindak masuk ke rumah mangsa walhal rumah sepatutnya menjadi tempat yang selamat.

Nabilah juga memohon agar barang kes daripada tertuduh diberikan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan atau dikembalikan kepada mangsa semula.

Setelah mempertimbangkan hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Sharifah Norazlita memutuskan tertuduh dikenakan hukuman selama 12 tahun bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam tak sangka anak 'tercicir', maut dalam api

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Keadaan tiga rumah yang terbakar hingga mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki rentung dalam kejadian di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Keadaan tiga rumah yang terbakar hingga mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki rentung dalam kejadian di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Kuala Langat: "Saya sangkakan dia mengekori saya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Tidak sangka dia terperangkap dalam kejadian kebakaran itu," ujar peguam, Nur Liah Asul, 38.

Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi semalam, kediaman dihuni dan dua lagi rumah di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting di sini, musnah terbakar.

"Kejadian berlaku ketika saya cuba memujuk Muhammad Zahir Adha Mohd Zaid, tiga tahun, untuk tidur.

"Tiba-tiba terdengar bunyi riuh-rendah di luar rumah yang menyebabkan saya segera keluar. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya Muhammad Zahir `tercicir' jiran bertanyakan sama ada masih ada lagi sesiapa di dalam rumah.

"Bila toleh ke belakang dan lihat anak-anak sambil kira jumlah mereka, barulah saya tersedar arwah berkemungkinan tertinggal dalam rumah," katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Seri Cheeding di sini.

Menurutnya, tragedi menimpa anak ketiga dari empat beradik itu amat menyayat hatinya.

"Jiran terdengar suara budak namun tidak dapat masuk ke dalam rumah kerana api terlalu marak," katanya.

Nur Liah berkata, sebelum kejadian Muhammad Zahir Adha tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali aktif bermain.

Jelasnya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Cheeding selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Terdahulu, media melaporkan punca kebakaran tiga rumah terbabit disebabkan litar pintas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah sebuah rumah yang pada mulanya mengalami litar pintas.

Menurutnya, kejadian itu membabitkan deretan rumah sewa sekitar jam 2.50 pagi sambil menambah punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Pengerusi IJM Corporation ditahan kediaman turut digeledah SPRM

SITI NUR ZAWANI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Pengerusi IJM Corporation Bhd berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Menurut sumber, lelaki berusia 70-an itu telah ditahan kira-kira jam 7 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas kediaman beliau digeledah.

“SPRM telah melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di tiga lokasi baharu iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan; sebuah bank pelaburan dan kediaman suspek.

“Siasatan awal mendapati bank pelaburan tersebut telah dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corporation Berhad termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” katanya.

Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) telah menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 billion di luar negara dan potensi elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Sehubungan itu, SPRM telah membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah kira-kira RM30.6 juta.

Kata sumber, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram dan setakat ini pihaknya telah memanggil 15 orang saksi termasuk isteri suspek untuk dirakam percakapan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan maklumat tersebut.

Menurut beliau, fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tambahnya, suspek telah dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil memandangkan suspek turut mengalami masalah kesihatan.

Perlis: Bapa OKU hadapi 3 tuduhan amang seksual terhadap anak perempuan

Aizat Sharif

KANGAR: Seorang bapa berstatus orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia 17 tahun bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 40 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Berdasarkan tiga pertuduhan berkenaan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya yang berusia 17 tahun di sebuah rumah di Simpang Empat, Kangar sekitar jam 9 hingga 10 pagi pada 26, 28 dan 31 Januari lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Azira Aziz dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Nabilah memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kes amat serius.

Azira bagaimanapun merayu bagi pihak anak guamnya agar mahkamah dapat memberikan satu jaminan yang minimum kepada memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pengutip kotak lama dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Malah, anak guamnya itu menanggung seorang isteri serta sembilan orang anak yang berusia antara tiga bulan hingga 22 tahun.

Anak guamnya juga bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 setiap bulan.

Selain itu, anak guamnya juga adalah seorang OKU fizikal apabila kaki kanannya tempang serta mempunyai besi di dalamnya setelah mengalami kemalangan sekitar 15 tahun dahulu.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM30,000 di mana setiap satu pertuduhan adalah ditetapkan sebanyak RM10,000.

Pemimpin Bersatu berkumpul di kediaman Muhyiddin pada Ahad

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Satu pertemuan khas melibatkan pemimpin Bersatu akan diadakan di kediaman Presiden Muhyiddin Yassin pada malam Ahad ini, menurut Ketua Pasir Salak, Zainol Fadzi Paharudin.

Zainol, yang juga Adun Sungai Manik, berkata mesyuarat pada jam 8 malam itu akan melibatkan tokoh utama parti.

“Mereka yang dijemput termasuklah Ahli Parlimen (MP), ADUN dan senator,” katanya kepada FMT.

“Yang dijemput adalah MP (Ahli Parlimen), Adun, dan senator,” katanya kepada FMT.

Namun, beliau berkata agenda pertemuan itu masih belum didedahkan.

Pertemuan dirancang itu menyusul di tengah-tengah pertelingkahan antara kepimpinan Bersatu yang semakin meruncing, dengan desakan yang kian meningkat agar Muhyiddin meletak jawatan sebagai presiden, disusuli pula dengan desakan balas Timbalan Hamzah Zainudin, meletak jawatan.

Pada Selasa, Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz, berkata Hamzah sepatutnya meletak jawatan atas apa disifatkannya sebagai kegagalan menjalankan tanggungjawabnya.

Dalam kenyataan menjawab kenyataan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Yunus Nurdin, Tun Faisal berkata adalah lebih baik Yunus meminta Hamzah meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugasnya.

Yunus menyeru Muhyiddin meletak jawatan dan memberi laluan kepada Hamzah, susulan pertikaian dengan PAS berhubung dakwaan perjanjian memansuhkan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Pertikaian itu timbul selepas Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN, sebagai sebahagian langkah penyusunan semula, namun dakwaan berkenaan dinafikan PAS.

Yunus juga menuduh Muhyiddin membuat keputusan sebelah pihak, sekali gus menjejaskan hubungan parti dengan PAS.

Tetapi, Tun Faisal menegaskan Muhyiddin bertindak mengikut bidang kuasanya sebagai presiden, dan menyatakan perbincangan dengan Presiden PAS Hadi Awang, masih di peringkat cadangan.

Beliau turut menuduh Hamzah gagal memaparkan prestasi baik sebagai pengarah pilihan raya Bersatu di Sabah, susulan parti itu gagal menang sebarang kerusi pada PRN, 29 Nov lalu.

Tun Faisal berkata, Hamzah juga gagal mengawal penyokongnya yang berulang kali melanggar disiplin parti, membawa kepada penggantungan atau pemecatan beberapa orang pemimpin.

Penguatkuasa tak berfungsi ke?: Ramai bimbang pengemis agresif di Jalan Ampang

KOSMO!
Dua peminta sedekah yang dikatakan bertindak agresif kepada orang awam berhampiran Jalan Ampang.
PETALING JAYA – Tindakan agresif dua beranak meminta sedekah di persimpangan lampu isyarat berhampiran pusat membeli-belah Ampang Point, Kuala Lumpur mencetus kebimbangan pengguna jalan raya.

Menurut perkongsian di laman Thread Amrsyarifuddeen, dua beranak terdiri daripada seorang wanita dan kanak-kanak perempuan akan mengetuk cermin dan pintu kenderaan untuk meminta wang.

“Tiada pihak berkuasa yang nak ambil tindakan ke? Mereka ini anak beranak mengemis secara agresif ketuk cermin, pintu kereta minta duit.

“Belum cakap soal keselamatan, kalau kena langgar dengan kereta atau motosikal satu hal siapa yang susah nanti?,” katanya.

Tinjauan di ruang komen mendapati ada pengguna yang pernah berdepan situasi apabila berdepan dengan pengemis yang agresif.

“Pernah kena ya, ketuk-ketuk bila tak layan, diludahnya,” kata Faey.

“Pernah kena ketuk-ketuk tak layan, pastu marah. Ketuk kuat-kuat macam nak bagi cermin pecah lepas tu tunjuk lima jari. ‘Demand’ nak RM5,” kata Ame.

“Anak-beranak badan sihat, yang anak siap ada smartphone (telefon pintar),” kata Muhammad. – KOSMO! ONLINE

Lori simen terbalik, warga asing maut

FMT Reporters

Mangsa ditemukan tersepit ketika menjalankan kerja pembinaan berhampiran Hospital Pulau Pinang.
Seorang lelaki warga asing meninggal dunia susulan lori dipandu hilang kawalan lalu terjunam di satu kawasan pembinaan. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang pekerja binaan maut selepas lori simen terbalik di tapak pembinaan berhampiran Hospital Pulau Pinang di Jalan Residensi, George Town, Pulau Pinang.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.29 pagi dengan operasi dibantu pasukan dari Balai Bomba Jalan Perak dan Lebuh Pantai.

“Maklumat awal di lokasi mendapati mangsa telah tersepit di bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, lelaki berkenan dikeluarkan pada 12.55 tengah hari dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 1.16 petang,” katanya.

Jika Pas letak calon PM, apa nasib komponen PN, PH, BN?

K PRAGALATH

Bekas ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri kelapan, Profesor Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad yakin bahawa gabungan PH/BN akan menang besar di dalam pilihan raya umum ke-16 sekiranya Pas mengetengahkan calon perdana menteri Perikatan Nasional.

Parti-parti komponen PN sebaliknya akan menghadapi kesukaran memperoleh undi pengundi bukan Melayu dan di kawasan campuran.

“Bila diletakkan Pas dgn calon perdana menterinya, dasar Pas akan pengaruhi pengundi. Apa sikap pengundi nak undi ke tidak PN?

“Dia (Pas) tidak begitu appealing. Dia (Pas) appealing di Kelantan Terengganu sebahagian Kedah kerana faktor kemajmukan masyarakat itu tiada.

“Ia kawasan majoriti Melayu. Mungkin ia beri kelebihan kepada Pas.

“Macam mana dengan orang di Johor, NS Selangor Kuala Lumpur yang lebih moderate. Pengundi-pengundi bukan Melayu..

“Apa nasib MIPP, Gerakan? Mereka ini bertanding di kawasan-kawasan bukan Melayu. Bersatu pun. Bersatu tak banyak kerusi di Kelantan. Banyak di Johor Melaka, Selangor yang perlukan sokongan moderate Malays dan non-Malays.”

Marzuki yang kini kembal bertugas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata demikian dalam rancangan audiosiar, The Tiger Show Raw semalam.

“DAP akan menang hands down di kawasan bukan Melayu dan kawasan campuran.

“Kawasan marginal 40% Melayu semua akan pergi kepada PH.

“PH hanya perlu 11% undi Melayu, cukup dah.

“BN dengan 30% undi Melayu dah boleh menang.”

Penjual lembu didakwa bunuh guru

Toggle theme
Auto

Sign In

Home
News

Berita

Business

Lifestyle

Opinion

World

Sports

Videos
Property
Education
Carzilla
Gallery
Accelerator
Home
News
Berita
Business
Lifestyle
Opinion
World
Sports
Videos
Property
Education
Carzilla
Gallery
Accelerator

Bernama

Datu Mohd Effendi Datu Mohd Salleh didakwa membunuh Nurul Huda Maha Liddin di Bandar Baru Bangi antara 11 malam 29 Jan hingga 3.32 pagi 30 Jan.
Datu Mohd Effendi Datu Mohd Salleh
Datu Mohd Effendi Datu Mohd Salleh didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas tuduhan membunuh Nurul Huda Maha Liddin, minggu lalu. (Gambar Bernama)
BANGI: Seorang penjual lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh seorang guru sekolah rendah, minggu lepas.

Datu Mohd Effendi Datu Mohd Salleh, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki yang telah berkahwin itu didakwa membunuh Nurul Huda Maha Liddin, 44, di Persiaran Pekeliling, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi antara 11 malam 29 Jan hingga 3.32 pagi 30 Jan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri memohon tarikh sebutan untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat yang tidak dibantah peguam Aravind Raj serta Serena Paul yang mewakili lelaki itu.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 April.

Keadilan tak boleh dibeli, kata mahkamah selepas arah lelaki pukul isteri dipenjara

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengarahkan seorang lelaki yang disabitkan kesalahan memukul isterinya dalam kes keganasan rumah tangga menjalani hukuman penjara 10 bulan bermula hari ini, selepas memutuskan bahawa kesalahan itu tidak boleh dikompaun.

Hakim K Muniandy berkata undang-undang mesti mengutamakan pencegahan dan perlindungan terhadap mangsa berbanding kemudahan kewangan peribadi tertuduh.

“Membenarkan keputusan menang-menang melalui pampasan kewangan sebanyak RM8,000 berisiko mewujudkan persepsi bahawa keadilan boleh dibeli dan pesalah yang kaya boleh melepaskan diri daripada liabiliti jenayah bagi keganasan rumah tangga,” katanya ketika membacakan alasan penghakiman.

Turut bersidang mendengar rayuan itu ialah Hakim Azman Abdullah selaku pengerusi panel dan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Dalam keputusan sebulat suara, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan, mengetepikan perintah kompaun yang dibenarkan Mahkamah Tinggi tahun lalu, dan mengembalikan hukuman penjara 10 bulan yang sebelum ini dijatuhkan oleh mahkamah majistret terhadap Zamiruddin Abdul Manaf.

Zamiruddin, 50, melakukan kesalahan tersebut terhadap Nazla Hamzah kira-kira 12 tengah hari pada 13 Sept 2020 di sebuah pangsapuri di Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Muniandy berkata tertuduh menumbuk kepala mangsa, mengugutnya di hadapan seorang saksi dan menendangnya sehingga mangsa terjatuh — menunjukkan tahap keganasan yang wajar dihukum dengan penjara.

Zamiruddin, 50, didakwa menyebabkan kecederaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda RM2,000, atau kedua-duanya.

Namun, kerana mangsa adalah isterinya, pertuduhan itu dinaikkan di bawah Seksyen 326A, yang menjadikan dua berdepan hukuman sehingga dua kali ganda tempoh maksimum penjara yang ditetapkan.

Muniandy berkata sebaik sahaja kesalahan itu dinaikkan, tiada sebarang penyelesaian persendirian boleh dipertimbangkan.

Panel tersebut mengarahkan bayaran kompaun RM8,000 yang sebelum ini dibayar oleh tertuduh dipulangkan dan mengeluarkan waran komital bagi hukuman penjaranya berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim hadir bagi pihak pendakwaan, manakala peguam Faridah Mohammad mewakili Zamiruddin.

Mayat lelaki disyaki mangsa bunuh ditemui dalam sungai

Bernama
Bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada kepala akibat hentakan objek tumpul. - Gambar/ Sinar Harian
IPOH: Mayat seorang lelaki disyaki mangsa bunuh ditemukan di Sungai Jambatan Kampung Lubuk, Changkat Keruing dekat Pantai Remis, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung dan mereput di sungai berkenaan kira-kira 5.30 petang.

"Mangsa ditemukan dengan hanya memakai kemeja-T. Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada tubuh badan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mengangkat mayat itu berjaya dilakukan dengan bantuan pihak bomba manakala pegawai forensik Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada kepala akibat hentakan objek tumpul.

Hasbullah berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat itu diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim menerusi talian 019-392 7837 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA

Wanita ceroboh kubur demi ‘konten’

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan wanita itu menceroboh sebuah kubur menggunakan cangkul. - Lambe Turah
JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia menerima kecaman orang ramai apabila merakam dirinya menceroboh sebuah kubur sebagai kandungan untuk dimuat naik di media sosial, lapor portal berita Lambe Turah. 

Rakaman video yang tular menunjukkan wanita terbabit bersahaja menggali sebuah kubur dengan menggunakan cangkul. 

“Demi kandungan, wanita ini sanggup menggali semula kubur,” demikian menurut keterangan video itu. 

Masih belum jelas lokasi sebenar kejadian. 

Perbuatan itu mencetuskan kemarahan ramai pengguna media sosial. 

“Adakah anda gila?” kata seorang netizen. 

“Kubur itu bakal menjadi tempat berehat anda, tolong beri contoh yang baik,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Seleweng RM4.2 juta, setiausaha NGO berkaitan Gaza direman

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Suspek dibawa anggota SPRM bagi permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) ekoran disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik badan itu berjumlah kira-kira RM4.2 juta.

Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga 7 Februari depan selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Ezrene Zakariah, di sini pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024.

“Suspek dipercayai telah melulus dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua buah syarikat lain bagi tujuan pelaburan.

“Ia di mana individu-individu di dalam pengurusan persatuan dipercayai mempunyai kepentingan di dalam syarikat-syarikat tersebut,” katanya hari ini.

Kata sumber, siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam, memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan di Gaza.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Dua beranak ditahan menyamar polis, samun warga asing

Bernama

MELAKA: Polis menahan dua beranak selepas disyaki terlibat kes menyamar anggota polis dan menyamun wang tunai berjumlah RM720 milik seorang lelaki warga Bangladesh di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata bapa dan anak lelakinya, masing-masing berusia 51 dan 25 tahun ditahan di Kawasan Perindustrian Ringan Telok Mas dan di sebuah pondok di kawasan Masjid Al-Alami di Ayer Keroh di sini pada 1 dan 2 Feb lepas.

Beliau berkata tangkapan berkenaan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berdasarkan risikan dan maklumat orang awam.

"Modus operandi suspek ialah menghampiri mangsa yang merupakan warganegara Bangladesh yang sedang mengayuh basikal sebelum mengarahkan mangsa berhenti dengan mendakwa mereka sebagai anggota polis.

"Suspek kemudian berpura-pura memeriksa beg sandang mangsa sebelum melarikan wang tunai yang disimpan dalam beg tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ujian saringan air kencing kedua-dua suspek negatif dan suspek utama, iaitu lelaki berusia 51 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan rogol, samun dan tipu manakala anaknya pula mempunyai satu rekod jenayah melibatkan kes menyamar sebagai polis dan samun.

Christopher berkata dengan tertangkapnya dua suspek berkenaan, polis percaya telah berjaya menyelesaikan satu kes samun yang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Katanya polis telah mendapatkan arahan pendakwaan terhadap suspek utama di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang akan dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok dan mana-mana individu yang pernah mengalami kejadian seumpama itu diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

Pendakwah ditahan atas dakwaan salah guna kuasa babit RM600,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pendakwah bebas dan seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan ke atas dakwaan salah guna kuasa meluluskan bayaran RM600,000.

Sumber SPRM berkata, pendakwah itu ialah pengarah urusan syarikat, manakala suspek wanita ialah ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan, dengan kedua-duanya disyaki bersubahat sekitar September 2018.

Menurutnya, kelulusan bayaran itu sebagai balasan mengumpul dana untuk sebuah institusi pendidikan dan dakwah.

“Suspek utama yang dipercayai menyalahgunakan jawatannya telah bersubahat bersama suspek kedua dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 kepada suspek utama sebagai bayaran pengumpul dana tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi lain,” kata sumber dipetik Berita Harian.

Dua suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani dan mereka direman sehari bermula hari ini.

SPRM memulakan siasatannya Oktober lalu.

Tangkapan itu disahkan Pengarah SPRM Kedah, Nazli Rasyid Sulong.

Kelantan: Buruh pukul bapa dengan kayu dijel enam bulan

KOSMO!
Anggota polis membawa Yusmainy untuk didakwa atas pertuduhan mencederakan bapanya di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan bapa kandungnya dengan menggunakan kayu pada Isnin lalu.

Tertuduh, Yusmainy Husain, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapa kandungnya, Husain Mahmood, 78, di Kampung Pauh, Pengkalan Chepa, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 2 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nabil Mohamed Asri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab. Rahman.

Terdahulu, Ahmad Nabil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.

Nik Nazriani dalam rayuannya meminta hukuman penjara minimum kerana tertuduh hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut fakta kes, Yusmainy yang mahu mengambil sebuah motosikal bertindak memarahi Husain dengan berkata ‘menatang ni’ sebelum bapanya itu mengeluarkan kata-kata sama.

Keadaan itu menyebabkan Yusmainy turun daripada motosikal sebelum mengambil sebatang kayu dan memukul bapanya sehingga lebam pada tangan kiri. – KOSMO! ONLINE

Pemandu Grab tular buat gangguan seksual ditahan polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis Johor menahan seorang pemandu e-panggilan kerana disyaki membuat gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita warga Vietnam baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan di satu lokasi di Johor Bahru semalam selepas menerima laporan daripada mangsa pada hari yang sama.

Katanya, turut dirampas daripada suspek adalah dua telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini dan majistret membenarkan reman selama tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Baru-baru ini, tular satu video seorang pemandu e-panggilan yang dilihat melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.

Dalam video yang dilaporkan dirakam oleh penumpang tersebut, pemandu itu dilihat menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita itu, namun ditepis.

Dia juga didengar bertanya umur wanita itu dan berapa ‘harganya’, dalam bahasa Mandarin.

Grab kemudiannya memohon maaf berhubung insiden itu dan berkata pihaknya sedang menghubungi penumpang terlibat untuk menyiasat perkara berkenaan.

Guru dipenjara disiasat lagi, mangsa baru dakwa diliwat berkali-kali

Bernama 

Seorang guru lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara dan sebatan berkaitan kesalahan seksual, kini disiasat semula selepas dipercayai terbabit dalam kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki di sebuah sekolah di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohamad Lazim Ismail berkata laporan terbaharu itu diterima pada 12.27 tengah hari, Selasa lepas daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan bapa kepada mangsa.

“Mangsa berusia 13 tahun itu memberanikan diri memaklumkan kepada keluarga untuk tampil membuat laporan selepas mengetahui suspek telah dituduh dan dijatuhi hukuman penjara berhubung kes amang seksual fizikal terhadap murid lain sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa memaklumkan telah mengenali suspek sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Desa Pandan dan mendakwa telah beberapa kali diliwat oleh individu berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati guru terbabit sedang menjalani hukuman penjara selama lapan tahun serta enam sebatan selepas disabitkan kesalahan bagi dua kes amang seksual fizikal sebelum ini.

Sehubungan itu, Mohamad Lazim menasihati individu lain yang mungkin menjadi mangsa supaya tampil membuat laporan kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.

Pada 5 Jan lepas, Bernama melaporkan suspek berusia 40 tahun itu dihukum penjara lapan tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 25 Dis 2025.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani khidmat kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman, manakala mangsa diperintah menjalani sesi kaunseling dan diletakkan di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

- Bernama

Dua kenalan ditahan bantu siasatan kes kelar ibu tunggal

NOOR HASLIZA NUSI
Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang dipercayai maut dibunuh di Kediamannya di Flat Sri Murni, Butterworth, semalam.
SEBERANG PERAI – Polis menahan dua kenalan kepada wanita yang maut dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumahnya di aras satu, Flat Sri Murni, Butterworth di sini, petang semalam.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Kosmo! Online, hari ini.

Menurutnya, penahanan ke atas kedua-dua lelaki terbabit dilakukan sejurus polis menerima maklumat berhubung kematian mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 41 tahun.

“Kedua-dua suspek telah ditahan dan akan direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita masih mengumpul maklumat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian berlaku,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa turut mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 tahun dan dikatakan tinggal bersamanya.

Tambah beliau lagi, polis masih menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kepala batas.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang ibu tunggal ditemukan maut selepas dipercayai dikelar pada leher dalam kejadian di rumahnya, semalam. – KOSMO! ONLINE