"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pada saya SPR gagal - Mohammad Agus

Harakahdaily 
KUALA LUMPUR: Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus Pilihan raya Umum ke-13 yang lalu.
“Pada saya SPR gagal,” tulis beliau di Facebook.

Menurut penganalisis politik itu jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013.

Berikut ialah tulis penuh beliau.

Saya tidak sependapat dengan kenyataan Timbalan Pengerusi SPR yang menyatakan SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus pilihan raya umum ke-13 yang lalu. Pada saya SPR gagal.

Jika SPR berjaya, maka untuk apa PM mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri dari Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013.

Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, PM tidak akan membuat pengumuman sedemikian. Saya yakin jika SPR berjaya menjalankan tugasnya dengan baik tidak akan berlaku bantahan dan perhimpunan 505 seperti yang berlaku sekarang ini.


Bagi saya, jika sekadar menyediakan dakwat kekal pun gagal dilaksanakan dengan baik, jika sekadar menyediakan daftar pemilih yang bersih gagal dilaksanakan dengan baik, maka saya kira sudah sampai masanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.


Cumanya, yang saya tidak faham dengan pengumuman PM ini ialah kenapa perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk memantau SPR?

Saya kira tidak perlu jawatankuasa untuk memantau SPR kerana SPR adalah sebuah badan bebas. Yang kita perlu sekarang ialah anggota SPR yang boleh bertindak cekap untuk mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Itu yang kita belum ada!


Begitupun, sekiranya kerajaan ingin menubuhkan jawatankuasa bagi mereformasikan SPR dan sistem pilihan raya kita, maka hal berikut perlu diberikan perhatian:

(i) kerajaan perlulah menubuhkan sebuah panel yang terdiri dari wakil parti mengikut kuota undi popular yang diterima oleh parti, dan setiap parti hendaklah berhak menamakan wakil masing-masing, bukannya ditentukan oleh kerajaan;

(ii) jawatankuasa ini juga perlulah diberi rangka kerja untuk mengkaji beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002 dan Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003.

Di akhir analisisnya, saya merasakan kerajaan dan PR perlu mengambil tindakan berikut:

(i) mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR supaya meletakkan jawatan,

(ii) PR menghentikan perhimpunan 505 bagi memberi peluang kepada proses petisyen pilihan raya diadili di mahkamah undang-undang.

Dengan pendekatan ini, semoganya tidak ada lagi perhimpunan 505 diadakan dan kerajaan boleh terus menumpukan masa untuk merancang pembangunan negara. Sesungguhnya, rakyat dahagakan kehidupan yang selesa.

Tiada ulasan: