Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, kami selamat," kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berada di hotel berhampiran pusat beli-belah Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand ketika insiden tembakan berlaku petang tadi, yang mengorbankan dua orang.
Tunku Ismail berkongsi detik mencemaskan berhadapan situasi itu di Facebook, dengan memaklumkan beliau serta keluarga dan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam keadaan selamat.
Menurutnya, ketika kejadian, suasana panik dengan orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat beli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan.
"Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
"Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
"Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran... kami tidak mempunyai maklumat lain," katanya dalam perkongsian, hari ini.
Menurutnya, beliau juga terbayang saat menenangkan anak-anaknya yang ketakutan dan menangis.
"Saya memberitahu anak-anak saya, 'semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini' dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.
"Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku.
"Apa yang difikirkan adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka," katanya.
Tunku Ismail berkata, beliau menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatannya untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa mereka ke lokasi yang selamat, jauh dari tempat tersebut.
"Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia dan pemandu memberitahu Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.
"Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta Menteri Pertahanan kita (Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk memaklumkan apa yang berlaku dan Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami," katanya.
Menurutnya, mereka akan ke lapangan terbang dan pulang ke Johor selepas semuanya selamat.
Meskipun terlepas perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail bersyukur keluarga dan pasukannya selamat dan menyifatkan kejadian itu pengalaman terburuk pernah dilalui, apatah lagi perlu melindungi anak-anaknya daripada pembunuh.
"Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua," katanya.
Tunku Ismail turut mendoakan roh mereka yang terkorban dirahmati.
Pemilik pasukan JDT itu berada di Bangkok bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang menyaksikan JDT merakam kemenangan pertama Kumpulan I dengan menjinakkan BG Pathum United 4-2, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan