"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ramai kontraktor dapat bernafas semula selepas ‘bapa kartel’ kena tahan SPRM

HarapanDaily.com

Ketegasan Kerajaan Madani menghapuskan kartel yang memonopoli tender kementerian dan agensi kerajaan terbukti membuatkan ramai kontraktor berkelayakan menarik nafas lega.

Seorang kontraktor memberitahu, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan individu yang dianggap ‘bapa kartel’ telah banyak membantu sama ada kontraktor besar mahu pun kecil.

Menurut Mahanom Mohammad, kontraktor kecil iaitu pemegang lesen G1, G2 dan G3 turut meraih limpahan projek berkaitan.

“Sejak bapa kartel kena tahan dengan SPRM, dengarnya ramai kontraktor pemegang lesen G7 (kontraktor besar) dapat bernafas semula dan mula memenangi kontrak dengan tender terbuka.

“Limpahan projek kepada kontraktor kecil juga semakin tinggi kerana ada syarat kontrak yang diletakkan sebahagian dari kontrak diagihkan kepada kontraktor kecil,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya.

Beliau mengingatkan bahawa terdapat lima prinsip perolehan kerajaan bermula awal tahun ini iaitu akauntabiliti awam, ketelusan, nilai faedah yang terbaik, adil dan saksama serta persaingan terbuka.

“Apa yang saya selalu kongsikan dengan kontraktor yang hendak memasuki pasaran kerajaan melalui penyertaan sebut harga dan tender?

“Sentiasa mencipta nilai faedah yang terbaik melalui pembentangan dokumen yang sewajarnya,” kata Mahanom lagi.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan terdapat sindiket dan kartel monopoli antara penjawat awam dan kontraktor swasta bagi menyeleweng wang daripada projek kerajaan.

Mereka terbabit bukan setakat kakitangan peringkat bawahan malah melibatkan pegawai kanan di sektor awam serta pegawai penguatkuasa dengan penerimaan suapan berbentuk wang tunai dan barangan bernilai.

Malah, semakin tinggi nilai projek, semakin besar habuan yang mereka (penjawat awam) akan terima.

Modus operandi penyelewengan kartel yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan dilakukan secara segerombolan dalam kelulusan kontrak projek kerajaan.

Tiada ulasan: