"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mana hilang beras tempatan?

MOHD HAFIZ ABD MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD

ARAU: Isu kekurangan bekalan beras tempatan (BPT) di pasaran terus berlarutan meskipun pengeluaran beras tersebut dikatakan antara 60 sehingga ke 65 peratus setahun sekali gus menimbulkan persoalan ke mana hilangnya bekalan berkenaan yang kini didominasi oleh beras import.

Bagi pesawah, mereka melihat isu berkenaan lebih kepada tindakan manipulasi daripada pihak pemborong yang didakwa mencampur 65 peratus beras tempatan ke dalam kampit beras import bagi mengaut lebih keuntungan.

Terus menjadi persoalan bagaimana beras tempatan boleh berkurangan dengan dalam konteks Perlis sahaja, ne­geri ini menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pengeluaran beras negara.

Seorang pesawah, Sukardi Md. Dali berkata, dia melihat isu berkenaan disebabkan tindakan manipulasi pihak pemborong mencampur beras tempatan dalam kampit beras import memandangkan harga beras import tidak ada kawalan yang boleh memberi lebih untung.

Katanya, sepatutnya bekalan beras tempatan mencukupi memandangkan pengeluarannya sekitar 60 sehingga 65 peratus setahun cukup menampung dari Januari sehingga Oktober sekurang-kurangnya pada setiap tahun.

Katanya, isu kekurangan beras tempatan ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan pihak bertanggungjawab perlu melihat serius perkara berkenaan memandangkan ia memberi kesan kepada rakyat membeli beras import dengan harga jauh lebih mahal berbanding tempatan.

“Agensi berkaitan kena satu langkah ke hadapan dalam berdepan pemborong-pemborong ini, kalau tidak masalah manipulasi beras ini sukar di­selesaikan.

“Beras import tidak ada kawalan dan harganya boleh meningkat dan pengguna kini tidak ada pilihan apabila bekalan beras tempatan tidak ada,” katanya.

Katanya, selain itu pesawah juga terpaksa berdepan dengan kenaikan harga benih padi daripada RM35 sehingga RM60.

Seorang lagi pesawah, Mohd. Nazri Subuh, 48, juga berpandangan sama bahawa isu manipulasi beras ini menjadi antara faktor kekurangan beras tempatan di pasaran.

Soalnya, bagaimana beras tempatan boleh berkurangan sedangkan hasil padi pesawah banyak dihantar setiap kali musim menuai. – UTUSAN

Tiada ulasan: