Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Tiga wanita nyaris maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke lereng bukit sedalam 15 meter di Jalan Pondok Upeh di sini. FOTO IHSAN JBPM
Balik Pulau: Tiga wanita nyaris maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke lereng bukit sedalam 15 meter di Jalan Pondok Upeh di sini, hari ini.
Tiga wanita berusia antara 20 hingga 30-an itu dilapor mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau Nasir Sameon berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.42 pagi.
Katanya, beliau bersama enam anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
"Sebaik tiba, didapati kereta jenis Toyota Avanza terbabas di lereng bukit sedalam kira-kira 15 meter.
"Terdapat tiga wanita didalam kenderaan itu terdiri daripada dua warga tempatan serta seorang warga Indonesia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Nasir berkata, berikutan tebing yang tinggi, pasukan penyelamat mengalami kesukaran bagi mengangkat mangsa.
"Kita menggunakan pengusung bagi mengangkat mangsa namun berdepan sedikit kesukaran dan perlu berhati-hati kerana cerun yang licin.
"Seorang daripada mereka cedera parah dan diberi rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi," katanya lagi.
Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Balik Pulau bagi menerima rawatan lanjut dan operasi tamat pada jam 11.55 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan