"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masjid terbesar Australia terima surat ugutan ketiga

Bernama

ISTANBUL: Polis Australia melancarkan siasatan selepas tiga surat ugutan dihantar ke masjid terbesar negara itu hanya beberapa jam sebelum bermulanya bulan suci Ramadan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Surat yang dihantar ke Lakemba Mosque mengandungi gambar seekor babi dilukis dengan tangan serta ugutan untuk membunuh ‘umat Islam’, lapor penyiar tempatan ABC News.

Surat itu turut merujuk kepada lelaki yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Christchurch.

Bercakap kepada wartawan pada Khamis, Pesuruhjaya Polis New South Wales Mal Lanyon, mengesahkan beliau melihat surat berkenaan. “Kami mengambilnya dan sedang menjalankan siasatan.”

Dua surat terdahulu yang dihantar ke masjid itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini termasuk satu yang menggambarkan bangunan berkenaan terbakar.

Pemimpin komuniti berkata perkembangan terbaharu itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, memandangkan beberapa ribu jemaah menghadiri solat di masjid itu sepanjang Ramadan.

“Kami menerima begitu banyak pertanyaan tentang sama ada selamat untuk pergi bersolat,” kata Setiausaha Lebanese Muslim Association Gamel Kheir yang menguruskan masjid itu kepada ABC News.

“Itu bukan persoalan yang patut ditanya oleh mana-mana rakyat Australia.”

Insiden itu berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap peningkatan perkauman dan Islamofobia di Australia.

Satu kajian nasional yang dikeluarkan awal bulan ini mendapati hampir 79% kakitangan dan pelajar universiti pernah mengalami isu perkauman di kampus.

Pemimpin komuniti berkata ugutan terhadap masjid itu tidak boleh dilihat secara berasingan.

Ketegangan kekal memuncak sejak serangan maut di Bondi Beach lewat tahun lepas.

Perdana Menteri Anthony Albanese sebelum ini mengecam ugutan terhadap institusi keagamaan dan menegaskan serangan yang menyasarkan komuniti beragama tidak mempunyai tempat di Australia.

Polis memaklumkan yang mereka memandang serius surat terbaharu itu ketika Ramadan sedang disambut oleh komuniti Muslim.

Tunggang motosikal bertelanjang disiang hari, seorang lelaki diburu

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan lelaki itu menunggang motosikal dalam keadaan tidak berpakaian. - Tribunnews
JAKARTA – Seorang lelaki di Bekasi, wilayah Jawa Barat mengundang perhatian orang ramai apabila menunggang motosikal dalam keadaan tidak berpakaian pada waktu siang, lapor portal berita Tribunnews. 

Kejadian berlaku di kawasan industri MM2100, daerah Cikarang Barat baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan lelaki itu santai menunggang motosikal tanpa mengenakan sebarang pakaian semasa hujan. 

Dia juga tidak menghiraukan pengguna jalan raya yang memandang pelik ke arahnya. 

Ketua Unit Trafik Polis Metro Bekasi, Pesuruhjaya Sugihartono mengesahkan bahawa identiti penunggang motosikal itu telah dikenal pasti. 

“Kami akan memeriksa jika pelaku mengalami sebarang masalah mental sebelum menentukan tindakan yang sesuai,” katanya. – AGENSI

Anwar macam 'cybertrooper', kata Rafizi dalam kes bos SPRM

Kes bos SPRM: Anwar macam 'cybertrooper', kata Rafizi
Qistina Nadia Dzulqarnain

Rafizi Ramli menyatakan keraguan terhadap hasil jawatankuasa khas yang menyiasat Azam Baki dengan mendakwa tingkah laku Anwar Ibrahim sebagai “seperti cybertrooper” dan ia bukanlah petanda yang baik.

Bercakap dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri malam tadi, bekas Timbalan Presiden PKR itu menegaskan aktiviti media sosial Anwar – termasuk memaparkan kandungan yang selari dengan Azam – menunjukkan perdana menteri “tidak berminat” untuk menyiasat dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan.

“Tapi apabila keluar Anwar sendiri yang jadi cybertrooper duk forward perkara-perkara yang menunjukkan, mengiakan naratif sekarang kononnya Azam Baki ini diserang oleh kumpulan-kumpulan yang korup, itu naratif dia, itu menunjukkan itu pendirian dia (Anwar).

“Maksudnya perdana menteri berpandangan bahawa Azam Baki ini bersih dan semua yang telah disiarkan oleh Bloomberg itu, dia tak berminat langsung untuk tahu pendedahan-pendedahan itu.

“Dia tak berminat untuk disiasat kerana dia sendiri yang jadi peddler yang dok sibuk nak tunjukkan dan membesarkan naratif seolah-olah Azam Baki ini menjadi bahan serangan kerana buat kerja,” kata Rafizi.

Sambil menyatakan tiga orang yang dilantik menganggotai jawatankuasa khas siasatan itu semuanya melapor kepada perdana menteri, Rafizi menyuarakan kebimbangan betapa kurangnya kebebasan mereka dan mengibaratkan keadaan itu sebagai “kawan siasat kawan”.

Secara sinis Rafizi berkata jawatankuasa khas tersebut tidak mungkin membuat kesimpulan yang bertentangan dengan pendirian jelas Anwar.

“Apabila perdana menteri, sebelum siasatan bermula pun sudah bertindak seperti cybertrooper dan telah pun membuat kesimpulan, kita tahu ke mana akhirnya perkara ini.

“Apabila perdana menteri sendiri menyebarkan naratif bahawa Azam diserang kerana menjalankan tugasnya — itu jelas (bertujuan) untuk menutup sepenuhnya persoalan yang timbul mengenai integriti Azam,” tambah Ahli parlimen Pandan itu.

Calonkan Tengku Maimun

Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, mengetuai jawatankuasa tersebut manakala dua lagi anggotanya ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

Kenyataan terdahulu Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar menunjukkan skop siasatan jawatankuasa itu hanya tertumpu kepada isu pegangan saham Azam seperti didedahkan Bloomberg.

Perkara itu kemudian disokong oleh Mohd Dusuki, yang menyatakan bahawa siasatan jawatankuasa tidak melibatkan sebarang penelitian unsur jenayah.

Terdahulu, timbul dakwaan bahawa pegawai SPRM bersekongkol dengan individu tertentu di pihak swasta untuk menekan pesaing perniagaan mereka dan mengatur pengambilalihan saham korporat.

Semalam, anak Anwar yang juga Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, mengalu-alukan keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan Mohd Dusuki, namun memberi peringatan bahawa langkah itu tidak memadai jika skopnya terhad.

Dia yang mengalahkan Rafizi dalam pemilihan tahun lalu turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang mempunyai kuasa arahan dan pemantauan sebenar serta melapor terus kepada parlimen.

Pihak lain sebelum ini mencalonkan bekas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengetuai panel bebas bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam.

Terdahulu dalam audio siar sama, Rafizi memaparkan tangkap layar mesej yang didakwa dihantar oleh Anwar dalam kumpulan WhatsApp pro-PKR.

PM tetap bertanggungjawab

Ia memaparkan video TikTok yang menurut Rafizi tidak mendapat perhatian meluas sehinggalah Anwar menyebarkannya.

Video tersebut dikatakan mencemuh kritikan Muda terhadap Azam dengan menuduh parti itu “dibiayai” dan bertindak sebagai “alat” pihak yang sebelum ini disasarkan oleh agensi antirasuah terbabit, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin.

“Orang luar mungkin tidak tahu bahawa selain menjadi perdana menteri, (Anwar) juga sekali-sekala menjadi cybertrooper di WhatsApp,” seloroh Rafizi.

“Mungkin ada yang terkejut. Saya sudah lama bersama beliau (justeru) saya tidak terkejut. Dia memang begitu.”

Bekas menteri ekonomi itu turut menyorot tindakan akaun rasmi X milik Anwar yang menyiarkan semula kandungan daripada “akaun tanpa nama atau cybertrooper.”

Menegaskan bahawa dia sendiri tidak dapat memastikan sama ada hantaran itu dibuat sendiri oleh Anwar atau pihak lain, Rafizi berkata, Presiden PKR itu tetap bertanggungjawab atas apa yang disebarkan.

“Kalau pasukan saya retweet sesuatu dan saya tidak setuju, memang mati kena ‘hempuk’ (ditegur dengan keras) dengan saya.

“Sama ada Anwar sendiri yang retweet (kandungan itu) atau orang lain, itu bermakna dia tidak kisah akaun rasminya menyebarkan perkara yang membuatkan sebahagian daripada kita kurang senang,” kata Rafizi.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa akaun X Anwar menyiarkan semula satu hantaran yang menyorot kenyataan SPRM mengenai laporan terhadap Rafizi, sambil membuat perbandingan dengan skandal saham Azam.

Hantaran itu berbunyi: “Jika Bloomberg boleh memperbesarkan isu Azam Baki ‘bermain’ saham bernilai RM1 juta, sudah tentu ia tidak akan memejamkan mata terhadap seribu juta.”

Isu itu timbul ketika siasatan SPRM sedang berjalan melibatkan perjanjian kerajaan dengan syarikat semikonduktor British, Arm Holdings, dengan Rafizi dituduh tergesa-gesa memuktamadkan perjanjian yang didakwa melibatkan kos RM1.1 bilion.

Rafizi juga sedang disiasat berhubung dakwaan kedua melibatkan projek tenaga solar berskala besar oleh UEM Lestra. Dalam kes itu Rafizi didakwa mengarahkan kontrak bernilai RM2.5 bilion diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.

Rafizi: Satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita

Sinar Harian

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan terbabit dalam salah laku berjumlah RM3.6 bilion yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman medianya, beliau berkata, siasatan itu melibatkan dua isu berasingan yang dikaitkan dengannya tetapi tiada bukti fizikal atau transaksi wang yang menunjukkan penglibatannya.

“Tidak ada rampasan ratusan juta atau jongkong emas. Tidak ada bukti ratusan juta dalam akaun saya, malah, satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita,” katanya.

Ujar Ahli Parlimen Pandan itu, SPRM telah buka kertas siasatan kononnya untuk menyiasat adakah perjanjian kerajaan dengan syarikat cip semikonduktor antarabangsa, ARM dilakukan secara tergesa-gesa dan telah merugikan negara.

"Ini yang jadi bahan berita konon bekas menteri kanan disiasat berhubung dakwaan salah laku RM1.1 billion," jelas Rafizi.

Menyentuh mengenai isu kedua yang disiasat membabitkan membabitkan projek solar terbesar 750 megawatt (MW) oleh UEM Lestra, beliau menegaskan projek itu adalah swasta dan tidak berada di bawah kementeriannya.

“Saya dituduh menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang kononnya berkait dengan saya. Ini jadi satu lagi bahan fitnah yang dijaja oleh Caprice dan diulang oleh ceplos-ceplos, konon Rafizi terbabit kes rasuah RM2.5 billion," katanya.

Beliau menegaskan kedua-dua isu itu muncul secara tiba-tiba dalam tempoh kurang seminggu.

"Ini masalahnya apabila ada pihak yang terdesak menggunakan fitnah," jelas bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Rafizi menyifatkan, tuduhan berkenaan sebagai satu bentuk “fitnah overkill” kerana jumlah RM3.6 bilion yang dikaitkan dengannya lebih besar daripada jumlah RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan bekas Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1MDB.

“Najib disabitkan bersalah bila ada RM2.3 bilion masuk akaun peribadi dari dana 1MDB. Saya kini dituduh terbabit kononnya dalam dua skandal kewangan yang jumlahnya RM3.6 bilion – fuyooooo lagi banyak dari Najib!” katanya.

Rafizi baru- baru ini telah memperincikan bahawa pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra dalam projek NETR adalah inisiatif pihak swasta sepenuhnya dan tidak membabitkan dana awam atau perolehan kerajaan.

Beliau dilaporkan turut menafikan dakwaan pembabitan kepentingan peribadi dalam projek tersebut dan menyifatkan serangan pempengaruh media sosial sebagai fitnah terancang.

Dalam pada itu, Rafizi turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa membenarkan fitnah serupa dijaja oleh penyokong-penyokongnya sendiri.

"Kami yang GenX ke atas ni dah melalui semua ini zaman reformasi dahulu. Fitnah yang menjadi 'overkill'. Tilam diusung untuk tunjuk air mani. Semua cerita lucah jadi bahan laporan setiap hari.

"Kami yang rakyat biasa turun membela Anwar yang jadi mangsa fitnah kerana sepak terajang kuasa.

"Malangnya, Anwar kini membenarkan fitnah yang overkill dijaja oleh penyokong-penyokongnya setiap hari kerana kali ini ia digunakan terhadap seorang yang dia sendiri mengaku dia menyampah. 

"Benarlah manusia ini mudah lupa," katanya. -Sinar Harian

Warga emas parah ditikam anak guna pembuka tin

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Kediaman mangsa yang ditikam menggunakan pembuka tin oleh anaknya sendiri. - FOTO Ihsan polis
Kediaman mangsa yang ditikam menggunakan pembuka tin oleh anaknya sendiri. - FOTO Ihsan polis
Kuala Pilah: Wanita warga emas parah selepas dikatakan ditikam anaknya pada bahagian leher di sebuah rumah di Kampung Segineh Inas, Johol, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa ditikam dengan pembuka tin oleh suspek yang juga seorang wanita yang dikatakan mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Mustafah Hussin berkata, mangsa yang berusia 80-an itu berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Rembau.

"Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian tikaman membabitkan ahli keluarga di Kampung Segineh Inas.

"Siasatan awal mendapati pada jam 7.08 malam tadi, polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan satu kes pergaduhan di sebuah rumah.

"Suspek dikatakan menikam leher ibunya sendiri menggunakan senjata tajam yang dipercayai alat pembuka tin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil serta masih dalam pemantauan pihak hospital.

"Saspek seorang wanita berumur 50-an yang juga anak kandung mangsa. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan suspek mempunyai masalah kesihatan mental.

"Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999.

Johor: Bomba selamatkan wanita terjun sungai

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita yang terjun ke sungai di Kampung Tembiohdi Kampung Tembioh, Kota Tinggi. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita yang terjun ke sungai di Kampung Tembiohdi Kampung Tembioh, Kota Tinggi. FOTO Ihsan JBPM
Kota Tinggi: Seorang wanita berusia 44 tahun yang cuba menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun ke sungai di Kampung Tembioh, di sini, semalam, berjaya diselamatkan anggota bomba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.45 petang dan tiba di lokasi pada jam 5.48 petang.

Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran sebuah gerai makan di tepi sungai.

"Operasi membabitkan enam anggota serta sebuah fire rescue tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi.

"Anggota bomba mendapati seorang mangsa melakukan cubaan membunuh diri dengan terjun ke sungai.

"Mangsa ditemukan di tebing sungai dan anggota bomba turun ke tebing bagi membawa naik mangsa. Mangsa kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya menerusi siaran media, hari ini.

Rafizi akan saman Caprice

Nur Alif Hazmi

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli akan meneruskan tindakan saman terhadap pempengaruh media sosial Ariz Ramli atau Caprice yang mendakwa hanya meminta penjelasan berkait perjanjian sebuah projek solar swasta.

Bekas menteri ekonomi itu berkata Caprice sudah diberi ruang untuk memohon maaf dan memberi penjelasan namun beliau gagal berbuat demikian.

“Bertanya itu bukanlah ‘defence’ dalam undang-undang fitnah…ada konsep ‘innuendo’ dan ‘insinuation’.

“Dengan ‘bertanya’ tetapi mewujudkan persepsi, itu tetap fitnah,” katanya dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri (YBM) malam tadi

Perkembangan berkenaan menyusul selepas Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran di media sosial dan meminta maaf kepadanya sebelum jam 5 petang hari ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Ini susulan hantaran di laman sosial Rafizi berkenaan tuduhan Caprice berhubung kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.

Caprice menegaskan beliau tidak pernah menyebut jumlah RM2.5 bilion itu mahu pun sebarang perkataan rasuah dalam hantaran video di laman sosialnya.

Dalam pada itu, Rafizi turut menafikan wujud sebarang unsur rasuah berkaitan perjanjian kerajaan dengan ARM, sebuah syarikat gergasi semikonduktor dunia, yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas timbalan presien PKR itu berkata untuk membuktikan salah laku, perlu ada elemen kepentingan peribadi atau kewangan, pemberi dan penerima, serta penyalahgunaan kuasa.

“Tiga-tiga ini tak ada,” katanya sambil menambah beliau bersedia jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Rafizi berkata sekiranya siasatan itu tidak membawa kepada pendakwaan, beliau akan mempertimbangkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan menyalahgunakan institusi penguatkuasaan untuk pembunuhan karakter.

Dua perjanjian itu berlaku ketika Rafizi mengetuai Kementerian Ekonomi dari Disember 2022 hingga Jun 2025.

Di zaman serba canggih, masih ada yang begini: Penduduk solat tarawih 2 kiblat

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan orang ramai menunaikan solat tarawih di tempat sama dengan kiblat berbeza. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular di Palu, wilayah Sulawesi Tengah memaparkan jemaah menunaikan solat tarawih di sebuah masjid dengan arah kiblat yang berbeza. 

Kejadian berlaku di Masjid Baitul Khairaat pada hari pertama Ramadan. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @alghzaliii_ dan @ucangakun2 menunjukkan orang ramai khusyuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah. 

Apa yang menarik perhatian adalah terdapat dua kumpulan menghadap arah kiblat berbeza. Ia bukan sahaja berlaku di saf lelaki, malah saf perempuan. 

Masjid tersebut baru siap dibina dan digunakan buat pertama kali untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Rakaman itu mencatatkan lebih 1.4 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Masing-masing ada telefon, tinggal cari arah kiblat. Itulah pentingnya ilmu,” kata seorang netizen. 

“Masjid itu tiada tempat imamkah?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Mayat wanita tanpa identiti ditemui dalam longkang

MOHD SHARKAWI LONDING
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas mayat seorang wanita yang ditemui di dalam longkang kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Tengah, Segamat hari ini. IHSAN POLIS
SEGAMAT – Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemui di dalam longkang kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Tengah di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu, mayat mangsa ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd. Jumazanzahir Chek Ismail berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai seorang wanita warga emas berusia lingkungan 60-an, namun identitinya masih belum dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

“Pegawai perubatan dari Hospital Segamat telah hadir ke lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di talian 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Caprice hulur jambangan mawar kepada Rafizi

Harapandaily
Penyanyi rap Caprice menghulurkan jambangan mawar kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai gimik untuk berdamai.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli hari ini tampil menjelaskan bahawa dia tidak pernah membuat sebarang tuduhan fitnah seperti yang didakwa Rafizi.

“Semua pihak perlu cool down. Mari kita berjabat tangan.

“Kalau Rafizi sudi, saya sudi berdamai dengan Rafizi,” katanya dalam sidang media di pejabat Lee & Poh Partnership dekat Kerinchi, Kuala Lumpur.

Dia yang ditemani peguam menambah, bunga ros tersebut merupakan tanda keinginan untuk menamatkan polemik yang tercetus.

“Dalam tempoh tujuh hari sebelum bunga ros ini layu, harap kita boleh berdamai sempena Ramadan ini.

“Jom kita sama-sama bangunkan Malaysia,” kata Caprice lagi.

Terdahulu, Rafizi menyifatkan isu membabitkan projek solar terbesar 750 megawatt (MW) oleh UEM Lestra sebagai fitnah yang dijaja oleh Caprice dan diulang oleh para ‘ceplos’ kononnya beliau terbabit dalam kes rasuah RM2.5 bilion.

Ahli Parlimen Pandan berkenaan telah memperincikan bahawa pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra dalam projek NETR adalah inisiatif pihak swasta sepenuhnya.

Beliau menegaskan bahawa pelaburan tersebut tidak membabitkan dana awam atau perolehan kerajaan.

Bekas pemimpin PKR itu turut menafikan dakwaan pembabitan kepentingan peribadi dalam projek tersebut dan menyifatkan serangan pempengaruh media sosial sebagai fitnah terancang.

KJ kata Rafizi dilihat tak minat damai dengan pimpinan PKR

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, dilihat tidak menunjukkan minat untuk memperbaiki hubungannya dengan kepimpinan semasa parti itu, dakwa bekas pemimpin Umno, Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin.

Dalam episod terbaharu program audio siar ‘Keluar Sekejap’, Khairy berkata Rafizi mungkin tidak kisah jika dipecat daripada PKR kerana langkah itu membolehkannya mendakwa beliau tidak meninggalkan parti secara sukarela, sebaliknya dizalimi.

Menurut Khairy, keadaan itu juga boleh digunakan Rafizi untuk mengumpulkan sokongan atas isu tadbir urus dan antirasuah.

“Apa yang dia mahukan sekarang ialah dipecat, supaya dia boleh kata dia tidak keluar parti,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu.

Shahril pula berpandangan Rafizi sanggup melemahkan PKR, malah presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, demi menghalang Ahli Parlimen Tambun itu daripada terus memegang jawatan tertinggi negara.

Rafizi sebelum ini beberapa kali mengkritik Anwar dan kerajaan, termasuk berhubung kontroversi melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Pada 15 Feb lalu, Rafizi memberi amaran akan menggerakkan lebih banyak protes sekiranya kerajaan enggan menggantung Azam susulan dakwaan pegangan saham.

Anwar bagaimanapun berkata kerajaan akan menunggu hasil siasatan pasukan petugas khas sebelum membuat sebarang keputusan terhadap Azam.

Beliau juga sebelum ini menegaskan PKR tidak seharusnya menjadi medan untuk pihak yang hanya ‘merengek’ dan ‘berleter’.

Namun, Shahril menegaskan tindakan Rafizi bukan sekadar merungut, sebaliknya strategi politik yang menyasarkan pengundi bandar berfikiran reformasi, iaitu kumpulan teras penyokong PKR.

“Dia bukan menyasarkan pengundi PAS atau Bersatu. Sasaran dia ialah pengundi PKR sendiri. Pada dasarnya, dia sudah membayangkan masa depannya di luar parti yang dipimpin Anwar,” katanya.

Hamzah, 16 Ahli Parlimen Bersatu masuk parti baharu minggu depan?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ minggu depan, bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan, berkata platform politik baharu itu juga akan disertai ketua-ketua Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut berkenaan.

“Maklumat yang saya dapat pun begitu juga (bahawa Hamzah akan mengumumkan rumah baharu) dalam masa terdekat, Insya-Allah pada minggu depan.

“Saya pun akan sertai ‘rumah baharu’ itu bersama Ahli Parlimen lain,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

Azahari antara Ahli Parlimen yang dipecat Bersatu selain Hamzah, minggu lalu.

Hamzah mendakwa beliau disokong 18 daripada 25 Ahli Parlimen parti itu, berikutan pemecatannya oleh lembaga tatatertib.

Ketika Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu, beliau berkata semua pilihan kekal terbuka termasuk membentuk parti baharu.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin berkata, Hamzah akan mengambil alih parti kecil bagi memperluaskan pengaruhnya menjelang PRU akan datang.

“‘Rumah baharu’ yang dimaksudkan ialah sebuah parti yang sudah ada dan beliau akan mengambil alih parti itu.

“Beliau sudah memberi petanda mengenai parti tersebut, tetapi belum mendedahkan nama parti. Insya-Allah ia akan diumumkan dalam masa terdekat kerana tidak boleh lambat,” katanya.

Menurutnya, Hamzah tidak berminat menyertai parti besar kerana strategi beliau adalah untuk menjadi ketua parti supaya dapat menunjukkan keupayaan sebenarnya.

Beliau menyokong langkah terbabit kerana ia membolehkan Hamzah menjadi pemimpin utama parti baharu dan menonjolkan kepemimpinannya.

Manakala bekas ketua Bersatu Kepala Batas Khaliq Mehtab Mohd Ishaq pula berkata beliau akan kekal bersama Hamzah tidak kira di mana pemimpin itu berada.

“Jika betul ada parti baharu atau apa-apa sahaja, biar beliau yang umumkan. Sebab kita ini pengikut tegar dia, jadi dia yang sepatutnya umumkan perkara ini,” katanya.

Tambahnya, Bersatu dijangka terjejas susulan pengumuman itu nanti.

“Bersatu memang akan terjejas. Apabila parti sudah lari dari prinsip perjuangannya, pemimpin-pemimpin Bersatu yang sudah celik berkenaan perkara ini, sepatutnya meninggalkan parti dan datang bersama dengan Hamzah,” katanya.

Haji Hadi: Siapa dilantik Pengerusi PN terjawab Ahad ini

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

Marang: Teka-teki individu yang akan dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan terjawab pada mesyuarat PAS pusat, Ahad ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat itu bukan sahaja akan membincangkan calon Pengerusi PN baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya dijangka menyentuh soal pelantikan Ketua Pembangkang baharu.

Katanya, PAS akan mengambilalih menerajui PN, selepas Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh melepaskan jawatan pada akhir Disember lalu.

"Kita akan bincang serta putuskan Pengerusi PN baharu dan tidak menolak turut dibincangkan adalah mengenai Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Setakat ini PAS belum membuat keputusan mengenai jawatan Ketua Pembangkang, mungkin akan dibincangkan pada mesyuarat Ahad ini," katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ditemui selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS perlu berusaha bagi menyelamatkan PN kerana untuk memerintah negara, mesti membabitkan semua pihak.

"Paling penting pada perbincangan mesyuarat nanti adalah kita perlu selamatkan PN, kerana PAS berpendapat jika mahu perintah negara mesti membabitkan semua pihak," katanya.

Ketika mengulas kunjungan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada BERSATU, Abdul Hadi mengakui bekas timbalan Presiden parti itu ada menemuinya.

"Kita juga ada menerima kunjungan daripada wakil Muhyiddin diketuai Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Pada perjumpaan itu, kedua-dua pihak iaitu kumpulan Hamzah dan Muhyiddin masing-masing memberi hujah dan kita akan berusaha menyelesaikan masalah dibangkitkan," katanya.

Ketika mengulas cadangan Hamzah untuk menubuhkan parti baharu, Abdul Hadi berkata, itu terpulanglah kepada beliau untuk membuat keputusan.

‘Sentuh’ budak 14 tahun, dua sahabat didakwa di mahkamah

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Dua tertuduh hadir bersama peguam masing-masing di Mahkamah Sesyen Klang. Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!
KLANG – Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, dua minggu lalu.

Muhammad Irfan Mohamad Rahim dan Ahmad Hamzi Alias masing-masing berusia 26 tahun membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan berasingan dibacakan dihadapan Hakim Siti Aminah Ghazali mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Irfan seorang eksekutif jualan didakwa mencium pipi, leher dan meraba buah dada mangsa, manakala Ahmad Hamzi yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didakwa atas dua pertuduhan sama namun melibatkan tarikh berbeza.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Bandar Puncak Alam masing-masing pukul 3 petang, 6 Februari dan 5.30 pagi, 7 Februari lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan RM8,000 bagi Muhammad Irfan manakala RM7,000 kepada Ahmad Hamzie dengan seorang penjamin dan kedua-dua mereka diperintah melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 9 April depan. – KOSMO! ONLINE

Rafizi jawab dakwaan rasuah RM2.5 bilion malam ini

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli akan menjawab secara terperinci dua tuduhan salah laku yang dikaitkan dengannya, termasuk dakwaan terbabit dalam kes rasuah RM2.5 bilion.

Bekas menteri ekonomi itu berkata penjelasan penuh terhadap dakwaan oleh pempengaruh media sosial Ariz Ramli atau Caprice itu akan dibuat dalam program audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ (YBM) 10 malam ini.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Rafizi berkata tuduhan Caprice membabitkan projek solar swasta berskala besar 750 megawatt oleh UEM Lestra, yang ditegaskannya tidak ada kaitan dengan Kementerian Ekonomi diketuainya sebelum ini.

“Saya dituduh menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang kononnya berkait dengan saya.

“Ini jadi satu lagi bahan fitnah yang dijaja oleh Caprice,” katanya.

Rabu lalu, Caprice mempertahankan dakwaannya itu selepas Rafiz mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Beliau juga memuat naik beberapa tangkap layar serta dokumen menerusi media sosialnya sebagai bukti terhadap persoalan dibangkitkannya.

Selain dakwaan itu, Rafizi juga akan menjawab dakwaan salah laku berkaitan perjanjian kerajaan dengan ARM, sebuah syarikat gergasi semikonduktor dunia, yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata siasatan itu kononnya memfokuskan sama ada perjanjian berkenaan dimeterai secara tergesa-gesa dan merugikan negara, sehingga mencetuskan laporan media mengenai dakwaan salah laku bernilai RM1.1 bilion membabitkan seorang ‘bekas menteri kanan’.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dimeterai secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga berpotensi memberi kesan kepada kepentingan kerajaan.

Menurut Rafizi, gabungan dua tuduhan itu membawa naratif beliau kononnya terlibat dalam penyelewengan kewangan berjumlah RM3.6 bilion, yang disifatkannya tidak masuk akal dan bersifat ‘overkill’.

“Saya dituduh terbabit kononnya dalam skandal yang nilainya melebihi nilai diambil (bekas perdana menteri) Najib (Razak),” katanya.

Amanah sedia 3 penjuru jika BN ikut ‘kegilaan’ Akmal

Malaysiakini 

Amanah menyatakan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pertembungan tiga penjuru, dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang sekiranya BN memilih untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, persediaan jentera akan digerakkan mulai sekarang bagi mendepani hakikat politik tersebut sekiranya rundingan kerusi antara kedua-dua gabungan dalam Kerajaan Perpaduan tidak mencapai kata sepakat.

"Bagi Amanah, kami terus mengharap bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN.

"Tapi pada masa sama Amanah akan gerak jenteranya mulai sekarang untuk hadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti kegilaan Akmal (Saleh). 

“Ini bukan amaran atau cabaran, ia sekadar statement of fact atau menyatakan hakikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Akmal berkata, demi perpaduan Melayu, dia cenderung melihat kerjasama Umno-PAS dalam pilihan raya walaupun PAS tidak memenangi sebarang kerusi di negeri itu.

Sementara itu, Khalid menyifatkan jawapan yang diberikan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berhubung status rundingan kerusi tersebut sebagai satu maklum balas yang matang dan ikhlas.

Menurutnya, ketenangan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat dalam menjelaskan bahawa keputusan untuk bersama PH atau bersendirian masih belum dimuktamadkan adalah jauh lebih baik berbanding kenyataan-kenyataan sebelum ini.

"Jawapan sebegini dari Tok Mat jauh lebih matang dan ikhlas.

"Amanah mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan demi kepentingan negara, namun mengakui pilihan diletak di tangan BN," katanya.

Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata bahawa BN masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Melaka dan Johor.

Menurutnya adalah masih terlalu awal untuk bercakap soal pembahagian kerusi antara parti.

"Keputusan mengenai formula kerjasama politik bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti.

"Setakat ini, BN masih belum membuat sebarang ketetapan rasmi.

"Perbincangan dengan pihak luar hanya akan berlaku selepas parti mencapai kata putus secara dalaman.

"Jika parti memilih untuk bergerak secara solo, dia sedia akur dengan mandat tersebut," kata Tok Mat.

‘Hairan, tiada paksaan, tiada buli’

Namun, Khalid, bekas menteri Wilayah Persekutuan, melahirkan rasa hairan mengapa BN masih kelihatan sangsi untuk meneruskan kerjasama tersebut, sedangkan hubungan yang terbina selepas PRU-15 disifatkan sebagai harmoni dan bebas daripada unsur paksaan.

"Sepanjang kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, PH tidak pernah mengamalkan politik buli atau khianat terhadap rakan sekutu mereka.

"Tiada sebab BN perlu menolak kerjasama ini. Agak hairan kenapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya, kerana tiada unsur khianat atau paksaan/buli sepanjang kita bekerjasama.

"Lainlah kalau kami seperti PAS dan PN yang masyhur dengan khianat dan pemaksaan," katanya lagi.

Sementara itu, Khalid mengimbau pengalaman peribadinya semasa dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Isa) suatu ketika dahulu, menyamakan situasi politik BN sekarang dengan analogi "pisau dan buah".

"Teringat saya akan kata-kata pegawai Isa ketika saya ditahan dahulu, 'pisau di tangan kamu dan buah di tangan kamu, nak potong cantik-cantik atau nak cincang, itu pilihan kamu'.

"Begitulah keadaannya dengan BN sekarang," katanya.

BN-PH bekerjasama dalam PRN di enam negeri pada 2023 menggunakan formula kerusi penyandang kekal.

Bagaimanapun, jika formula ini digunakan di Melaka dan Johor, Amanah hanya akan mendapat satu kerusi di Melaka (Bukit Katil) dan satu lagi di Johor (Simpang Renggam).

Bunuh kekasih: Mahkamah sahkan hukuman penjara 35 tahun

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengesahkan hukuman penjara 35 tahun terhadap seorang bekas pengawal keselamatan yang membunuh kekasihnya, selepas wanita itu menyuarakan hasrat mahu mengahwini lelaki lain.

Sidang tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata sabitan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah selamat.

Sidang hakim berpandangan tiada kekhilafan serius oleh mahkamah bawahan berkenaan.

“Pembelaan provokasi serius dan mengejut tidak terpakai untuk perayu,” katanya ketika menolak rayuan M Gunasegaran terhadap sabitan dan hukuman.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dan Azimah Omar turut bersidang.

Dalam pada itu, Wan Farid menangguhkan hukuman 15 sebatan terhadap Gunasegaran sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tentang hukuman itu di sisi Perlembagaan.

Ini berikutan empat bulan lalu, peguam bagi tiga lelaki dalam kes lain memohon hukuman sebat terhadap mereka diketepikan atas alasan hukuman itu melanggar hak mereka mengikut Perkara 5 dan 8 Perlembagaan.

Sementara itu, dalam kes hari ini, Arik Zakri Abdul Kadir mewakili Gunasegaran selaku peguam, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim.

Dua tahun lalu, Mahkamah Rayuan meringankan hukuman terhadap Gunasegaran daripada hukuman mati kepada penjara 35 tahun, kerana membunuh D Tharani, berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 5 Feb 2018. Mahkamah turut memerintahkan dia disebat 15 kali.

Gunasegaran, 44, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta pasar raya Giant, Kota Damansara pada 1.50 petang, 5 Feb 2018.

Dia kemudian memandu kereta bersama mayat mangsa dari tempat kejadian ke Balai Polis Damansara untuk menyerah diri.

Menurut fakta kes, Gunasegaran dan Tharani menjalin hukuman selama tiga bulan sebelum kejadian.

Arik berhujah Gunasegaran hilang kawalan selepas mangsa memaklumkan mahu mengahwini lelaki lain.

Iznina berhujah jenayah itu dirancang lebih awal malah Gunasegaran sebelum itu membeli pisau dan tuala di sebuah kedai runcit.

Katanya, tuala itu digunakan untuk menutup muka mangsa selepas kejadian. Beliau turut merujuk pesanan teks antara kedua-duanya yang menunjukkan hubungan mereka semakin keruh.

Tanah perkuburan Batu 5 jadi 'laluan' kegiatan haram, warga asing minum arak

Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my
PEKERJA pembersihan menunjukkan tin minuman keras ketika membersihkan kawasan kubur di Batu 5 berhampiran Jalan Kuching. FOTO ihsan Datuk Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim
PEKERJA pembersihan menunjukkan tin minuman keras ketika membersihkan kawasan kubur di Batu 5 berhampiran Jalan Kuching. FOTO ihsan Datuk Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim
Kuala Lumpur: Tanah perkuburan di Batu 5 berhampiran Jalan Kuching di ibu negara dikesan dijadikan 'laluan tikus' oleh individu tidak bertanggungjawab untuk membawa barangan curi di kawasan berdekatan.

Lebih malang, ia turut dijadikan 'lokasi santai' warga asing untuk minum arak tanpa menghormati sensitiviti umat Islam.

Mendedahkan perkara itu, aktivis masyarakat, Datuk Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, hasil aduan mendapati perkara itu sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu sehingga mengundang kebimbangan penduduk setempat.

Katanya, aktiviti itu turut berlaku ketika umat Islam berpuasa dan ia sekali gus mencemarkan kesucian Ramadan.

"Saya menerima aduan daripada penduduk terutama mereka yang tinggal di Kampung Bakong mengenai kawasan perkuburan ini yang dijadikan jalan pintas untuk pelbagai kegiatan haram serta tidak bermoral.

"Penduduk mendakwa, kawasan perkuburan itu menjadi laluan pencuri untuk membawa barangan yang disamun untuk ke seberang jalan.

"Ini kerana pagar yang sedia ada sudah rosak dan memudahkan mereka untuk lolos ke sebelah sana bagi melarikan diri.

"Saya kesal kerana ia berlaku ketika umat Islam menyambut bulan suci Ramadan. Kawasan perkuburan yang sepatutnya diziarahi kini dijauhi kerana penduduk sekitar bimbang dengan kehadiran warga asing yang minum arak dan mabuk di situ," katanya.

Gulam Muszaffar berkata, beliau sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk tindakan lanjut.

Katanya, antara cadangan yang dikemukakan termasuklah membina pagar tinggi anti kecurian bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Menurutnya, tanah perkuburan berkenaan dipercayai berusia lebih 80 tahun dan ia sewajarnya dijaga dengan baik demi kemudahan bersama.

"Ada catatan batu nisan di sini menunjukkan tahun 1941 lagi. Bermakna sudah 85 tahun. Sepatutnya pihak berwajib boleh membantu untuk kerja-kerja baik pulih kemudahan di sini.

"Secara tak langsung, ia akan memberi manfaat kepada waris atau penduduk setempat untuk menziarahi kaum keluarga yang disemadikan di sini," katanya.

Adik Raja Charles, bekas putera Andrew ditangkap, kes berkait Epstein

Malaysiakini 

Andrew Mountbatten‑Windsor, adik kepada Raja Charles III dan bekas putera ditahan di United Kingdom (UK) kerana disyaki melakukan salah laku dalam jawatan awam dan kini berada dalam tahanan polis, lapor PA Media/dpa.

Thames Valley Police mengesahkan penahanan itu pada Khamis susulan dakwaan yang dibuat terhadap bekas putera itu selepas jutaan halaman dokumen berkaitan pembiaya pedofilia Jeffrey Epstein didedahkan.

Penahanan itu berlaku ketika gambar tersebar dalam talian yang kelihatan menunjukkan kenderaan polis tanpa tanda rasmi berada di Wood Farm di Sandringham Estate, Norfolk, dengan pegawai berpakaian biasa dilihat berkumpul di luar kediaman Andrew.

Thames Valley Police sebelum ini memaklumkan yang pihaknya sedang meneliti dakwaan yang seorang wanita diperdagangkan ke UK oleh Jeffrey Epstein untuk mengadakan pertemuan seksual dengan Andrew, serta dakwaan yang beliau berkongsi maklumat sensitif dengan pedofilia itu ketika berkhidmat sebagai utusan perdagangan UK.

- Bernama-PA Media/dpa

Penceramah diperintah bayar RM830,000 kepada Khairy kerana libel

V Anbalagan

Mahkamah Rayuan mengurangkan award yang diberi Mahkamah Tinggi, menjelaskan ganti rugi am bertujuan untuk memberi pampasan, bukannya untuk memperkayakan.
Rasyiq Alwi Khairy Jamaluddin
Mahkamah Rayuan memerintahkan Rasyiq Alwi bayar ganti rugi am RM500,000, ganti rugi teladan RM80,000, dan ganti rugi teruk RM250,000 kepada Khairy Jamaluddin.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh penceramah, Rasyiq Alwi, kepada bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, kepada RM830,000, berhubung kenyataan libel mengenai status vaksinasi Khairy.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rasyiq membayar Khairy sebanyak RM2 juta sebagai ganti rugi am, serta RM250,000 sebagai ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Sidang tiga hakim dipengerusikan Zaini Mazlan mengurangkan ganti rugi am kepada RM500,000 dan ganti rugi teladan kepada RM80,000, manakala mengekalkan ganti rugi teruk sebanyak RM250,000.

Hakim juga mengekalkan perintah mahkamah bawahan agar Rasyiq membayar faedah 5% setahun kepada Khairy ke atas jumlah yang telah diputuskan, dikira dari tarikh penghakiman sehingga selesai.

Khairy, yang diwakili Abdul Rashid Ismail selaku peguam, turut memberikan award sebanyak RM50,000 bagi kos.

Zaini, yang bersidang bersama Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Ahmad Shahrir Salleh, bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan fitnah tersebut bersifat serius.

Beliau berkata kenyataan Rasyiq membayangkan ketidakjujuran, penipuan, dan pemalsuan rekod vaksinasi oleh Khairy.

“Kami juga mendapati bahawa terdapat lapan penerbitan berasingan, dan setiap satunya boleh diambil tindakan secara sendiri. Kami berpandangan bahawa responden (Khairy) berhak mendapat ganti rugi bagi setiap penerbitan,” katanya.

Namun, faktor-faktor tertentu mesti ditimbang dengan teliti semasa menilai kuantum ganti rugi, jelas Zaini.

Menurutnya, ganti rugi am dalam kes fitnah bertujuan untuk memberi pampasan, bukannya untuk memperkayakan.

“Pernah wujud satu tempoh di mana mahkamah kita memberikan ganti rugi berjumlah berjuta-juta dalam kes fitnah yang berjaya. Era itu telah berakhir dan kami tidak mahu melihat ia berulang,” katanya.

Beliau berkata jumlah RM2 juta bagi ganti rugi am tidak selaras dengan trend kehakiman semasa.

Berkenaan ganti rugi teruk, Zaini berkata Khairy merupakan menteri kesihatan pada masa dunia sedang menghadapi pandemik yang teruk, iaitu Covid-19, pada 2021.

“Fitnah perayu bukan sahaja merosakkan reputasi responden tetapi juga boleh memberi kesan kepada orang awam, kerana hantaran fitnahnya mungkin telah menghalang sesetengah pihak daripada menerima vaksin,” katanya.

Zaini berkata sidang hakim mengambil maklum bahawa Rasyiq, yang diwakili oleh Lejerod Limpuong, bersikap degil kerana permohonan maaf yang didakwa dilakukannya seolah-olah berbaur sindiran.

“Atas dasar itu, kami bersetuju dan mengekalkan ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 yang dianugerahkan kepada Khairy,” katanya.

Zaini berkata ganti rugi teladan bersifat punitif dan hanya akan dianugerahkan dalam kes-kes yang jarang berlaku dan luar biasa.

Ia wajar diberikan apabila bukti menunjukkan bahawa tingkah laku salah itu bertujuan untuk manfaat material, kelebihan kewangan, manfaat ekonomi atau keuntungan, katanya.

Zaini berkata sidang hakim mengambil maklum bahawa landskap fitnah telah berubah kerana media sosial.

“Platform seperti Instagram dan Facebook bukan lagi sekadar ruang untuk ekspresi santai. Ia alat yang mampu melakukan penyebaran segera dan meluas.

“Orang ramai semakin menggunakan platform ini untuk membina jenama peribadi, menarik pengikut, dan meningkatkan pengaruh dalam talian,” tambahnya.

Zaini berkata Rasyiq, yang menampilkan dirinya sebagai seorang penceramah agama, oleh itu tertakluk pada tahap tanggungjawab dan ketelitian yang lebih tinggi apabila membuat kenyataan awam.

“Justeru kerana kepercayaan tinggi inilah perayu (Rasyiq) memikul kewajipan yang lebih besar, bukannya lebih kecil, untuk mengesahkan ketepatan kenyataannya sebelum menyebarkannya kepada orang lain,” katanya.

Zaini berkata dengan memilih untuk menerbitkan dakwaan yang tidak disahkan, palsu dan memfitnah tentang Khairy, Rasyiq menyalahgunakan kedudukan autoriti moralnya dan mengeksploitasi kepercayaan serta penghormatan yang diberikan masyarakat kepada tokoh agama.

Khairy memfailkan saman terhadap Rasyiq pada 2022 kerana mendakwa beliau telah ‘menipu’ tentang status vaksinasinya.

Pendengaran di Mahkamah Tinggi diteruskan tanpa kehadiran Rasyiq, walaupun peguam Khairy telah memaklumkan tarikh perbicaraan kepada pendakwah tersebut.

12 anggota polis termasuk pegawai JSJK Bukit Aman ditahan, disyaki rompak mata wang kripto RM200,000

Kalbana Perimbanayagam
am@hmetro.com.my

Kajang: Seramai 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China.

Mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat Asisten Superintendan, Inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.

Mereka diberkas dalam beberapa tangkapan bersepadu oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis daerah dalam tempoh dua hari.

Penahanan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang juru ukur pasaran warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto bagi mendapatkan pembebasan selepas banglo yang disewa mereka di kawasan berpagar di Country Heights, Kajang diserbu polis.

Sumber berkata, sepasukan pegawai daripada unit jenayah komersial daerah menyerbu banglo dua tingkat itu pada jam 11.10 malam, 5 Februari lalu kerana mengesyaki penghuninya menjalankan operasi penipuan.

Katanya, pegawai terbabit memaklumkan, mereka menjalankan operasi anti-penipuan dikenali sebagai 'Op Taring' dan mengesyaki penghuni rumah itu terbabit kegiatan penipuan secara dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja.

"Selepas memeriksa peranti elektronik dan pasport mereka, tiada bukti kegiatan jenayah ditemui.

"Tiada rekod juga menunjukkan pengadu dan rakannya pernah ke Kemboja," kata sumber itu kepada New Straits Times.

Sumber berkata, kumpulan itu memaklumkan kepada polis mereka adalah juru ukur pasaran yang bekerja dengan sebuah syarikat berpangkalan di China, namun mangsa didakwa diugut akan ditahan dan dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar RM400,000 kepada polis terbabit.

Katanya, bimbang keselamatan diri terutama kerana terdapat tiga wanita dalam kumpulan itu, seorang daripada mangsa menghubungi majikannya di China.

"Selepas rundingan, suspek didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT (mata wang kripto tether), yang dipindahkan ke alamat dompet kripto diberikan suspek.

"Bayaran dibuat pada awal pagi dan hanya selepas transaksi disahkan, barulah pegawai polis itu meninggalkan premis," dakwa sumber.

Sumber berkata, sebelum beredar, suspek turut didakwa mengarahkan kumpulan itu mengosongkan rumah dalam tempoh dua hari atau berdepan tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal kes itu membawa kepada penahanan tujuh anggota polis dari unit JSJK dan pencegahan jenayah daerah.

"Mereka termasuk pegawai dan anggota dengan tempoh perkhidmatan antara dua hingga 27 tahun, memegang jawatan seperti Inspektor, sarjan dan koperal yang bertugas menjalankan risikan dan operasi.

"Siasatan lanjut dan risikan mendedahkan pembabitan lima lagi anggota polis termasuk empat yang bertugas di unit siber dan forensik digital di JSJK Bukit Aman," katanya.

Sumber berkata, keempat-empat mereka berusia antara 35 hingga 44 tahun yang berkhidmat antara enam hingga 22 tahun dan memegang jawatan dalam unit taktikal siber serta siasatan forensik digital ditahan dalam operasi susulan pada 8 Februari lalu.

Katanya, semua 12 suspek dipercayai berada di lokasi ketika operasi di rumah itu dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.

"Polis turut merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, kad SIM dan dokumen yang dipercayai berkaitan operasi berkenaan.

"Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kajang dan Bandar Baru Bangi bagi membantu siasatan, termasuk menjejak transaksi mata wang kripto berkenaan.

"Tempoh reman kedua-dua kumpulan suspek dilaporkan dilanjutkan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan," katanya.

Sumber berkata, siasatan masih diteruskan dan polis memandang serius dakwaan berkenaan.

New Straits Times cuba menghubungi Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Sazalee Kahar untuk mendapatkan maklum balas.

‘Dulu mahu tangkap Azam Baki, sekarang lain pula'

Malaysiakini 

Presiden Parti Putra, Ibrahim Ali menyelar kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mempertahankan SPRM daripada terus dijadikan sasaran serangan politik.

Membidas sikap "talam dua muka" pimpinan kerajaan hari ini, Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa pimpinan PKR sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pernah secara terbuka berikrar untuk mengambil tindakan keras terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

“Rakyat bukan lupa. Rakyat bukan pekak. Sebelum PRU15, pimpinan PKR secara terbuka berikrar mahu ‘menangkap Azam Baki’ jika menang pilihan raya.

“Itu bukan cerita warung, itu ucapan pentas yang direkod dan disiarkan.

“Jadi saya tanya secara terus, waktu itu bukan dorongan politik? Atau dorongan politik hanya halal ketika jadi pembangkang, dan haram bila sudah jadi kerajaan? Jangan guna kuasa untuk cuci ayat lama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini menegaskan bahawa setiap aduan salah laku terhadap mana-mana pegawai tertinggi kerajaan perlu diadili mengikut undang-undang dan bukannya atas dorongan politik.

Katanya, kerajaan tidak boleh menghukum seseorang atas dorongan politik atau disebabkan individu itu tidak disenangi segelintir pihak.

“Kalau perlu hukuman, kena ikut hukum (undang-undang) tapi jangan kita hukum kerana kebetulan orang itu kita tidak senangi atau kerana ada dorongan politik dan cara kita selesai ini, bagi saya ini undang-undang. Kalau ada aduan-aduan yang benar, bawa ke mahkamah kerana proses ini sama seperti mana yang kita bicarakan sekarang dalam kes SPRM,” katanya.

Anwar sejak menjadi perdana menteri pada November 2022, dikatakan menjadi penyokong kuat Azam malah menegaskan ketua SPRM itu satu-satunya individu yang berani mengambil tindakan terhadap pemimpin rasuah.

Dia juga telah melanjutkan kontrak Azam sebagai ketua SPRM sebanyak tiga kali selepas usia persaraan.

'Abim sudah jadi macam 4B zaman BN'

Dalam kenyataan yang sama, Ibrahim turut menghalakan peluru terhadap Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang sebelum ini menyarankan agar isu rasuah tidak dipolitikkan.

Dia mendakwa pertubuhan itu kini telah hilang taring dan hanya sekadar menjadi "benteng" kepada kerajaan Madani, berbeza dengan imej lantang yang pernah dibawa mereka suatu ketika dahulu.

“Abim sudah menjadi benteng kepada Kerajaan Madani dan bukan lagi suara lantang Amal Maaruf Nahi Mungkar. Abim sudah jadi macam (Gerakan Belia) 4B zaman BN dulu.

“Kalau rasuah bukan isu politik, habis politik ini untuk apa? Politik bukan pertandingan siapa pandai bercakap, ia soal amanah mengurus negara. Kalau rasuah tak boleh dibincang dalam politik, itu namanya politik kosong,” tegasnya.

Persoal integriti MCW

Ibrahim turut menyentuh pandangan Malaysia Corruption Watch (MCW) yang menggesa agar institusi seperti SPRM diperkukuh.

Walaupun bersetuju dengan pengukuhan institusi, dia mempersoalkan sama ada wujud konflik kepentingan melibatkan MCW dan dana daripada pihak berkuasa.

“Institusi yang kukuh tidak takut pada soalan. Jangan jadikan alasan pertahan institusi untuk lari daripada konsistensi.

“MCW patut lebih berintegriti dari SPRM baru dipandang mulia. Kalau MCW pernah terima dana untuk kegiatannya dari SPRM, maka kita fahamlah? Ini bukan tuduhan, cuma rasa pelik. C4 (Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme) lebih tegas dan hebat peranannya,” katanya.

Sindiran 'munafik'

Tegas Ibrahim, prinsip perjuangan seseorang pemimpin tidak sepatutnya berubah mengikut kedudukan kerusi di Putrajaya. Dia menyifatkan tindakan mengubah pendirian selepas memegang kuasa sebagai satu bentuk hipokrasi.

“Dalam Islam, amar makruf nahi mungkar wajib ketika susah dan wajib ketika berkuasa. Kalau prinsip berubah bila dapat kuasa, itu bukan prinsip, tapi hipokrit atau munafik.

“Putra tidak main dua standard atau talam dua, tiga atau empat muka. Kalau salah, tetap salah. Prinsip tidak tunduk kepada jawatan atau kuasa,” katanya lagi.

4 jenazah dikebumi dalam satu kubur, suspek diasingkan

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
EMPAT jenazah dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating di Kuantan hari ini.
KUANTAN – Empat sekeluarga yang menjadi mangsa pembunuhan tragis selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cherating, di sini malam ini.

Jenazah Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan bersama menantunya, Nurul Asshiykin Kamarulzaman, 33, serta dua cucu, Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah, 5, pada pukul 7.20 malam.

Bagaimanapun anak lelaki Tuan Kamaria berusia 32 tahun yang juga suspek kejadian itu dikebumikan secara berasingan beberapa meter daripada kubur empat sekeluarga tersebut di tanah perkuburan sama.

Terdahulu, lima jenazah mereka tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 6.50 petang dengan diiringi ahli keluarga, rakan-rakan serta penduduk kampung dalam suasana pilu dan sedih.

Sebelum itu, jenazah Tuan Kamaria, Nurul Asshiykin dan dua kanak-kanak tersebut dimandi dan dikafankan di Masjid Cherating, manakala jenazah lelaki diuruskan di Masjid Sungai Ular, di sini.

Solat jenazah lima sekeluarga itu dilakukan di Masjid Cerating selepas solat Asar sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Dalam kejadian pukul 7 pagi semalam, lima sekeluarga ditemukan maut di sebuah rumah di Perumahan Cerating Damai di sini.

Dalam kejadian itu, mayat suspek bersama isteri dan dua anaknya ditemukan di dalam bilik, manakala ibunya pula dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa di bahagian dapur.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki menikam isteri, ibu serta dua anak perempuannya sebelum menikam diri sendiri.-KOSMO! ONLINE

Lima sekeluarga maut: Adik suspek dengar pertengkaran sebelum pembunuhan

Bernama

Saksi kejadian dalam kes lima sekeluarga maut di kawasan perumahan Cerating Damai, di Kuantan semalam terdengar bunyi pertengkaran sebelum insiden menyayat hati itu berlaku. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata saksi yang juga adik bongsu suspek memaklumkan kejadian itu didengari kira-kira tujuh pagi semasa dia berada di bilik tidur. 

“Apabila saksi keluar bilik dan menoleh ke arah dapur, didapati ibunya dalam keadaan berlumuran darah dan menjerit supaya dia pergi meminta bantuan bapa saudaranya yang berada di belakang kawasan perumahan sama.

“Saksi kemudian meminta bantuan bapa saudaranya dan setelah tiba di rumah, didapati kesemua mangsa dan suspek berada dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Dia berkata rumah berkenaan didiami lapan ahli keluarga termasuk suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, isteri seorang suri rumah, dua anak perempuan, ibu serta tiga adik lelakinya, namun semasa kejadian hanya terdapat enam ahli keluarga. 

Ashari berkata semakan mendapati suspek yang berusia 32 tahun tiada sebarang rekod rawatan mental atau kesalahan lampau.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati suspek telah mencederakan isteri, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, terlebih dahulu dan kemudian ibunya Tuan Kamaria Tuan Puteh, 55, seterusnya dua anak perempuan Nur Saffiyah Humairah, 4, dan Nur Sumayyah Humairah, 2, sebelum mencederakan diri serta turut maut.

Kesan kecederaan terhadap mangsa ditemukan antaranya di bahagian tangan, telinga dan leher manakala polis turut merampas sebilah pisau berukuran 29 sentimeter di lokasi kejadian. 

Difahamkan, bedah siasat terhadap suspek dan isteri telah dijalankan semalam manakala ibu dan dua anaknya bersambung sembilan pagi tadi. 

-Bernama

Putus kaki terkena letupan bunga api

Bernama
SEGAMAT: Seorang lelaki tempatan berusia 30-an cedera parah sehingga kudung kaki kiri akibat terkena letupan bunga api di Taman Damai Jaya, Bukit Siput semalam.

Ketua Polis Segamat, Jumazanzahir Chek Ismail, berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, mangsa mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke zon merah Hospital Segamat untuk rawatan.

Pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa mengalami kecederaan putus kaki kiri di bawah bahagian lutut dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai bermain bunga api jenis ‘shoot cake 4 (D) 16 shot’ di hadapan rumah sempena sambutan Tahun Baharu Cina,” menurut kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan.

Polis menasihatkan agar masyarakat bermain bunga api yang dibenarkan di kawasan tanah lapang, di samping mengamalkan langkah-langkah keselamatan.

Perang rasuah tanpa kompromi - Titah YDP Agong

Bernama

JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri Johor.

Seri Paduka Baginda bertitah, integriti dan ketelusan pentadbiran merupakan asas penting dalam memastikan kesejahteraan serta kemakmuran negeri terus terpelihara.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, amanat berkenaan disampaikan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Mohammed Ridha Abd Kadir di Istana Pasir Pelangi, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang Hazlina Jalil dan Pengarah Tanah dan Galian Johor Mohammed Shakib Ali.

Dalam pertemuan selama hampir dua jam itu, Sultan Ibrahim turut dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa serta kemajuan pesat dicapai Johor oleh Onn Hafiz.

PAS sokong Hamzah untuk 'kenakan' Muhyiddin, dakwa penganalisis

Shakira Buang

Sokongan yang ditunjukkan PAS terhadap Hamzah Zainudin di sebalik sikap Ahli Parlimen Larut itu yang ‘melawan’ presiden partinya sendiri ditafsir sebagai langkah untuk “mengenakan” Bersatu.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata langkah semasa PAS boleh dianggap berkait dengan krisis politik di Perlis.

Dalam kemelut itu, katanya, PAS menyalahkan Bersatu sebagai punca sehingga menyebabkan parti itu kehilangan kerusi menteri besar.

Justeru, katanya, apabila Hamzah disingkirkan oleh Bersatu PAS dilihat segera membuka ruang luas dan mesra kepada bekas Timbalan Presiden Bersatu itu walaupun kejadian itu berlatarkan kes melawan pemimpin tertinggi parti.

“Kenapa mereka membuka ruang yang luas untuk menerima Hamzah atau menyokong Hamzah? Ia adalah untuk ‘kenakan balik’ Muhyiddin,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Bersatu akhirnya memecat Hamzah berkuat kuasa pada 13 Feb lalu berdasarkan fasal 9.1.4 perlembagaan parti itu. Lembaga Disiplin Bersatu mendakwa Hamzah melanggar peruntukan tersebut – yang terkait dengan isu kewajiban menjalankan kerja-kerja parti serta mengambil bahagian dalam mesyuarat serta aktviti mereka.

Pemecatan itu berlaku sebagai kemuncak pertembungan di antara kem Hamzah dan Muhyiddin yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Hamzah turut berkongsi sekeping gambar yang dipercayai dirakam di kediaman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, di Rusila, Terengganu, pada hari dia dipecat.

Persepsi tidak konsisten

Ia berlaku kurang dari dua bulan selepas Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis menggantikan Adun Sanglang dan bekas pesuruhjaya PAS negeri itu, Mohd Shukri Ramli.

Selain menyalahkan Bersatu, PAS juga menganggap kejadian tersebut melibatkan pengkhianatan. Tiga Adun parti itu yang menandatangani perakuan berkanun menolak Mohd Shukri turut dihentikan keanggotaan mereka kerana melanggar arahan kepimpinan parti.

Azmi berkata tidak timbul sangat isu PAS mengambil sikap kontradik apabila membuat pendirian berbeza di antara isu di Perlis dan Hamzah.

“Memang PAS banyak bertindak kontradik, tetapi ia akan dilakukan (juga) untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sokongan PAS terhadap Hamzah sebagai ketua pembangkang juga boleh dibaca sebagai usaha mereka menekan Muhyiddin yang didakwa enggan melepaskan jawatan Pengerusi PN.

Katanya, tindakan PAS itu memang mengundang persepsi tidak konsisten dan parti berkenaan dilihat lebih mementingkan percaturan kuasa berbanding keseragaman prinsip.

Sementara itu, penganalisis politik, Jamaie Hamil, dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan perkembangan tersebut sebagai “real politik” yang sarat dengan pertimbangan untung dan rugi.

Katanya, dalam politik sesebuah parti akan cenderung menyokong pihak yang lebih berpotensi mengukuhkan kedudukan mereka.

“Itulah yang dikatakan sebagai politik. Politik ini serba emungkin.

“Jadi dalam konteks ini, mana yang boleh mendatangkan kepentingan kepada parti itu, maka mereka akan setuju, manakala mana (pilihan) yang dilihat kurang menguntungkan akan dibiarkan saja,” katanya.

Lebih mantap berhujah di parlimen

Jamaie menambah PAS mungkin melihat Hamzah yang lebih muda berbanding Muhyiddin serta mempunyai pengaruh lebih besar dalam kalangan pimpinan Bersatu.

“Maka sokongan itu dibuat atas pertimbangan strategik,” katanya.

Jamaie juga berpandangan faktor persepsi terhadap isu yang membabitkan keluarga Muhyiddin menjadi beban politik kepada PN dan PAS, sekali gus mempengaruhi pertimbangan parti itu.

Dakwa Jamaie, PAS melihat Muhyiddin kini tidak begitu relevan dengan Bersatu.

“Mungkin salah satunya faktor kesihatan Muhyiddin sendiri, kemudian ‘parasit’ yang ada pada Ahli Parlimen Pagoh itu, kerana dia ada isu anak menantu yang lari ke luar negara.

“Maka PAS dan PN sukar untuk bersetuju bahawa mereka itu agak bersih. Kerana apa? Kerana Muhyiddin itu telah terpalit dengan masalah menantu dia.

“Kita tengok setiap kali Muhyiddin berbahas di parlimen pihak kerajaan kadang-kadang menyentuh juga isu ke mana perginya menantu Muhyiddin ini,” katanya.

Apabila krisis Bersatu begitu terbuka dan memuncak, katanya, PAS lebih memilih Hamzah berbanding Muhyiddin.

Hamzah juga, kata Jamaie, lebih mempunyai kemampuan mempertahankan hujah-hujah pihak pembangkang di parlimen.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Prof Madya Mazlan Ali berpandangan sikap diambil PAS lebih bersifat strategi politik berbanding hipokrasi.

Kata Mazlan PAS dan Muhyiddin dilihat sudah lama ‘tidak sebulu’ termasuk dalam beberapa isu terdahulu seperti penentuan calon perdana menteri dan pendirian berhubung status PN di Sabah.

Menurut Mazlan, PAS melihat kepentingan kelangsungan PN itu dan Hamzah adalah rakan strategik.

“Mungkin orang akan tafsir itu sebagai hipokrit, terpulang pada tafsiran masing-masinglah.

“Tapi PAS melihat mungkin dari sudut strategik kerana Hamzah lebih berpengaruh daripada Muhyiddin dalam Bersatu.

“Dari sudut pandang PAS, mungkin bersama Hamzah mudaratnya lebih kecil berbanding bersama Muhyiddin,” katanya.

Mazlan turut merujuk kepada sokongan 19 Ahli Parlimen Bersatu serta lebih 100 bahagian parti yang dikatakan bersama Hamzah sebagai faktor yang tidak boleh diabaikan dalam percaturan tersebut.

“Jadi PAS nampak itu dan (berpandangan) Muhyiddin dah tak ke mana,” katanya.

Dalam pada itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata kes di Perlis bersifat unik dan lebih menjurus kepada dinamika dalaman PAS sendiri.

Kemelut melibatkan Hamzah dan Muhyiddin pula, katanya, memperlihatkan kecenderungan PAS memihak kepada kepimpinan alternatif dalam Bersatu.

Katanya, perkembangan semasa menunjukkan wujud rasa tidak puas hati PAS terhadap kepimpinan Muhyiddin, termasuk diisyaratkan dengan tiadanya wakil parti itu dalam mesyuarat yang diadakan di kediaman bekas perdana menteri terbabit baru-baru ini.

Lelaki ditemui maut lepas dipercayai kelar empat ahli keluarga

NS Ramli

Masalah kewangan dipercayai punca seorang lelaki bertindak mengelar empat ahli keluarga sebelum membunuh dirinya dalam kejadian di Taman Cherating Damai, Kuantan, Pahang, pagi tadi.

Suspek berusia 32 tahun itu dikatakan baru berhenti kerja di Selangor kira-kira sebulan lalu, sebelum berpindah balik ke Kuantan.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, suspek dilaporkan baru seminggu memulakan kerja di tempat baru di sekitar bandar raya Kuantan.

"Motif kita dalam siasatan, mungkin masalah kewangan... (setakat ini) tiada (rekod mental) dan itu semua masih dalam siasatan lanjut," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia menjelaskan, suspek bersama isterinya yang berusia 28 tahun dan dua anak perempuan mereka - masing-masing berumur tiga dan empat tahun - berada dalam satu bilik, manakala mayat seorang lagi mangsa dipercayai ibu suspek berusia 55 tahun ditemui di luar bilik berkenaan.

"Semua mangsa mempunyai kesan kelar dan kita akan menunggu keputusan pemeriksaan oleh pihak patologi untuk mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Ditanya lanjut mengenai kejadian menyayat hati itu, Yahaya memaklumkan ketika kejadian adik suspek berusia 15 tahun berada dalam rumah berkenaan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kalau ikutkan maklumat awal, rumah ini didiami lapan ahli keluarga dan ketika kejadian ada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dalam rumah berkenaan.

"Dia yang menyedari kejadian ini selepas terdengar bunyi bising sebelum menemui mayat ahli keluarganya itu. Dia kemudian keluar meminta pertolongan daripada jiran yang menghubungi pihak polis," jelasnya.

Yahaya turut memberitahu pihaknya menemui senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Difahamkan semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk proses bedah siasat.

Punca kes bunuh lima sekeluarga, polis syak masalah kewangan

BERNAMA
ANGGOTA polis mengangkat mayat lima sekeluarga yang ditemukan di dalam sebuah rumah dipercayai dibunuh di Taman Cherating Damai, Kuantan. FOTO Muhammad Delima Atan.
ANGGOTA polis mengangkat mayat lima sekeluarga yang ditemukan di dalam sebuah rumah dipercayai dibunuh di Taman Cherating Damai, Kuantan. FOTO Muhammad Delima Atan.
Kuantan: Siasatan awal polis dalam kejadian bunuh melibatkan lima sekeluarga di kawasan perumahan Cherating Damai di sini, pagi tadi mendapati motif kejadian berkemungkinan disebabkan oleh faktor kewangan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, bagaimanapun, perkara itu masih dalam siasatan lanjut polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Difahamkan, suspek tidak mempunyai rekod penyakit mental," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Mayat kesemua lima beranak itu selesai dibawa keluar dari kediaman berkenaan pada 12.45 tengah hari tadi untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, jiran mangsa, Saripah Jaya, 60, berkata keluarga berkenaan peramah termasuk suspek yang kerap menyapa suaminya ketika berada di halaman rumah.

"Mak dia (suspek) pun selalu joging di kawasan ini … pagi tadi memang hujan lebat dan saya tidak dengar sebarang bunyi orang bergaduh atau sebagainya," katanya yang menetap di kawasan itu lebih 20 tahun.

Seorang penduduk Tengku Fakri Tengku Aziz, 41, pula berkata dia terkejut apabila kejadian terbabit berlaku di kawasan perumahan itu.

"Saya memang tidak sangka kejadian sebegini berlaku dekat dengan rumah kami … ini kali pertama kejadian macam ini berlaku di sini," katanya yang menyedari insiden itu ketika dalam perjalanan menuju ke Kemaman, Terengganu sebelum melihat orang ramai berkumpul di hadapan rumah mangsa.

Kejadian kira-kira 7 pagi itu melibatkan dua kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun, ibu bapa yang masing-masing berusia 32 dan 28 tahun yang ditemukan di dalam bilik, serta nenek mereka berumur 55 tahun yang dijumpai di ruang dapur.

Yahaya berkata, lelaki itu dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri dan turut maut.