Sinar Harian
Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Khamis atas dakwaan melakukan amang seksual dan merogol anak kandung. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak kandungnya yang berusia 10 tahun.
Tertuduh yang berusia 42 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh di dakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa di sebuah rumah di daerah Marang pada Jun 2020.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman sehingga 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan bagi di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Selain itu, tertuduh berdepan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan hukuman sebatan tidak kurang dua kali sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(1) akta yang sama.
Pertuduhan kedua dan ketiga pula dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan di mana tertuduh didakwa merogol anaknya kira-kira jam 4 petang pada Disember 2020 dan pada pertengahan tahun 2021 di lokasi yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta dikenakan tidak kurang 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan 7 November depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Riffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan