Sinar Harian
Muhammad Akmal memuat naik di Facebooknya gambar yang membezakan antara beras SST (A) dan beras hancur (B). (Gambar kecil: Muhammad Akmal). - Sinar Harian
SHAH ALAM: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh membongkar modus operandi kartel yang menggunakan beras hancur sebagai beras tempatan kerana ia boleh dijual dengan bukan harga kawalan.
Dalam pendedahan terbaharunya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, terdapat perbezaan antara beras super spesial tempatan (SST) dan beras hancur.
“Disebabkan beras hancur boleh dijual dengan bukan harga kawalan, maka kartel beras ini telah menjual beras standard dengan harga beras hancur.
“Jika harga beras tempatan ditetapkan pada RM2.60 per kg (/kg) tetapi kartel ini telah menjual dengan harga RM3.4/kg apabila menukarkan bil jualan mengikut harga beras hancur.
“Inilah antara pengkhianat yang menekan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata kerajaan diminta untuk tidak ‘menyebelahi’ kartel dalam isu bekalan beras yang tidak mencukupi di pasaran sebaliknya memilih untuk melaksanakan monopoli atau pasaran terbuka.
Ujarnya, dua pilihan yang ada adalah melakukan pasaran terbuka bertujuan untuk menambah bekalan dengan membuka banyak kilang dan pemborong bukan kartel agar persaingan tersebut dapat membaiki pasaran.
Justeru, Muhammad Akmal menjelaskan, kerajaan telah beri pelbagai subsidi untuk memastikan beras tempatan ini dijual dengan harga yang rendah tetapi tindakan tersebut telah mengkhianati semua pihak.
Beliau menegaskan, penguatkuasaan yang ketat dan secara menyeluruh perlu dilakukan dan mewujudkan semula lembaga padi dan beras.
“Jangan ingat kilang di luar Melaka kita tiada maklumat, nasib baik kilang ini di luar Melaka, jika dalam Melaka memang siap kena sita. Ini baru satu, ada banyak lagi pendedahan akan kita lakukan.
“Selagi mana ia adalah hak rakyat, selagi itu kita akan pertahankan dan lawan,” ujarnya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan