"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tinjauan: Sokongan pada PH di Semenyih jatuh bawah 50%

Kow Gah Chie

Sokongan terhadap Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semakin merosot, menurut tinjauan sebuah badan kaji selidik kerajaan Selangor.

Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati gabungan parti kerajaan itu hanya akan mendapat 46 peratus sokongan dalam pilihan raya kecil akan datang.

Ini susulan penurunan lima peratus sokongan berbanding undi 50.76 peratus yang diperoleh calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan lalu Bakhtiar Mohd Nor.

Daripada 1,142 responden, sebanyak 37 peratus pengundi menyatakan sokongan pada Umno.

Dua belas peratus lagi menyokong calon lain dan baki lima peratus mengaku mahu mengundi bebas.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Pengerusi IDE Mohammad Redzuan Othman berkata dapatan itu menunjukkan tiada pemenang yang jelas setakat ini.

Penentuan kali ini bergantung kepada pengundi yang mahu menyokong calon selain PH dan bebas.

Tinjauan itu dijalankan antara 31 Januari hingga 1 Februari lalu.

Pilihan raya 2 Mac ini diadakan susulan kematian Bakthiar.

Allahyarham sebelum ini mengalahkan calon BN, PAS dan PSM dalam pertarungan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi. Beliau mendapat 23, 428 undi.

PAS dan Umno terus bekerjasama dalam pilihan raya kecil kali ini.

Sementara itu Bernama melaporkan PH perlu melipatgandakan usaha untuk mengekalkan kerusi tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lepas.

Selain itu, Mohammad Redzuan berkata, kajian juga menunjukkan kadar sokongan BN di DUN Semenyih adalah sebanyak 37 peratus, berbeza hanya sembilan peratus dengan pakatan berkenaan.

“Kadar sokongan itu adalah hasil kajian situasi semasa dan apa yang kita lihat, jika PH khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di kawasan itu mahu menang kerusi berkenaan, mereka harus memperoleh sekurang-kurangnya 51 peratus undi.

“Berdasarkan kepada survei IDE, penentuan PRK DUN berkenaan kali ini terletak kepada persaingan calon parti untuk meraih sokongan pengundi atas pagar sebanyak 17 peratus tersebut,” katanya.

Tambah beliau, daripada kajian itu juga, trend pengundian menunjukkan 50 peratus pengundi telah menetapkan keputusan mereka untuk mengundi calon daripada parti tertentu namun 28 peratus lagi hanya akan membuat pilihan menjelang hari mengundi.

Disebabkan itu kata Mohammad Redzuan, tempoh 48 jam terakhir sebelum hari mengundi sebenarnya boleh menentukan pola pengundian dan ia juga mampu menggambarkan calon daripada parti mana yang akan memenangi kerusi dipertandingkan.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun sokongan pengundi terhadap kerajaan PH masih tinggi, namun isu seperti kos sara hidup dan kenaikan harga barang dilihat sedikit sebanyak mempengaruhi tahap sokongan tersebut

Namun, beliau berkata kajian IDE masih menunjukkan rakyat tetap menaruh kepercayaan kepada kerajaan PH.

“Respons masyarakat juga masih positif terhadap pentadbiran kerajaan Selangor serta program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan untuk membantu rakyat negeri itu sejak tahun 2008,” katanya.

Jelas beliau, hasil kajian itu juga menunjukkan kadar sokongan kaum Melayu kepada PH dan BN di DUN Semenyih adalah seimbang manakala sokongan kaum Cina serta India kepada PH adalah masing-masing 70 peratus dan 80 peratus.

Menjawab satu pertanyaan, Mohammad Redzuan berkata Bersatu adalah sebuah parti baharu, justeru komponen PH yang lain harus bergerak secara kolektif bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada pakatan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih, Sabtu ini hari penamaan calon manakala tarikh mengundi awal pada 26 Feb.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Bakhtiar Mohd Nor di Hospital Kajang pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar dari Bersatu memperoleh 23,428 undi mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz (14,464); calon PAS, Mad Shahmiour Mad Kosim (6,966) dan S. Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (1,293).

Tiada ulasan: