"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Indonesia dipenjara 10 tahun seludup 24 rakan senegara

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyeludup 24 rakan senegaranya, dua tahun lepas.

Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Erni Kuswati, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 24 Nov 2024.

Wanita itu didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap 24 warga Indonesia antara umur 30 hingga 50 tahun di sebuah rumah di Jalan Sarjana, Taman Seri Cendekia di sini antara 20 Nov hingga 24 Nov 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Syazwani Zawawi memohon hukuman berbentuk pemenjaraan dengan mengambil kira perbuatan tertuduh yang boleh mengancam kedaulatan negara serta kepentingan awam.

"Hukuman berat ini diharap menjadi pengajaran kepada rakyat tempatan atau migran haram yang tinggal di Malaysia yang berniat untuk melakukan kesalahan sama," katanya.

Bagaimanapun, Erni Kuswati yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

-- BERNAMA

Wanita didakwa hantar ibu minta sedekah di bazar Ramadan

KOSMO!
Tangkap layar video memaparkan seorang wanita mengaku menghantar ibunya meminta sedekah di Bazar Ramadan Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.
PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita yang didakwa menghantar ibunya yang sudah uzur untuk meminta sedekah di sebuah bazar Ramadan mengundang rasa kecewa dan sebak dalam kalangan orang ramai.

Menerusi satu perkongsian tular di media sosial @Oppazuzurestaurant, seorang wanita warga emas berada di tengah panas sambil meminta sumbangan daripada pengunjung bazar di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Apabila pemilik video menghampiri, wanita yang dipercayai merupakan anak kepada warga emas terbabit kelihatan sedang memapah sambil melipat kerusi yang diduduki ibunya.
Bahkan video tersebut sempat merakam wanita tersebut mengakui warga emas itu merupakan ibunya dan sering melakukan kegiatan tersebut sebelum ini.

Namun wanita yang kelihatan sihat tubuh badannya itu kelihatan marah apabila ditanya dengan lebih lanjut mengenai situasi itu.

“Bukan suka-suka nak tularkan. Tapi kami anak-anak muda punya hati dan perasaan. Luluh hati kami bila nampak orang muda hantar orang tua minta sedekah di tengah panas. Dan dia mengaku dia adalah anak kepada orang tua itu.

“Bukan nak sibuk hal orang. Tapi kami tak sampai hati nak tengok orang tua dipergunakan di tempat kami mencari rezeki. Wajar ke seorang anak menghantar ibunya ke bazar Ramadan untuk meminta sedekah? Atau adakah seorang anak dibenarkan menghantar orang tuanya pergi meminta sedekah di bazar Ramadan?,” kata pemilik video itu.

Individu yang berkongsi video tersebut juga berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara itu sekiranya wujud unsur eksploitasi atau sindiket memperdagangkan manusia.

“Kami berharap pihak berwajib yang nampak video ni akan mengambil tindakan yang tegas pada mereka yang mungkin daripada sindiket memperdagangkan manusia.

“Kami juga berharap agar pihak penganjur Bazar Ramadan dapat memantau serta mengambil tindakan tegas bagi menghalang sindiket ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Situasi tersebut sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-rata melahirkan rasa simpati terhadap warga emas berkenaan.

Ada yang berpendapat tindakan sedemikian, jika benar berlaku, adalah tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan nilai tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa.

“Akak yang dalam video ni, cubalah ada sifat kemanusiaan sikit, dia tu mak awak, awak tu gagah lagi, kerja lah cari duit yang letak dia mintak sedekah tu apa ke jadah,” komen Yattninas.

“Allahuakbar tergamaknya seorang anak perlakukan ibunya seperti ini. Sanggup pergunakan ibunya untuk minta sedekah. Tergamaknya kau seorang anak yang tak ada hati perut. Begini balasan kau pada orang tuamu,” komen Ninali.

Sehingga kini video tersebut telah meraih lebih 93,500 tontonan, 2,892 tanda suka dan 549 perkongsian. – KOSMO! ONLINE

Dewan Rakyat kecoh, MP Pas tergagap nak jawab selepas diasak soalan

SITI NUR ZAWANI

Dewan Rakyat sesi petang hari ini berlangsung agak kecoh selepas Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) terpinga-pinga ketika diminta untuk menjelaskan lanjut dakwaan yang dibuatnya terhadap Perdana Menteri.

Beliau bertanya kepada Timbalan Speaker, Alice Lau, apa yang perlu dijelaskan, sebelum terdiam sebentar dan tertanya tentang isu apa.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) bangkit mempersoalkan adakah Ahli Parlimen pembangkang itu tahu apa yang diucapkan atau hanya sekadar membaca teks.

Beliau kemudian mendesak Jamaludin untuk menjelaskan lanjut dakwaannya bahawa Perdana Menteri dan Menteri MITI telah merugikan negara, dan apa kerugian yang sebenarnya telah dibuat oleh Perdana Menteri.

Tegasnya, ucapan MP Pas itu adalah sangkaan jahat dan fitnah kerana membuat tuduhan tanpa fakta.

“Tadi Pasir Salak sebut sangkaan jahat (bahawa) Perdana Menteri dan Menteri MITI merugikan negara. Apa dia tindakan yang dah merugikan negara. Yang itulah kita nakkan penjelasan.

“Kalau tidak, ini merupakan satu fitnah dan kita minta tarik balik,” katanya.

Jawapan balas Jamaludin bagaimanapun menyebabkan Dewan bertambah gamat selepas dilihat tergagap untuk menjelaskan dakwaannya.

“Puan Yang Dipertua, Perdana Menteri dan Menteri MITI telah membuat satu keputusan awal sebelum Mahkamah Agung menyatakan bahawa…..apa ni…10 peratus… tentang ini tadi….,” katanya.

Perkara itu membangkitkan kemarahan Ahli Parlimen kerajaan yang lain yang menegur beliau supaya tidak bercakap perkara yang beliau sendiri tidak faham

“Sebab itu kalau tak tahu jangan sebut. Peraturan 36(6) kalau sebut merugikan, (kena jelaskan) butiran mana yang rugi, syarikat GLC mana yang rugi, syarikat mana yang rugi, kementerian mana yang rugi, apa rugi dan berapa ruginya,” kata Howard Lee (PH-Ipoh Timor).

Kubur dibongkar, batu nisan berselerak

KOSMO
Keadaan kubur yang dirosakkan. - Tangkap layar
JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Kota Batu, wilayah Jawa Timur gempar apabila puluhan kubur dibongkar, dengan batu nisan dibiar dalam keadaan berselerak di sebuah kawasan perkuburan, lapor laman berita Detik semalam.

Dalam satu rakaman video, sejumlah batu nisan dicabut tanpa mendapat keizinan daripada waris si mati.

Keterangan video juga memberitahu bahawa kubur-kubur dibongkar tanpa izin daripada waris dan pihak berkuasa setempat.

Menurut penduduk Kampung Giripurno,  mereka mendapat tahu hal itu Ahad lalu.

Salah seorang waris si mati yang mana kuburnya terjejas, Udin berkata, kubur ibu dan bapanya dibongkar tapa izin.

“Masalah ini telah disusuli oleh pegawai kampung tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dusun Sumber Sari, Istiyah berkata, jumlah kubur yang rosak di Tanah Perkuburan Awam Dusun Sumber Sari, Kampung Giripurno adalah sekitar 20 kubur.

“Anggarannya adalah terdapat lebih kurang 20 kubur (yang dialihkan secara paksa),” jelas Istiyah.

“Apabila saya tiba, saya melihat beberapa kubur dalam keadaan berselerak, dengan sisa pokok yang ditebang berselerak dan batu nisan telah dialihkan,” tambahnya. – AGENSI

Lelaki maut rempuh polis trafik di lorong kecemasan

Sinar Harian

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang anggota polis trafik dan mangsa terbaring atas jalan raya selepas kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan, Tangkak. - Foto Sinar Harian

TANGKAK: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh seorang polis trafik yang sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu di lorong kecemasan di kilometer 107.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, maklumat berkenaan kejadian diterima pada jam 2.07 petang.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal tersebut telah terlanggar seorang pegawai polis yang sedang membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki di lorong kecemasan.

"Pegawai polis berkenaan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan pegawai polis dan penunggang terbabit mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin, Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang menunggang motosikal Suzuki DL650XA meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Jasin.

"Kemalangan tersebut katanya, hanya melibatkan motosikal mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zamil Azwa Amir Azwa 019-3058346 bagi membantu siasatan. - Sinar Harian

Polis buru lelaki mencuri ketika solat Tarawih

Amirul Aiman Hamsuddin
SHAH ALAM: Polis sedang memburu seorang individu yang mencuri dan menceroboh kawasan Balai Islam/Surau Batang Kali, Hulu Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kecurian kunci pendua dan cubaan menceroboh.

“Kejadian dipercayai berlaku pada jam 9.25 malam pada 22 Februari lalu. Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang tidak dikenali bertindak mengumpil dan menggeledah raga motosikal milik jemaah yang diparkir di luar Balai Islam dengan menggunakan kayu.

“Selain itu, suspek juga dilihat cuba menceroboh masuk ke dalam Balai Islam, namun gagal kerana terdapat jemaah yang sedang menunaikan solat Tarawih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibrahim berkata, polis kemudian membuka kertas siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 447 KK.

“Polis kini sedang giat mengesan dan menahan suspek yang terlibat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.

19 pelayan, tukang masak warga asing dicekup

MOHD SHARKAWI LONDING
ANTARA pekerja warga asing ditahan dalam Ops Selera yang dijalankan JIM Johor di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, semalam. Foto IHSAN IMIGRESEN
JOHOR BAHRU – Seramai 19 pekerja warga asing dicekup dalam serbuan Ops Selera yang dijalankan di empat premis makanan dalam sebuah pusat membeli-belah terkenal di bandar raya ini, semalam.Barangan runcit

Operasi bermula kira-kira pukul 12 tengah hari itu dilaksanakan serentak ke atas beberapa premis makanan yang dipercayai menggajikan warga asing tanpa dokumen sah dan melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, hasil pemeriksaan mendapati majoriti pekerja yang ditahan merupakan warga Myanmar dan Indonesia yang bekerja sebagai pelayan restoran serta tukang masak.

“Daripada jumlah itu, 11 lelaki warga Myanmar ditahan, selain seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta enam wanita warga Myanmar berusia antara 19 hingga 49 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian daripada mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, manakala ada yang dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rusdi berkata, turut ditahan dua lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan berkaitan penggajian pekerja asing tersebut.

Kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut, manakala tiga keping Borang 29 (saman kepada saksi) turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

Bekas pengusaha bazar Ramadan mengakui ramai peniaga tak puasa

Peniaga bazar Ramadan pun akui ramai tidak berpuasa
Harapandaily

Mengecewakan apabila juadah berbuka yang ditawarkan untuk masyarakat Muslim yang berpuasa adalah datang daripada peniaga yang meninggalkan kewajipan dalam Rukun Islam ketiga itu.

Hal tersebut dikongsikan ramai peniaga atau bekas pengusaha bazar Ramadan yang turut menggesa pihak berkuasa agama segera mengambil tindakan tegas.

Menerusi hantaran di platform Threads, seorang peniaga menyarankan agar jabatan agama menambah baik pendekatan penguatkuasaan terhadap Muslim yang tidak berpuasa.

Ia termasuk memberi perhatian kepada kawasan bazar Ramadan yang didakwa menjadi lokasi berlakunya perbuatan tidak berpuasa secara terbuka atau tersembunyi.

Menurut pengguna Threads, Kayrol Aeman, tindakan pemantauan tidak seharusnya tertumpu kepada lokasi terpencil sahaja.

“… mungkin boleh buat pembaharuan dari segi nak cegah orang tak puasa ni.. tak perlu dah susah payah cari orang tak puasa di rumah-rumah kosong, dalam kebun dan sebagainya.

“Dekat sini (bazar Ramadan) banyak je terutama kalangan yang menjual tu sendiri.

“Kami serah kepada yang ada kuasa untuk cegah kemungkaran ini sebab iman kami tersangatlah lemah,” katanya sehingga mengundang perdebatan warganet.

Rata-rata terutamanya golongan peniaga bazar Ramadan bersetuju dengan saranan Kayrol itu sambal berkongsikan pengalaman masing-masing menyaksikan rakan peniaga lain selamba atau bersembunyi makan, minum malah merokok di siang hari.

“Saya pernah berniaga bazar Ramadan dulu. Memang ramai tak puasa. Lagi-lagi yang melibatkan bakar masakan lagila menghadap api dari pukul 3 petang,” ujar Adly.

Sementara itu, Ridzuan Sanudin turut mengakui ramai peniaga bazar Ramadan tidak berpuasa berdasarkan pengalamannya yang pernah mengikuti perniagaan bazar di bulan mulia itu.

“Pernah beli roti john budak-budak muda niaga. Boleh bau asap rokok, mereka merokok dalam tong kiosk bawah tu yang nak letak barang niaga.

“Dalam van… dalam kereta bertutup… pintu sebelah buka… pernah Nampak,” demikian antara perkongsian warganet.

BACA JUGA Boleh pula Exco Terengganu ditahan SPRM kekal jalankan tugas?

Hamzah Zainudin lebih selamat jika kekal dekat PAS

Haspaizi Zain

Sokongan terbuka Hamzah Zainudin kepada pengerusi baru PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, mengundang persoalan mengenai hala tuju politik bekas timbalan presiden Bersatu itu.

Ketika Hamzah dikaitkan dengan kemungkinan akan kembali ke pangkuan Umno dengan menyertai "rumah besar" ilham Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, langkah lanjut ahli politik itu mungkin berbeza.

Kini, Hamzah bersama 18 lagi ahli parlimen di belakangnya memberi isyarat dia mahu kekal dalam gabungan PN dan berkemungkinan besar bersama PAS.

Ia juga menepis jangkaan yang Hamzah akan mengambil alih parti Berjasa selepas disingkirkan Bersatu.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Azmi Hassan berpendapat Hamzah tidak akan kembali ke pangkuan Umno demi kelangsungan politik Ahli Parlimen Larut itu.

Katanya PAS adalah pilihan terbaik untuk Hamzah jika dia ingin meneruskan karier politiknnya kerana parti berkenaan dilihat lebih terbuka, khususnya dari aspek penerimaan ahli.

Walaupun mungkin dianggap ‘orang luar’ ahli PAS biasanya tidak akan membantah jika individu berkenaan dipilih untuk menjadi calon semasa pilihan raya.

"Berbeza dengan Umno, walaupun Hamzah dan ramai lagi asal-usulnya dari parti itu, mereka kena bermula dari bawah balik kecuali dalam keadaan tertentu.

"Sebab itu dikatakan sukar untuk Hamzah kembali kepada Umno. Nasib Khairy Jamaluddin pun setakat ini kita belum tahu lagi,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 13 Feb lalu, Bersatu memecat Hamzah berkuat kuasa serta merta berdasarkan keputusan lembaga disiplin parti terbabit.

Menurut Bersatu, Hamzah dipecat berdasarkan kepada fasal 9.1.4 perlembagaan parti yang terkait dengan kewajiban ahli melaksanakan kerja-kerja serta menghadiri mesyuarat parti.

Azmi berkata PAS juga mengambil pendirian menyokong Hamzah sebagai ketua pembangkang sebelum ini kerana ingin memberi teknanan kepada Bersatu supaya berikan jawatan Pengerusi PN kepada mereka.

Turut senada, penganalisis politik dan media sosial di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Sara Chinnasamy yang berpendat Hamzah tidak akan kembali kepada Umno.

Jalan paling selamat

Katanya, sokongan Hamzah kepada Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai Pengerusi PN lebih kepada usaha menyelesaikan konflik dalamam PN daripada terus berpanjangan.

"Saya tidak fikir Hamzah akan kembali ke Umno berikutan agenda asal PN ialah sebagai parti pembangkang utama dan konsolidasi serius bahawa PN benar-benar bersedia untuk bertanding dalam PRU akan datang,” katanya.

Lagi pun, tambah Sara, masih terlalu awal untuk Hamzah membuat keputusan muktamad kerana ia banyak bergantung kepada sentimen semasa.

“Saya percaya PN tiada isu untuk PAS memimpin gabungan itu kerana PAS sudah mempunyai akar umbi yang kuat," katanya.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Awang Azman Awang Pawi, pula berpendapat ada kemungkinan untuk Hamzah kembali kepada parti yang mengangkat namanya sebelum ini – Umno.

Katanya, tindakan Hamzah kekal menyokong PN boleh dianggap sebagai salah satu pendekatan taktikal ketika ini kerana ia merupakan jalan paling selamat apabila gabungan itu dikuasai PAS.

Katanya, hubungan Hamzah dengan Umno hanya boleh berlaku menjelang PRU akan datang ataupun selepas itu.

"Saya lebih melihat pendekatan semasa Hamzah bersifat taktikal, dia tiada pilihan kecuali kekal menyokong PN atas dasar gabungan tersebut dikuasai ataupun didominasi PAS.

"Hubungan Hamzah dengan Umno ia tidak berlaku dalam masa terdekat.

“Saya kira itu satu startegi. Tidak mustahil berlakunya kerjasama dalam konteks rumah besar," katanya.

Bagaimanapun menurut Awang Azman, ia masih bergantung kepada situati politik semasa, termasuk yang membabitkan kedudukan DAP dalam kerajaan serta percaturan Rafizi Ramli bersama PKR.

Hamzah Zainudin saman Redzuan, tuntut ganti rugi RM100 juta

Nora Mahpar

Ahli Parlimen Larut berkata Redzuan Yusof gagal mohon maaf berhubung fitnah yang beliau gerakkan enam Ahli Parlimen dari Bersatu sokong perdana menteri pada 2023.
Hamzah Zainudin berkata kenyataan Redzuan Yusof telah mencalarkan imejnya dalam Bersatu dan di kalangan rakyat.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap pengasas Bersatu Redzuan Yusof berhubung dakwaan beliau menggerakkan enam Ahli Parlimen parti itu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2023.

Saman itu difailkan Hamzah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Jan lalu menerusi Tetuan Siddiq Azani & Co dengan menamakan Redzuan selaku defendan.

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan diperoleh FMT, Hamzah selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos.

Beliau juga menuntut Redzuan menarik balik kenyataan selain memohon maaf terbuka tanpa syarat melalui media elektronik dan akhbar harian berbahasa Melayu, mengikut terma dipersetujui pihaknya.

Hamzah mendakwa Redzuan gagal memohon maaf berhubung kenyataannya diterbitkan di Berita Harian pada 5 Nov 2025 yang dianggap palsu, berniat jahat dan mencemar reputasinya sebagai ketua pembangkang serta pemimpin kanan Bersatu ketika itu.

Menurut Hamzah, Redzuan antara lain mendakwa beliau mendesak Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan, menggerakkan enam Ahli Parlimen dari parti itu menyokong Anwar Ibrahim dan mensabotaj parti sehingga kumpulan itu digelar ‘6 Jahanam’.

Mereka terdiri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Menurut Hamzah, penyiaran kenyataan itu secara meluas melalui akhbar dan pelbagai platform digital menyebabkan beliau menjadi sasaran kecaman, kebencian dan penghinaan, serta menjejaskan keyakinan parti dan rakyat terhadap peranannya sebagai ketua pembangkang.

Terdahulu, Hamzah menghantar surat tuntutan permohonan maaf kepada Redzuan yang juga bekas menteri pada 6 Nov.

Namun, firma guaman Tetuan Cheah Teh & Su yang mewakili Redzuan dalam jawapan sehari selepasnya menafikan bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu mengeluarkan kenyataan terbabit.

Hamzah, bekas timbalan presiden Bersatu dipecat daripada parti itu pada 13 Feb lalu.

FMT telah menghubungi Redzuan untuk mendapat maklum balas.

'Masa depan PN kelam - Muhyiddin seolah-olah turun pangkat'

Sakini Mohd Said, Rozainah Abdul Rahim & Bernama

Selepas hampir dua bulan ketidaktentuan mengenai hala tuju kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Januari lepas, gabungan parti politik itu akhirnya mengumumkan pengerusi baharu semalam.

Pelantikan Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi mengisi kekosongan tersebut selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) PN, bagaimanapun disifatkan oleh pemerhati politik sebagai tidak mengejutkan, sebaliknya sudah dijangka.

Penganalisis politik, Prof Madya Mazlan Ali berpandangan bahawa hubungan antara Bersatu dengan PAS selepas pelantikan kepimpinan baharu itu masih belum benar-benar stabil, malah berisiko berada dalam situasi “kelam” memandangkan hala tuju gabungan tersebut masih kabur.

“Saya nampak kelam, tidak nampak jalan cerah bagi hubungan antara Bersatu dengan PAS walaupun mereka duduk semeja dan menyetujui pengerusi PN yang baharu.

“Hal ini mengejutkan apabila Muhyiddin dilantik sebagai timbalan pengerusi PN kerana kapasitinya sebagai presiden Bersatu. Tindakan ini dilihat seolah-olah beliau ‘diturunkan pangkat’.

“Muhyiddin sebelum ini merupakan pengerusi PN, bekas perdana menteri, berpengalaman, dan banyak jasanya.

“Namun, apabila orang muda (Ahmad Samsuri) menjadi bos (pengerusi), hal ini menunjukkan seolah-olah tidak ada rasa hormat kepada Muhyiddin dan saya berpandangan bahawa ahli sukar untuk menerima arahan daripadanya,” katanya.

Mesyuarat semalam memutuskan untuk menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN, namun beliau sebaliknya dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur itu berkata, walaupun pimpinan tertinggi PN menggambarkan mesyuarat berlangsung secara harmoni, episod ketegangan sebelum ini serta kedudukan Muhyiddin yang semakin lemah pastinya menyukarkan gabungan tersebut untuk kembali stabil dan mencapai muafakat politik yang kukuh.

Pergeseran PAS -Bersatu akan berterusan

Justeru, Mazlan berpandangan bahawa kemungkinan pergeseran antara PAS dengan Bersatu akan berterusan, lebih-lebih lagi hubungan PAS dengan bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin, dilihat kekal baik. Malah, PAS dikatakan lebih selesa dengan kepimpinan Hamzah.

“Hal ini terbukti apabila Hamzah berkongsi sekeping gambar bersama-sama dengan presiden PAS dan beberapa pemimpin parti itu yang tular di media sosial selepas pemecatan berkenaan, sekali gus menggambarkan hubungan yang masih erat antara kedua-dua tokoh tersebut,” katanya.

Dia berkata tidak mustahil PAS cenderung untuk memilih kerjasama dengan Hamzah yang disifatkan lebih selesa dan memiliki sokongan lebih besar sekiranya Ahli Parlimen Larut itu mengambil langkah menubuhkan parti baharu.

Katanya, ketrampilan Hamzah juga dilihat lebih kukuh kerana mendapat sokongan majoriti 18 daripada 25 Ahli Parlimen parti itu, selain 118 ketua bahagian Bersatu menzahirkan sokongan padu kepadanya.

“Jika hal itu berlaku, Bersatu berdepan dengan risiko tersisih daripada PN kerana PAS tentunya akan membuat pertimbangan berdasarkan kekuatan sokongan dan kelangsungan politik gabungan. Saya berpandangan ada kemungkinan besar Bersatu akhirnya akan keluar daripada PN dan PAS memilih kerjasama bersama-sama Hamzah,” katanya.

Parti baharu

Dia berkata tidak ada halangan untuk Hamzah menubuhkan parti baharu kerana tidak terikat dengan undang-undang lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), memandangkan beliau dipecat daripada parti.

“Lembaga Disiplin parti itu telah memutuskan bahawa Hamzah dipecat daripada hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti berkenaan. Dalam polemik pemecatan Hamzah, tidak ada halangan untuk dia menubuhkan parti baharu.

“Ada potensi untuk parti baharu Hamzah berdiri lebih kukuh berbanding dengan Bersatu kerana beliau akan membawa Ahli Parlimen dan mereka yang tidak sekutu dengan Muhyiddin bersama-sama di bawah parti tersebut, sekali gus bekerjasama dengan PN,” katanya.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof. Awang Azman Awang Pawi berkata bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu dilihat sebagai strategi untuk meraih sokongan bukan Melayu.

6 ditahan merusuh yang berpunca dari perselisihan dua keluarga

MOHD. FAHMI ISMAIL

HULU SELANGOR – Dua laporan diterima berhubung insiden rusuhan sekumpulan individu di sebuah taman perumahan di Bukit Sentosa yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video dimuat naik di Facebook Haji Fairoque Aidi (@Fairoque) kira-kira pukul 4.30 petang tadi yang memaparkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati serta perselisihan faham melibatkan dua keluarga.

“Bertindak atas maklumat, tangkapan telah dijalankan ke atas enam lelaki warga tempatan berumur antara 18 hingga 49 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, insiden berkenaan adalah berkaitan perselisihan faham peribadi dan tidak melibatkan sebarang unsur gangsterisme atau isu perkauman.

“Polis akan mengambil tindakan tegas berlandaskan lunas perundangan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Wanita disentuh ketika tidur, suspek serumah larikan diri

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila mendakwa diraba seorang lelaki ketika sedang tidur di bilik rumah sewanya di Jalan Sentul, di sini, awal pagi 19 Februari lalu.

Kejadian dilaporkan pada pukul 1.49 pagi oleh mangsa berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pengurus di sebuah hotel di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa telah diraba oleh seorang lelaki warga India berusia 33 tahun yang turut menyewa di rumah sama.

“Semasa kejadian, mangsa sedang tidur di dalam biliknya sebelum menyedari suspek meraba kemaluannya. Mangsa kemudian menjerit menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Maut dirempuh kenderaan milik sendiri

Ahmad Hasbi
Lelaki warga emas maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya dirempuh sebuah kereta lain di Jalan Persiaran Senawang 2, berdekatan Family Store, Seremban, pagi tadi. – Foto PDRM
SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas maut dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya, selepas ia dirempuh kenderaan lain di Jalan Persiaran Senawang 2, berdekatan Family Store, di sini, pagi tadi.

Ketika kejadian jam 9.30 pagi, mangsa yang berusia 64 tahun dikatakan berada di hadapan kenderaannya, sebelum sebuah Perodua Viva dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas dan melanggar belakang MPV jenis Toyota Unser.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata , rempuhan menyebabkan MPV itu bergerak ke depan dan melanggar pemiliknya sendiri.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Unser yang cedera parah di kepala maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Orang ramai yang ada maklumat kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 06-6032222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ajaran sesat: Dakwa diri mempunyai lebih tujuh isteri dari alam ghaib

Skuad Khas Harian Metro

am@hmetro.com.my

Rawang: Mengaku diri sebagai 'rasul akhir zaman' dan orang yang Allah SWT kurniakan nikmat boleh mensyafaatkan serta boleh mengeluarkan orang daripada alam barzakh sekiranya 'beriman' dengannya.

Itu dakwaan seorang lelaki berusia 60-an yang didakwa membawa ajaran sesat hingga mengakui dirinya sebagai utusan Allah SWT yang diberikan status 'rasul akhir zaman' apabila mendakwa meninggalkan segala kemewahan yang dikecapi seawal usia 20-an.

Malah, lelaki berkenaan berani mendakwa dirinya mempunyai lebih tujuh isteri dari alam ghaib selain turut mempunyai isteri daripada pengikutnya selepas kematian isterinya.

Difahamkan, lelaki berkenaan menjadikan sebuah kawasan di Rawang di sini, sebagai 'markas dakwah' dengan ketika ini didakwa mempunyai kira-kira 20 pengikut terdiri daripada lelaki dan wanita serta kanak-kanak.

Lelaki itu juga didakwa mengajar al-Quran dan memperincikan setiap ayat suci, menjalani kehidupan zuhud serta didakwa sebagai seorang yang pintar memanipulasi orang lain hingga ada yang mempercayai serta menuruti setiap ajarannya.

Difahamkan, pengikut lelaki itu akan berkumpul pada setiap Jumaat ada juga pengikut bersama keluarga akan bermalam di pondok berkenaan beberapa hari.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati kawasan yang didakwa sebagai 'markas' ajaran lelaki itu berada di kawasan penempatan ramai berhampiran dengan masjid, kedai serta pasar raya.

Pemerhatian mendapati lokasi markas berkenaan berada di penghujung jalan dan mempunyai sebuah bangunan kayu dipercayai pondok yang menjadi tempat lelaki itu 'berdakwah' dan kawasan itu berpagar.

Harian Metro difahamkan terdapat kebun yang diusahakan di hutan belakang kawasan berkenaan selain turut dikatakan ada pondok dibangunkan di situ.

Warga emas dipenjara lapan tahun, dua sebatan setelah didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun

Bernama

Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada 2023.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Mohammed Rashid Rahmat, 64, melampaui keraguan yang munasabah.

Berikutan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara empat tahun dengan satu sebatan bagi kes pertama bermula dari tarikh sabitan manakala bagi kes kedua, dia diperintahkan menjalani hukuman penjara empat tahun dengan satu sebatan selepas tamat hukuman pertama, serta dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.

Mohammed Rashid didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan koridor pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus antara 6 petang hingga 8 malam pada 22 Nov 2023 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala Mohammed Rashid diwakili peguam Masliela Ismail.

- Bernama

Polis kesan 4 lelaki curi tabung Masjid Seksyen 7

Norzamira Che Noh

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kejadian curi tabung Masjid Seksyen 7 dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi semalam dengan suspek dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza berwarna perak.

“Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut diterima pada kira-kira jam 10.36 pagi semalam daripada seorang saksi iaitu lelaki tempatan berumur 30-an bekerja sebagai pengawal keselamatan masjid terbabit.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati masjid tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pihak polis akan mendapatkan rakaman kejadian dari pihak pengurusan masjid bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dilakukan.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Minazuddin Md Noor di talian 013-2236697 atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun, dan juga boleh dikenakan denda, dan jika bagi kesalahan kedua hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

'Hamzah, lima lagi MP kini blok bebas, perlu pindah tempat duduk'

Malaysiakini 

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan bahawa Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu kini secara rasmi bukan lagi ahli parti itu dan sepatutnya dikategorikan sebagai Ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat.

Menurutnya, kedudukan itu bukan sahaja melibatkan timbalan presiden Bersatu itu, tetapi malah merangkumi lima lagi Ahli Parlimen yang telah dipecat daripada parti itu sebelum ini.

Mereka ialah Fathul Huzir Ayob (Grik), Azahari Hasan (Padang Rengas), Wan Saiful Wan Jan (Tasik Gelugor), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).

"Berdasarkan Akta Lompat Parti 2022, Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu dan Peraturan Dewan Rakyat, Hamzah kini secara automatik dianggap ahli Bebas.

"Sepatutnya mereka perlu dipindahkan ke blok Bebas dan tidak lagi mewakili Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Status ketua pembangkang Hamzah terbatal

Mengulas lanjut, Tun Faisal berpendapat bahawa perubahan status itu turut memberi kesan langsung kepada jawatan strategik yang disandang oleh kumpulan berkenaan di Parlimen.

Katanya, jawatan yang diperoleh melalui kuota parti, termasuk jawatan ketua pembangkang yang kini dipegang Hamzah, sepatutnya terbatal dengan sendirinya.

"Jawatan ketua pembangkang mesti diisi oleh ahli yang mewakili parti dalam blok pembangkang, bukan blok bebas.

"Ahli Bebas sepatutnya tidak layak mencalonkan atau menentukan ketua pembangkang kerana sifat mereka yang tidak lagi mewakili mana-mana blok parti rasmi," katanya.

Selain ketua pembangkang, Tun Faisal turut membangkitkan keperluan untuk menggantikan kedudukan lain seperti Ketua Whip, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dan pengerusi portfolio (Kabinet Bayangan) yang dipegang oleh ahli yang telah dipecat.

Hamzah tak boleh dakwa wakili MP Bersatu

Ketua penerangan Bersatu itu turut mengingatkan bahawa Hamzah tidak mempunyai hak undang-undang untuk mendakwa dia mewakili baki 18 lagi ahli Parlimen Bersatu yang masih sah.

Katanya, mengikut Seksyen 9(2) Akta Lompat Parti, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang masih menjadi ahli parti asal tidak boleh dianggap Ahli Bebas atau berpindah blok tanpa kelulusan rasmi parti.

"Ini bermakna hanya Ahli Parlimen yang dipecat sahaja boleh bergabung dengan beliau (Hamzah). Ahli Parlimen yang kekal dalam Bersatu tidak sah untuk berpindah blok secara kolektif tanpa tindakan disiplin rasmi.

"Hamzah tidak mempunyai hak untuk mewakili PN atau blok pembangkang kerana secara undang-undang mereka (yang dipecat) hanya boleh bertindak sebagai Ahli Bebas," katanya.

Sehubungan itu, dia mencadangkan agar pengurusan parti mengambil tindakan segera dengan memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memindahkan kedudukan kerusi ahli-ahli yang terlibat.

Langkah itu, tegasnya, adalah kritikal bagi memastikan disiplin dalaman terjaga serta mengelakkan kekeliruan politik mengenai kredibiliti Bersatu sebagai blok pembangkang yang utuh.

"Tindakan disiplin dan pengurusan blok oleh parti adalah penting untuk memastikan autoriti Bersatu dan PN kekal terpelihara," katanya.

Selain Hamzah dan lima Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat itu, – ahli parlimen yang dikatakan menyokongnya kumpulan itu ialah Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee (Beluran), bekas ketua Wanita Bersatu yang juga pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).

Turut berada dalam kelompok itu ialah Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).

Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kereta di Melaka

Bernama 

Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi Jalan Ong Kim Wee, Gajah Berang di Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.10 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan.

"Sepasukan anggota dari Balai Polis Tengkera bersama dengan pegawai penyiasat dan anggota forensik digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut manakala pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Tengkera yang berada di lokasi mengesahkan lelaki berusia 50 tahun itu telah meninggal dunia.

“Mayat lelaki berkenaan dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

- Bernama

PKR, Rafizi sedang ‘tunggu-lihat’

Elill Easwaran

PETALING JAYA: PKR dan bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli kelihatan terkunci dalam satu kebuntuan taktikal, di mana tiada pihak sanggup mengorak langkah pertama, kata seorang penganalisis politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, berkata Rafizi dilihat sedang menyusun kedudukannya dan menunggu dipecat PKR, namun parti itu berkemungkinan besar tidak akan bertindak sedemikian dalam masa terdekat.

Katanya, dengan terus kekal dalam PKR akan menyebabkan Rafizi berada situasi tidak menentu, terutama apabila prospek berdamai dengan kepimpinan tertinggi dilihat tipis susulan kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

“Jika beliau dipecat, maka Rafizi boleh menuntut kedudukan moral lebih tinggi. Namun, saya tidak fikir PKR akan memberikan ‘kemewahan’ itu kepada Rafizi,” katanya kepada FMT.

“Saya rasa (pemilihan parti tahun lalu) menandakan berakhirnya perjalanannya dalam PKR. Saya tidak fikir ada jalan untuk Rafizi kembali berdamai.”

Azmi juga berkata, membiarkan Rafizi terus mengkritik kepimpinan PKR adalah lebih selamat dari segi strategi buat parti itu. PKR hanya perlu menunggu sehingga PRU akan datang apabila parti boleh memilih tidak meletakkannya sebagai calon.

Beliau berkata, pilihan terbaik PKR buat masa ini adalah dengan menelan sahaja tindakan Rafizi, memandangkan tindakan tatatertib lebih keras terhadap Ahli Parlimen Pandan itu boleh memakan diri.

Memecat Rafizi sekarang juga akan menyebabkan parti kehilangan satu kerusi di Dewan Rakyat, manakala Rafizi kekal sebagai Ahli Parlimen bebas atau menyertai parti lain.

Rafizi sebelum ini mengkritik secara terbuka terhadap presiden merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya, termasuk isu kontroversi pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Pada Ahad, Rafizi dilaporkan memberitahu Sin Chew bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Pandan pada PRU16, namun berkemungkinan besar tidak akan bertanding sebagai calon PKR.

Beliau juga menyatakan tidak akan menyertai ‘kuasa ketiga’, menubuhkan parti baharu, atau bekerjasama dengan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Rafizi kurang sokongan akar umbi

Azmi berkata, Rafizi bakal berdepan masa sukar untuk mempertahankan kerusi Pandan bagi penggal ketiga tanpa sokongan parti seperti PKR, memandangkan beliau kekurangan sokongan akar umbi.

Beliau berkata, Khairy secara meluas lebih popular berbanding Rafizi, namun turut mengakui beliau perlu bertanding sebagai calon parti untuk menang.

“Rafizi tidak mempunyai asas politik kuat dari segi sokongan akar umbi,” kata Azmi sambil berhujah kemenangan besar Rafizi di Pandan pada pilihan raya 2013 dan 2022 sebahagian besarnya disebabkan jentera PKR.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia, menjangkakan Rafizi akan ‘menguji pasaran’ dengan cuba mempertahankan kerusinya sebagai calon bebas pada PRU16, berkemungkinan bersama sekutunya seperti bekas naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, populariti Rafizi terutamanya dalam kalangan pengundi bandar tidak cukup untuk diterjemahkan kepada kekuatan politik.

Mazlan juga berkata, ada kemungkinan yang semakin meningkat untuk dikenakan tindakan tatatertib ke atas Rafizi susulan kritikan berterusan terhadap Anwar dan kerajaan.

Namun, beliau berkata, PKR seharusnya hanya menunggu sehingga penggal Parlimen berakhir dan memutuskan tindak balas secara demokratik, sekiranya Rafizi muncul sebagai pencabar langsung pada PRU16.

Dua beradik ditemui maut sebelum majlis perkahwinan, disyaki akibat keracunan

Astro AWANI

JODHPUR: Kegembiraan sebuah keluarga di India bertukar menjadi tragedi memilukan apabila dua beradik perempuan ditemui maut hanya beberapa jam sebelum majlis perkahwinan mereka dijadualkan berlangsung semalam.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Shobha, 25, dan adiknya Vimla, 23, merupakan guru di sebuah sekolah swasta dan dijadualkan untuk melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis berkembar pada Sabtu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Tambahan (ADCP) Barat, Roshan Meena, upacara praperkahwinan tradisional Bindauli diadakan sehingga lewat malam Jumaat sebelum kedua-dua bakal pengantin masuk tidur sekitar tengah malam.

"Bagaimanapun, sekitar jam 4 pagi, tahap kesihatan kedua-dua mangsa tiba-tiba merosot dengan mendadak.

"Ahli keluarga segera membawa mereka ke sebuah hospital swasta di Jodhpur, namun doktor mengesahkan mereka telah meninggal dunia sebaik tiba," katanya menurut laporan Hindustan Times.

Siasatan awal polis Sursagar tidak menolak kemungkinan kematian akibat makan bahan beracun, namun punca sebenar hanya akan diketahui selepas laporan bedah siasat diperoleh.

Polis menemukan sebarang nota bunuh diri di lokasi kejadian.

Polis juga terpaksa campur tangan menghentikan persiapan upacara pengebumian yang cuba dilakukan keluarga mangsa tanpa proses bedah siasat.

Sementara itu, ahli keluarga dalam laporan India Today mendakwa terdapat tekanan serta perselisihan berkaitan pemilihan lokasi majlis perkahwinan, namun polis belum mengesahkan motif sebenar kejadian dan siasatan masih diteruskan. 

Warga Myanmar bunuh tukang panggang babi didakwa esok

NOR AINNA HAMZAH

PORT DICKSON – Seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki membunuh rakan senegaranya dalam kejadian di Bukit Pelandok di sini akan dituduh di Mahkamah Port Dickson, esok.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kes dirujuk kepada pihak pendakwaan pada 21 Februari lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tertuduh berusia 21 tahun akan dituduh esok,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini

Kosmo! pada 11 Februari lalu, melaporkan seorang tukang panggang khinzir ditemukan maut dengan 29 kesan tikaman di leher di dalam sebuah bilik rumah kedai berdekatan jalan besar Bukit Pelandok.- KOSMO! ONLINE

Rafizi akan bertanding di Pandan walaupun bukan sebagai calon PKR dalam PRU16

Jadi ke tak Rafizi bertanding di Pandan?
K PRAGALATH

Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Pandan meskipun ada kemungkinan beliau berbuat demikian tanpa restu PKR.

“Saya tidak rasa saya akan bertanding sebagai calon PKR. Saya akan tetap bertanding di Pandan, itu saya sudah putuskan. Bagaimana saya akan bertanding di Pandan, saya rasa itu rahsia,” katanya dalam satu temuramah dengan Sin Chew Daily.

Beliau menjangkakan pertandingan sengit tetapi kemenangan bukan motif utama beliau.

Rafizi menggariskan motif kelangsungan politik berbilang kaum yang progresif dan perubahan politik yang berterusan sebagai motifnya.

Hala tuju politik politik beliau akan diumumkan dalam bulan Jun.

Semenjak tewas di dalam pemilihan parti sebagai timbalan presiden PKR, Rafizi telah menjadi pengkritik presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di dalam pemilihan parti, Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar.

Rafizi mengakui bahawa satu-satu perkara yang menghalang dirinya daripada meninggalkan PKR ialah undang-undang anti lompat parti kerana ia akan menyebabkan penduduk Pandan kehilangan wakil rakyat.

Ahli – ahli parlimen yang menyokong Rafizi sekarang termasuklah Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Tan Kar Hing (Gopeng) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Naib presiden Chang Lih Kang yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi dan Menteri Ekonomi Akmal Nasir dan Menteri Besar Negeri Sembilan dilaporkan condong menyebelahi Rafizi.

Disyaki beri rasuah RM8 juta, bekas pengarah telco ditahan

Bernama

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi (telco) kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM8 juta.

Suapan itu dipercayai diberikan kepada pengarah urusan kumpulan sebuah bank sebagai balasan membantu meluluskan permohonan pinjaman.

Menurut sumber, lelaki dalam lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari tadi, ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2012.

“Suspek juga dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan dokumen ‘Joint Completion Guarantee’ sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman berjumlah kira-kira RM400 juta untuk membiayai sebuah projek fiber optik,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Hamzah, 18 Ahli Parlimen sokong PAS ketuai PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Hamzah Zainudin dan 18 Ahli Parlimen menyokongnya, termasuk 13 wakil rakyat masih bersama Bersatu, menyuarakan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional (PN) susulan pelantikan pengerusi baharunya.

Sembilan belas Ahli Parlimen itu mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikannya sebagai pengerusi PN dan berikrar memberi sokongan penuh kepadanya bagi memimpin gabungan pembangkang itu.

“Pelantikan ini merupakan konsolidasi serius bahawa PN benar-benar bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina negara.

“Sebagai Ahli Parlimen, kami terus menyokong PN yang dipimpin PAS selaku parti tunjangnya,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Terdahulu, Majlis Tertinggi PN sebulat suara bersetuju melantik Samsuri mengetuai gabungan itu menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan 1 Jan lalu.

Muhyiddin kini timbalan pengerusi PN.

Hamzah dan tiga Ahli Parlimen Bersatu dipecat 13 Feb lalu di kemuncak kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.

Mereka dilaporkan akan mengambil alih parti politik lain minggu depan.

MB Terengganu, Ahmad Samsuri dilantik pengerusi PN, PAS mahu ganti Hamzah ketua pembangkang

Malaysiakini 

Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) melantik Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menteri besar Terengganiusebagai pengerusi baru gabungan itu.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani presiden parti-parti komponen PN, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur petang tadi.

“Mesyuarat dihadiri oleh semua ahli-ahli Majlis Tertinggi PN, termasuk empat Presiden Parti-parti Anggota iaitu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (Presiden BERSATU), Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Datuk Dr Dominic Lau (Presiden Gerakan) dan P Punithan (Presiden MIPP).

"Agenda mesyuarat yang utama adalah untuk meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026 dan melantik Pengerusi PN yang baharu.

"Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.

"Mesyuarat seterusnya dengan sebulat suara melantik YAB. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta merta,” maklum kenyataan Majlis Tertinggi PN itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula memaklumkan parti itu akan mengambil alih jawatan ketua pembangkang.

Bagaimanapun, calon bagi jawatan tersebut masih belum diputuskan.

Jawatan itu kini disandang Hamzah Zainudin yang digugurkan sebagai timbalan presiden Bersatu serta dipecat daripada parti itu dua minggu lalu.

SPRM tahan Exco Terengganu

MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang Exco kerajaan negeri Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dengan mengarahkan dua anaknya bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini.

Sumber berkata, lelaki berusia 60-an itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat agensi tersebut di Kemaman pada pukul 11.15 pagi tadi.

“Siasatan awal mengesyaki suspek menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri dan pengerusi lembaga pengarah sebuah GLC untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri.

“Perbuatan itu dipercayai dilakukan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Terengganu tersebut pada 2018 dan 2020,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Mursyidul Am PAS jalani prosedur jantung

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: PAS memohon orang ramai mendoakan kesembuhan Mursyidul Am Hashim Jasin yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat masalah jantung.

Anak perempuan Hashim, 87, Husna Hashim berkata bapanya baru selesai menjalani prosedur pemasangan stent jantung.

“Prosedur stent itu dah selesai dan Alhamdulilah berjaya. Cuma jantung beliau sangat lemah dan perlu lakukan dialisis kerana masalah buah pinggang.

“Beliau mungkin kena tahan di wad untuk beberapa hari lagi sehingga keadaan kesihatan stabil. Kalau stabil InsyaAllah boleh balik,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Husna dalam hantaran di TikTok berkongsi keadaan kesihatan bapanya yang berada dalam keadaan lemah ketika dirawat di hospital.

Hashim, 87, dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di Perlis sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan lanjut.

Sementara itu, akaun Facebook rasmi Hashim dan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Tiab Azamudden juga memohon orang ramai mendoakan beliau segera sembuh.

Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang keempat pada 10 Okt 2016 oleh Majlis Syura Ulama PAS susulan pemergian Haron Din pada 16 Sept tahun yang sama.

Masjid terbesar Australia terima surat ugutan ketiga

Bernama

ISTANBUL: Polis Australia melancarkan siasatan selepas tiga surat ugutan dihantar ke masjid terbesar negara itu hanya beberapa jam sebelum bermulanya bulan suci Ramadan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Surat yang dihantar ke Lakemba Mosque mengandungi gambar seekor babi dilukis dengan tangan serta ugutan untuk membunuh ‘umat Islam’, lapor penyiar tempatan ABC News.

Surat itu turut merujuk kepada lelaki yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Christchurch.

Bercakap kepada wartawan pada Khamis, Pesuruhjaya Polis New South Wales Mal Lanyon, mengesahkan beliau melihat surat berkenaan. “Kami mengambilnya dan sedang menjalankan siasatan.”

Dua surat terdahulu yang dihantar ke masjid itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini termasuk satu yang menggambarkan bangunan berkenaan terbakar.

Pemimpin komuniti berkata perkembangan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, memandangkan beberapa ribu jemaah menghadiri solat di masjid itu sepanjang Ramadan.

“Kami menerima begitu banyak pertanyaan tentang sama ada selamat untuk pergi bersolat,” kata Setiausaha Lebanese Muslim Association Gamel Kheir yang menguruskan masjid itu kepada ABC News.

“Itu bukan persoalan yang patut ditanya oleh mana-mana rakyat Australia.”

Insiden itu berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap peningkatan perkauman dan Islamofobia di Australia.

Satu kajian nasional yang dikeluarkan awal bulan ini mendapati hampir 79% kakitangan dan pelajar universiti pernah mengalami isu perkauman di kampus.

Pemimpin komuniti berkata ugutan terhadap masjid itu tidak boleh dilihat secara berasingan.

Ketegangan kekal memuncak sejak serangan maut di Bondi Beach lewat tahun lepas.

Perdana Menteri Anthony Albanese sebelum ini mengecam ugutan terhadap institusi keagamaan dan menegaskan serangan yang menyasarkan komuniti beragama tidak mempunyai tempat di Australia.

Polis memaklumkan yang mereka memandang serius surat terbaharu itu ketika Ramadan sedang disambut oleh komuniti Muslim.

Tunggang motosikal bertelanjang disiang hari, seorang lelaki diburu

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan lelaki itu menunggang motosikal dalam keadaan tidak berpakaian. - Tribunnews
JAKARTA – Seorang lelaki di Bekasi, wilayah Jawa Barat mengundang perhatian orang ramai apabila menunggang motosikal dalam keadaan tidak berpakaian pada waktu siang, lapor portal berita Tribunnews. 

Kejadian berlaku di kawasan industri MM2100, daerah Cikarang Barat baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan lelaki itu santai menunggang motosikal tanpa mengenakan sebarang pakaian semasa hujan. 

Dia juga tidak menghiraukan pengguna jalan raya yang memandang pelik ke arahnya. 

Ketua Unit Trafik Polis Metro Bekasi, Pesuruhjaya Sugihartono mengesahkan bahawa identiti penunggang motosikal itu telah dikenal pasti. 

“Kami akan memeriksa jika pelaku mengalami sebarang masalah mental sebelum menentukan tindakan yang sesuai,” katanya. – AGENSI

Anwar macam 'cybertrooper', kata Rafizi dalam kes bos SPRM

Kes bos SPRM: Anwar macam 'cybertrooper', kata Rafizi
Qistina Nadia Dzulqarnain

Rafizi Ramli menyatakan keraguan terhadap hasil jawatankuasa khas yang menyiasat Azam Baki dengan mendakwa tingkah laku Anwar Ibrahim sebagai “seperti cybertrooper” dan ia bukanlah petanda yang baik.

Bercakap dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri malam tadi, bekas Timbalan Presiden PKR itu menegaskan aktiviti media sosial Anwar – termasuk memaparkan kandungan yang selari dengan Azam – menunjukkan perdana menteri “tidak berminat” untuk menyiasat dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan.

“Tapi apabila keluar Anwar sendiri yang jadi cybertrooper duk forward perkara-perkara yang menunjukkan, mengiakan naratif sekarang kononnya Azam Baki ini diserang oleh kumpulan-kumpulan yang korup, itu naratif dia, itu menunjukkan itu pendirian dia (Anwar).

“Maksudnya perdana menteri berpandangan bahawa Azam Baki ini bersih dan semua yang telah disiarkan oleh Bloomberg itu, dia tak berminat langsung untuk tahu pendedahan-pendedahan itu.

“Dia tak berminat untuk disiasat kerana dia sendiri yang jadi peddler yang dok sibuk nak tunjukkan dan membesarkan naratif seolah-olah Azam Baki ini menjadi bahan serangan kerana buat kerja,” kata Rafizi.

Sambil menyatakan tiga orang yang dilantik menganggotai jawatankuasa khas siasatan itu semuanya melapor kepada perdana menteri, Rafizi menyuarakan kebimbangan betapa kurangnya kebebasan mereka dan mengibaratkan keadaan itu sebagai “kawan siasat kawan”.

Secara sinis Rafizi berkata jawatankuasa khas tersebut tidak mungkin membuat kesimpulan yang bertentangan dengan pendirian jelas Anwar.

“Apabila perdana menteri, sebelum siasatan bermula pun sudah bertindak seperti cybertrooper dan telah pun membuat kesimpulan, kita tahu ke mana akhirnya perkara ini.

“Apabila perdana menteri sendiri menyebarkan naratif bahawa Azam diserang kerana menjalankan tugasnya — itu jelas (bertujuan) untuk menutup sepenuhnya persoalan yang timbul mengenai integriti Azam,” tambah Ahli parlimen Pandan itu.

Calonkan Tengku Maimun

Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, mengetuai jawatankuasa tersebut manakala dua lagi anggotanya ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

Kenyataan terdahulu Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar menunjukkan skop siasatan jawatankuasa itu hanya tertumpu kepada isu pegangan saham Azam seperti didedahkan Bloomberg.

Perkara itu kemudian disokong oleh Mohd Dusuki, yang menyatakan bahawa siasatan jawatankuasa tidak melibatkan sebarang penelitian unsur jenayah.

Terdahulu, timbul dakwaan bahawa pegawai SPRM bersekongkol dengan individu tertentu di pihak swasta untuk menekan pesaing perniagaan mereka dan mengatur pengambilalihan saham korporat.

Semalam, anak Anwar yang juga Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan Mohd Dusuki, namun memberi peringatan bahawa langkah itu tidak memadai jika skopnya terhad.

Dia yang mengalahkan Rafizi dalam pemilihan tahun lalu turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang mempunyai kuasa arahan dan pemantauan sebenar serta melapor terus kepada parlimen.

Pihak lain sebelum ini mencalonkan bekas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengetuai panel bebas bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam.

Terdahulu dalam audio siar sama, Rafizi memaparkan tangkap layar mesej yang didakwa dihantar oleh Anwar dalam kumpulan WhatsApp pro-PKR.

PM tetap bertanggungjawab

Ia memaparkan video TikTok yang menurut Rafizi tidak mendapat perhatian meluas sehinggalah Anwar menyebarkannya.

Video tersebut dikatakan mencemuh kritikan Muda terhadap Azam dengan menuduh parti itu “dibiayai” dan bertindak sebagai “alat” pihak yang sebelum ini disasarkan oleh agensi antirasuah terbabit, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin.

“Orang luar mungkin tidak tahu bahawa selain menjadi perdana menteri, (Anwar) juga sekali-sekala menjadi cybertrooper di WhatsApp,” seloroh Rafizi.

“Mungkin ada yang terkejut. Saya sudah lama bersama beliau (justeru) saya tidak terkejut. Dia memang begitu.”

Bekas menteri ekonomi itu turut menyorot tindakan akaun rasmi X milik Anwar yang menyiarkan semula kandungan daripada “akaun tanpa nama atau cybertrooper.”

Menegaskan bahawa dia sendiri tidak dapat memastikan sama ada hantaran itu dibuat sendiri oleh Anwar atau pihak lain, Rafizi berkata, Presiden PKR itu tetap bertanggungjawab atas apa yang disebarkan.

“Kalau pasukan saya retweet sesuatu dan saya tidak setuju, memang mati kena ‘hempuk’ (ditegur dengan keras) dengan saya.

“Sama ada Anwar sendiri yang retweet (kandungan itu) atau orang lain, itu bermakna dia tidak kisah akaun rasminya menyebarkan perkara yang membuatkan sebahagian daripada kita kurang senang,” kata Rafizi.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa akaun X Anwar menyiarkan semula satu hantaran yang menyorot kenyataan SPRM mengenai laporan terhadap Rafizi, sambil membuat perbandingan dengan skandal saham Azam.

Hantaran itu berbunyi: “Jika Bloomberg boleh memperbesarkan isu Azam Baki ‘bermain’ saham bernilai RM1 juta, sudah tentu ia tidak akan memejamkan mata terhadap seribu juta.”

Isu itu timbul ketika siasatan SPRM sedang berjalan melibatkan perjanjian kerajaan dengan syarikat semikonduktor British, Arm Holdings, dengan Rafizi dituduh tergesa-gesa memuktamadkan perjanjian yang didakwa melibatkan kos RM1.1 bilion.

Rafizi juga sedang disiasat berhubung dakwaan kedua melibatkan projek tenaga solar berskala besar oleh UEM Lestra. Dalam kes itu Rafizi didakwa mengarahkan kontrak bernilai RM2.5 bilion diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.

Rafizi: Satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita

Sinar Harian

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan terbabit dalam salah laku berjumlah RM3.6 bilion yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman medianya, beliau berkata, siasatan itu melibatkan dua isu berasingan yang dikaitkan dengannya tetapi tiada bukti fizikal atau transaksi wang yang menunjukkan penglibatannya.

“Tidak ada rampasan ratusan juta atau jongkong emas. Tidak ada bukti ratusan juta dalam akaun saya, malah, satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita,” katanya.

Ujar Ahli Parlimen Pandan itu, SPRM telah buka kertas siasatan kononnya untuk menyiasat adakah perjanjian kerajaan dengan syarikat cip semikonduktor antarabangsa, ARM dilakukan secara tergesa-gesa dan telah merugikan negara.

"Ini yang jadi bahan berita konon bekas menteri kanan disiasat berhubung dakwaan salah laku RM1.1 billion," jelas Rafizi.

Menyentuh mengenai isu kedua yang disiasat membabitkan membabitkan projek solar terbesar 750 megawatt (MW) oleh UEM Lestra, beliau menegaskan projek itu adalah swasta dan tidak berada di bawah kementeriannya.

“Saya dituduh menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang kononnya berkait dengan saya. Ini jadi satu lagi bahan fitnah yang dijaja oleh Caprice dan diulang oleh ceplos-ceplos, konon Rafizi terbabit kes rasuah RM2.5 billion," katanya.

Beliau menegaskan kedua-dua isu itu muncul secara tiba-tiba dalam tempoh kurang seminggu.

"Ini masalahnya apabila ada pihak yang terdesak menggunakan fitnah," jelas bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Rafizi menyifatkan, tuduhan berkenaan sebagai satu bentuk “fitnah overkill” kerana jumlah RM3.6 bilion yang dikaitkan dengannya lebih besar daripada jumlah RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan bekas Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1MDB.

“Najib disabitkan bersalah bila ada RM2.3 bilion masuk akaun peribadi dari dana 1MDB. Saya kini dituduh terbabit kononnya dalam dua skandal kewangan yang jumlahnya RM3.6 bilion – fuyooooo lagi banyak dari Najib!” katanya.

Rafizi baru- baru ini telah memperincikan bahawa pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra dalam projek NETR adalah inisiatif pihak swasta sepenuhnya dan tidak membabitkan dana awam atau perolehan kerajaan.

Beliau dilaporkan turut menafikan dakwaan pembabitan kepentingan peribadi dalam projek tersebut dan menyifatkan serangan pempengaruh media sosial sebagai fitnah terancang.

Dalam pada itu, Rafizi turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa membenarkan fitnah serupa dijaja oleh penyokong-penyokongnya sendiri.

"Kami yang GenX ke atas ni dah melalui semua ini zaman reformasi dahulu. Fitnah yang menjadi 'overkill'. Tilam diusung untuk tunjuk air mani. Semua cerita lucah jadi bahan laporan setiap hari.

"Kami yang rakyat biasa turun membela Anwar yang jadi mangsa fitnah kerana sepak terajang kuasa.

"Malangnya, Anwar kini membenarkan fitnah yang overkill dijaja oleh penyokong-penyokongnya setiap hari kerana kali ini ia digunakan terhadap seorang yang dia sendiri mengaku dia menyampah. 

"Benarlah manusia ini mudah lupa," katanya. -Sinar Harian

Warga emas parah ditikam anak guna pembuka tin

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Kediaman mangsa yang ditikam menggunakan pembuka tin oleh anaknya sendiri. - FOTO Ihsan polis
Kediaman mangsa yang ditikam menggunakan pembuka tin oleh anaknya sendiri. - FOTO Ihsan polis
Kuala Pilah: Wanita warga emas parah selepas dikatakan ditikam anaknya pada bahagian leher di sebuah rumah di Kampung Segineh Inas, Johol, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa ditikam dengan pembuka tin oleh suspek yang juga seorang wanita yang dikatakan mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Mustafah Hussin berkata, mangsa yang berusia 80-an itu berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Rembau.

"Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian tikaman membabitkan ahli keluarga di Kampung Segineh Inas.

"Siasatan awal mendapati pada jam 7.08 malam tadi, polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan satu kes pergaduhan di sebuah rumah.

"Suspek dikatakan menikam leher ibunya sendiri menggunakan senjata tajam yang dipercayai alat pembuka tin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil serta masih dalam pemantauan pihak hospital.

"Saspek seorang wanita berumur 50-an yang juga anak kandung mangsa. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan suspek mempunyai masalah kesihatan mental.

"Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999.

Johor: Bomba selamatkan wanita terjun sungai

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita yang terjun ke sungai di Kampung Tembiohdi Kampung Tembioh, Kota Tinggi. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita yang terjun ke sungai di Kampung Tembiohdi Kampung Tembioh, Kota Tinggi. FOTO Ihsan JBPM
Kota Tinggi: Seorang wanita berusia 44 tahun yang cuba menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun ke sungai di Kampung Tembioh, di sini, semalam, berjaya diselamatkan anggota bomba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 petang dan tiba di lokasi pada jam 5.48 petang.

Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran sebuah gerai makan di tepi sungai.

"Operasi membabitkan enam anggota serta sebuah fire rescue tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi.

"Anggota bomba mendapati seorang mangsa melakukan cubaan membunuh diri dengan terjun ke sungai.

"Mangsa ditemukan di tebing sungai dan anggota bomba turun ke tebing bagi membawa naik mangsa. Mangsa kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya menerusi siaran media, hari ini.

Rafizi akan saman Caprice

Nur Alif Hazmi

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli akan meneruskan tindakan saman terhadap pempengaruh media sosial Ariz Ramli atau Caprice yang mendakwa hanya meminta penjelasan berkait perjanjian sebuah projek solar swasta.

Bekas menteri ekonomi itu berkata Caprice sudah diberi ruang untuk memohon maaf dan memberi penjelasan namun beliau gagal berbuat demikian.

“Bertanya itu bukanlah ‘defence’ dalam undang-undang fitnah…ada konsep ‘innuendo’ dan ‘insinuation’.

“Dengan ‘bertanya’ tetapi mewujudkan persepsi, itu tetap fitnah,” katanya dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri (YBM) malam tadi

Perkembangan berkenaan menyusul selepas Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran di media sosial dan meminta maaf kepadanya sebelum jam 5 petang hari ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Ini susulan hantaran di laman sosial Rafizi berkenaan tuduhan Caprice berhubung kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.

Caprice menegaskan beliau tidak pernah menyebut jumlah RM2.5 bilion itu mahu pun sebarang perkataan rasuah dalam hantaran video di laman sosialnya.

Dalam pada itu, Rafizi turut menafikan wujud sebarang unsur rasuah berkaitan perjanjian kerajaan dengan ARM, sebuah syarikat gergasi semikonduktor dunia, yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas timbalan presien PKR itu berkata untuk membuktikan salah laku, perlu ada elemen kepentingan peribadi atau kewangan, pemberi dan penerima, serta penyalahgunaan kuasa.

“Tiga-tiga ini tak ada,” katanya sambil menambah beliau bersedia jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Rafizi berkata sekiranya siasatan itu tidak membawa kepada pendakwaan, beliau akan mempertimbangkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan menyalahgunakan institusi penguatkuasaan untuk pembunuhan karakter.

Dua perjanjian itu berlaku ketika Rafizi mengetuai Kementerian Ekonomi dari Disember 2022 hingga Jun 2025.

Di zaman serba canggih, masih ada yang begini: Penduduk solat tarawih 2 kiblat

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan orang ramai menunaikan solat tarawih di tempat sama dengan kiblat berbeza. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular di Palu, wilayah Sulawesi Tengah memaparkan jemaah menunaikan solat tarawih di sebuah masjid dengan arah kiblat yang berbeza. 

Kejadian berlaku di Masjid Baitul Khairaat pada hari pertama Ramadan. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @alghzaliii_ dan @ucangakun2 menunjukkan orang ramai khusyuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah. 

Apa yang menarik perhatian adalah terdapat dua kumpulan menghadap arah kiblat berbeza. Ia bukan sahaja berlaku di saf lelaki, malah saf perempuan. 

Masjid tersebut baru siap dibina dan digunakan buat pertama kali untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Rakaman itu mencatatkan lebih 1.4 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Masing-masing ada telefon, tinggal cari arah kiblat. Itulah pentingnya ilmu,” kata seorang netizen. 

“Masjid itu tiada tempat imamkah?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Mayat wanita tanpa identiti ditemui dalam longkang

MOHD SHARKAWI LONDING
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas mayat seorang wanita yang ditemui di dalam longkang kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Tengah, Segamat hari ini. IHSAN POLIS
SEGAMAT – Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemui di dalam longkang kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Tengah di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, mayat mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd. Jumazanzahir Chek Ismail berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai seorang wanita warga emas berusia lingkungan 60-an, namun identitinya masih belum dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Pegawai perubatan dari Hospital Segamat telah hadir ke lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di talian 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Caprice hulur jambangan mawar kepada Rafizi

Harapandaily
Penyanyi rap Caprice menghulurkan jambangan mawar kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai gimik untuk berdamai.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli hari ini tampil menjelaskan bahawa dia tidak pernah membuat sebarang tuduhan fitnah seperti yang didakwa Rafizi.

“Semua pihak perlu cool down. Mari kita berjabat tangan.

“Kalau Rafizi sudi, saya sudi berdamai dengan Rafizi,” katanya dalam sidang media di pejabat Lee & Poh Partnership dekat Kerinchi, Kuala Lumpur.

Dia yang ditemani peguam menambah, bunga ros tersebut merupakan tanda keinginan untuk menamatkan polemik yang tercetus.

“Dalam tempoh tujuh hari sebelum bunga ros ini layu, harap kita boleh berdamai sempena Ramadan ini.

“Jom kita sama-sama bangunkan Malaysia,” kata Caprice lagi.

Terdahulu, Rafizi menyifatkan isu membabitkan projek solar terbesar 750 megawatt (MW) oleh UEM Lestra sebagai fitnah yang dijaja oleh Caprice dan diulang oleh para ‘ceplos’ kononnya beliau terbabit dalam kes rasuah RM2.5 bilion.

Ahli Parlimen Pandan berkenaan telah memperincikan bahawa pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra dalam projek NETR adalah inisiatif pihak swasta sepenuhnya.

Beliau menegaskan bahawa pelaburan tersebut tidak membabitkan dana awam atau perolehan kerajaan.

Bekas pemimpin PKR itu turut menafikan dakwaan pembabitan kepentingan peribadi dalam projek tersebut dan menyifatkan serangan pempengaruh media sosial sebagai fitnah terancang.