Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
Kluang: "Ampun maaf dari kami andai yang terjadi ada menyusahkan anda semua. Apa-apa pun Alhamdulillah".
Permohonan maaf itu diluahkan pemilik akaun Facebook menggunakan nama Ah Pek yang juga waris sebuah keluarga yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian di Terengganu, hujung minggu lalu.
Menurutnya, apa pun dia bersyukur kerana berkat doa keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang membantu sehingga selamat tiba semula di daerah ini.
"Macam mana pun saya benar-benar terharu, dalam kehidupan yang kita jalani setiap hari.
"Andai kita sentiasa menghormati orang, semua orang akan senangi kita.
"Bertalu mesej dan panggilan masuk bagi pertolongan tanpa batasan. Tuhan saja dapat membalas jasa kalian," katanya hari ini.
Katanya, apa yang terjadi selama tiga hari dan tidak dapat menghubungi anak-anaknya secara secara mengejut bukan perkara remeh.
"Setiap orang ujiannya berbeza, mungkin hari ini hari saya.
"Andai semuanya berjalan seperti biasa mungkin saya tidak terfikir hendak membuat laporan polis dan sebagainya.
"Tetapi macam mana, mereka sampai di pulau dalam beberapa jam terus hilang perhubungan sehingga hari ketiga tanpa berita.
"Ada yang senang dan ada yang memperlekehkan, apabila bila kes selesai," katanya.
Dalam hantaran sama, dia dipercayai sedang berusaha membeli alat pengesan bagi memudahkan anak-anaknya dikesan lokasi mereka pada masa depan.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan keluarga yang dilaporkan hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian di sini pada hujung minggu lalu disahkan selamat pulang ke Kluang.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada keluarga mereka memaklumkan semua pulang ke rumah dengan selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan