Zulkifli Yahaya
KERAJAAN Kedah akan mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan untuk rakyat negeri ini, kata Menteri Besar, Dato’ Mukhriz Mahathir.
Katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai sumber pendapatan yang banyak dan beliau menetapkan setiap wang yang dibelanjakan akan memberi pulangan ekonomi kepada negeri ini semula.
Sebulan menerajui kerajaan negeri baru beliau sedar sukarnya mentadbir dengan sumber kewangan yang terhad.
Ia tidak semudah mentadbir kerajaan Pusat yang cuma menadah kantung, mengutip duit cukai daripada rakyat melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri. Itupun Mukhriz sangat beruntung kerana boleh mendapat bantuan daripada Pusat bila-bila masa. Jika Pusat keberatan, beliau boleh menggunakan Tun Mahathir untuk menekan Perdana Menteri.
Pakatan mentadbir dulu tanpa sesen pun bantuan Pusat, kecuali geran wajib per kepala yang mesti dilunaskan setiap tahun kepada negeri. Sudahlah Pakatan dibekalkan dengan hutang tinggalan BN dahulu sebanyak RM2.1 bilion. Berkat perbelanjaan berhemat, banyak perkara yang tidak mampu dilakukan oleh BN sebelum 2008 dapat dibuat oleh Pakatan, bahkan negeri tidak pernah berhutang daripada Pusat barang sesen pun untuk membayar gaji kakitangan.
Sekarang apabila Kedah kembali ke tangan BN maka skim Kafalah untuk kematian ahli keluarga, bantuan pelajar masuk IPTA, bantuan guru al- Quran sukarela, bidan kampung, bantuan sekolah agama rakyat yang dahulunya dibayar menggunakan peruntukan negeri, pastinya tiada lagi.
Cara berfikir Mukhriz dapat dijelaskan melalui kenyataannya, “Kesemua perbelanjaan, setiap ringgit yang dikeluarkan mesti jana hasil. Bukan seperti ‘curah air atas daun keladi’ sahaja. Ia akan mendatangkan hasil yang tinggi kepada rakyat sekali gus menyumbang ke arah penjanaan pendapatan negeri.”
Beliau turut memberi contoh pembinaan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil bernilai RM330 juta yang langsung tidak menjana pendapatan kepada kerajaan negeri di mana mereka terpaksa membayar hutang sebanyak RM46 juta setahun.
Jika itulah cara berfikir seorang pemimpin negeri yang hanya menilai pulangan dari segi wang ringgit semata-mata maka Kedah betul-betul berada dalam bahaya.
Bahaya bagi rakyat apabila pemimpin melihat semua perkara harus ditukar atau digandakan dengan keuntungan duniawi semata-mata tanpa keuntungan jangka panjang di akhirat, lebihlebih lagi bidang pendidikan.
Berkata hukamak, membina sebuah sekolah akan menutup 10 penjara. Pelaburan yang paling menguntungkan ialah pelaburan pendidikan. Semua negara maju terbangun di dunia ini kerana ramai rakyatnya yang pandai.
Rakyat Kedah tertanyatanya apa akan jadi dengan KUIN di bawah kerajaan baru selepas ini? Menteri Besar tidak menjawabnya dengan segera tetapi melontarkan pandangan yang meresahkan rakyat. Jika beliau merasakan pembayaran balik hutang pembinaan KUIN itu sebagai satu bebanan maka tidak mustahil ‘bebanan’ itu akan ditamatkan.
Ada cadangan daripada pihak NGO yang mahukan KUIN memfokuskan kepada bidang pengajian Islam semata-mata sebagaimana asas kewujudannya dahulu. Manakala bagi program yang bukan pengajian asas Islam maka serahkan saja kepada IPT yang sudah ‘establish’, misalnya UiTM. Andainya cadangan tersebut dipersetujui oleh kerajaan negeri, ia tidak membawa kerugian apa-apa bagi pihak kerajaan negeri tetapi mengakibatkan ‘kehancuran perasaan’ yang parah kepada pihak yang bertungkus-lumus membesarkan serta mewujudkan kampus induknya di Kuala Ketil.
Memang, apabila berlaku pertukaran kerajaan, peneraju baru berhak untuk menyambung atau mengehentikan projek yang lalu tetapi biarlah keputusan yang dibuat berasas, bukan hanya untuk menunjukkan kuasa semata-mata.
Baru-baru ini juga Mukhriz mengumumkan supaya projek agroteknologi di Charuk Genting Bunga, Pedu dihentikan sementara keputusan baru dibuat. Projek tersebut terbabit dengan kontroversi yang dicetuskan BN dahulu yang menentang pembalakan di situ untuk tujuan membangun ladang rakyat.
Soalnya, projek agroteknologi sudah berada di separuh jalan.
Bukit bukau sudah diteres dan pokok buah-buahan sudah ditanam menggunakan tekonologi terkini yang begitu sistematik. Ia perlukan saliran, pembajaan serta penjagaan harian. Tiba-tiba Mukhriz arahkan semua itu dihentikan.
Walau sementara sekalipun tetapi ladang agroteknologi yang telah dibangunkan saujana mata memandang itu akan musnah begitu sahaja. Duit rakyat yang musnah.
Jika projek pendidikan tidak bawa pulangan atau keuntungan segera berbentuk wang, projek ladang pertanian pula jelas menguntungkan. Itupun Mukhriz minta dihentikan. Entahlah, sukar untuk difahami cara berfikir anak Tun Mahathir seorang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan