"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Israel serang sekolah rendah, 51 murid terbunuh

KOSMO!
Tangkap layar video menunjukkan orang ramai mencari mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Minab. - Telegram
TEHRAN – Serangan peluru berpandu Israel yang menyasarkan sebuah sekolah rendah perempuan di selatan Iran meragut nyawa sekurang-kurangnya 51 pelajar, lapor laman berita Middle East Eye.

Sekolah Shajareh Tayyebeh itu terletak di bandar MinaB, wilayah Hormozgan.

Mangsa dilaporkan berusia antara tujuh hingga 12 tahun, lapor agensi berita Iran, Tasnim dan Fars.

Serangan udara tersebut menyebabkan orang ramai yang berada dalam bangunan terperangkap di bawah runtuhan, demikian menurut sumber di lapangan.

Seramai 170 pelajar perempuan berada di sekolah itu semasa kejadian, dengan sekurang-kurangnya 45 orang dilaporkan cedera.

Rakaman video dimuat naik di platform Telegram menunjukkan penduduk tempatan berpusu-pusu menggali serpihan untuk mencari mangsa yang terperangkap.

Serangan itu turut dilancarkan di beberapa bandar termasuk Qom, Karaj, Isfahan dan Kermanshah.

Angka kematian belum diketahui, namun Reuters melaporkan bahawa Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei telah dipindahkan ke tempat selamat.

Agensi berita Fars melaporkan sebelum ini bahawa jumlah pelajar yang terbunuh meningkat kepada 24 daripada lima orang. – AGENSI

Fuziah: Rafizi seakan hilang kepercayaan pada PKR

Bernama 

Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli diberikan Surat Tunjuk Sebab berikutan tindakan beliau seakan-akan telah hilang kepercayaan terhadap parti, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh.

Beliau berkata ia juga susulan kenyataan Rafizi bahawa beliau tidak mahu keluar parti pada masa ini kerana ia akan mencetuskan Akta Lompat Parti.

“Ya surat itu dikeluarkan dengan Fasal 9(1)(C) dalam Perlembagaan PKR, iaitu Fasal 9(1) berkenaan dengan pelucutan keanggotaan dan C pula berkenaan dengan pengisytiharan anggota itu sendiri bahawa beliau keluar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bazar Ramadan Rahmah di Bazar Ramadan Raja Alang Kampung Baru di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Fuziah dilaporkan berkata Rafizi diberi tempoh sehingga hari ini bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 bukan atas tiket PKR.

Fuziah ketika mengulas mengenai notis berkenaan berkata sehingga beliau hadir ke program berkenaan pihaknya masih lagi belum menerima jawapan daripada Rafizi, bagaimanapun beliau mempunyai tempoh sehingga tengah malam ini untuk berbuat demikian.

Ketika ditanya apa implikasi sekiranya Rafizi tidak menjawab surat berkenaan, Fuziah berkata notis itu adalah berkaitan keanggotaan Ahli Parlimen Pandan.

“Hasrat keluar parti kalau dibaca sebagai ‘substantif’ keluar parti walaupun tak ada surat ia punya implikasi besar sebab ia boleh mengakibatkan gugurnya keanggotaan, gugurnya keanggotaan boleh mengakibatkan gugurnya sebagai ahli parlimen. Jadi, sebab itu saya bagi peluang untuk jawab apa hasrat beliau sebenarnya,” katanya.

Pada Khamis lepas, Rafizi mengesahkan menerima notis tunjuk sebab daripada PKR atas alasan beliau mengisytiharkan keluar parti.

- Bernama

Iran lancar peluru berpandu, dron ke wilayah diduduki Israel

Bernama

Ia menyusul serangan udara yang dilancarkan rejim Zionis ke atas tengah Tehran pada awal Sabtu.
 
iran missile
Peluru berpandu dilancarkan Iran jatuh ke laut di bandar Haifa, Israel pada Sabtu. (Gambar EPA Images)
TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan pelancaran serangan besar-besaran peluru berpandu dan dron menyasarkan wilayah diduduki Israel sebagai tindak balas terhadap pencerobohan baru-baru ini ke atas Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabat perhubungan awam IRGC, gelombang pertama serangan itu telah bermula.

Pengumuman itu menyusul serangan udara ke atas tengah Tehran pada awal Sabtu.

Wartawan IRNA menyaksikan serangan dan beberapa letupan di tengah serta timur Tehran sekitar tengah hari tadi. Tembakan antipesawat turut kedengaran di ruang udara ibu negara itu.

3 remaja maut, 3 motosikal bertembung di Melaka

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga remaja maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal yang dipercayai bertembung di Jalan Tambak Paya, Melaka Tengah pada awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 3.50 pagi itu menyebabkan dua penunggang motosikal, Muhammar Adiff Farihin Mohd Anuar, 15, Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16, dan seorang pembonceng, Nur Khairiah Mat Mazlin, 16, maut.

Seorang lagi penunggang motosikal, Muhammad Haziq Haikal Kassim, 18, pula cedera parah dan kini dirawat di Hospital Melaka, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, siasatan di lokasi mendapati dua motosikal dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua manakala sebuah lagi dari arah bertentangan.

“Setibanya di tempat kejadian, ketiga-tiga motosikal dipercayai bertembung secara berdepan di tengah jalan.

“Akibat pertembungan itu, dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk pemeriksaan teknikal ke atas semua kenderaan terlibat di Puspakom.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Na’imah terkejut laporan polis kait dirinya cuba jatuhkan kerajaan

FMT Reporters

Na’imah Abdul Khalid dakwa laporan polis itu difailkan individu pernah menawarkan khidmatnya sebagai sebahagian pasukan komunikasi.
Naimah Abdul Khalid
Na’imah Abdul Khalid berkata laporan polis mendakwanya terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan dibuat individu tidak berpuas hati dengannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Na’imah Abdul Khalid, balu bekas menteri kewangan Daim Zainuddin terkejut dengan laporan polis difailkan seorang individu yang mendakwanya terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Beliau dalam kenyataan mendakwa laporan polis itu difailkan oleh seorang individu yang pernah menawarkan khidmatnya sebagai sebahagian daripada pasukan komunikasi pada Julai 2025.

Menurutnya, individu berkenaan kemudiannya ditamatkan perkhidmatan susulan prestasi kerja yang tidak memuaskan, sebelum bertindak membuat tuntutan kewangan lanjut.

“Jelas sekali ini adalah tindakan seorang individu yang tidak berpuas hati,” katanya yang turut mempersoalkan kandungan laporan itu yang didakwa palsu dan tidak masuk akal.

Beliau turut mempersoalkan mengapa laporan itu dibuat tujuh bulan selepas pertemuan didakwa berlaku.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata Bukit Aman sedang menyiasat dakwaan cubaan oleh individu yang tidak dinamakan untuk menggulingkan kerajaan dan menggugat kestabilan negara.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa yang didakwa terbabit dalam usaha itu.

Dalam laporan polis yang kini tersebar luas di media sosial, ahli keluarga berpengaruh didakwa telah melantik sebuah firma komunikasi strategik berpangkalan di United Kingdom bagi memberi tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan bantuan media antarabangsa.

Laporan itu turut mendakwa firma UK berkenaan mempunyai keupayaan mempengaruhi dasar negara serta hala tuju isu-isu tertentu melalui rangkaian pelobi.

SPRM dalam kenyataan selepas itu pula berkata pihaknya sedang mengesan empat anak Daim iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Dalam pada itu, Na’imah turut menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai ‘melucukan’ dan tidak masuk akal.

Beliau juga mempersoalkan logik dakwaan kerajaan boleh dijatuhkan melalui bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam.

“Jika itu caranya, sudah tentu banyak kerajaan Malaysia sebelum ini telah bertukar ganti berkali-kali,” katanya sambil menegaskan mendapatkan nasihat profesional dalam bidang perhubungan awam bukan satu jenayah.

Dakwaan itu timbul susulan laporan berita Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dan tidak mendedahkan asetnya secara terbuka.

Azam menafikan dakwaan itu dan telah menyaman Bloomberg bagi ganti rugi berjumlah RM100 juta.

Dalam artikel berasingan, Bloomberg mendakwa satu rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan bagi memberi tekanan kepada pengurusan syarikat supaya menjual saham dalam syarikat sasaran.

SPRM menafikan dakwaan itu.

Na’imah, 67, sedang berdepan pertuduhan di mahkamah kerana gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

'Konspirasi' jatuhkan kerajaan: Polis siasat isteri bekas menteri

Hariz Mohd

Isteri kepada seorang bekas menteri kini berada dalam pemerhatian polis susulan satu laporan yang mendakwa dia merancang untuk menggulingkan kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Malaysiakini difahamkan bahawa dialah"individu berpengaruh" yang dimaksudkan oleh Ketua Polis Negara Khalid Ismail dalam kenyataannya awal hari ini, ketika dia mengumumkan siasatan kes cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Menurut salinan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, wanita itu didakwa mengadakan mesyuarat dalam talian sekitar Julai tahun lalu, yang membincangkan perancangan untuk menggunakan saluran media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Anwar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Dua anak bekas menteri tersebut, dua peguam, dan beberapa wakil firma komunikasi strategik antarabangsa didakwa turut menyertai mesyuarat itu.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama wanita berkenaan sementara menunggu maklum balasnya serta peguamnya.

Berdasarkan laporan itu, mesyuarat tersebut turut melibatkan dua ahli perniagaan, termasuk seorang yang membuat laporan polis kerana menyatakan rasa tidak setuju dengan rancangan berkenaan dan telah menarik diri.

Pengadu berkata dia perkara itu salah dan mempunyai unsur pengkhianatan kerana ia melibatkan kerjasama dengan “ejen asing” untuk menjatuhkan kerajaan dan perdana menteri.

Mirip kes 1MDB

Pagi tadi, Khalid memaklumkan bahawa konspirasi tersebut melibatkan seorang "individu berpengaruh" dan sebuah agensi media antarabangsa.

Khalid berkata siasatan dijalankan bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan selepas polis menerima laporan semalam.

Seksyen tersebut merujuk kepada aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Malaysiakini telah menghubungi Khalid dan bahagian komunikasi polis persekutuan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Perkembangan ini mempunyai persamaan dengan skandal 1MDB. 

Pentadbiran Najib Abdul Razak pernah membuat dakwaan serupa terhadap organisasi media tertentu manakala pengkritik berdepan ancaman pendakwaan atas "aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen".

Warga emas dituduh melakukan amang seksual terhadap cucu lelaki tirinya yang berusia tiga tahun

NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu lelaki tirinya yang berusia tiga tahun.

Tertuduh yang berusia 64 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap seorang kanak-kanak dengan cara memasukkan jarinya ke dalam dubur mangsa yang berusia tiga tahun ketika kejadian antara pukul 7 hingga 10 pagi di sebuah rumah di Nilai antara Oktober hingga November 2025.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM16,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Mac depan bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Suspek buruan polis sembunyi dalam tong sampah, lari sampai kasut 'terbang'

Agensi
KAKITANGAN pembersihan menemui lelaki dalam tong sampah dan polis mengejar suspek dalam buruan. FOTO Agensi
KAKITANGAN pembersihan menemui lelaki dalam tong sampah dan polis mengejar suspek dalam buruan. FOTO Agensi
Washington: Seorang kakitangan pembersihan di Ohio, Amerika Syarikat (AS) terkejut selepas membuka tong sampah kerana menemui seorang lelaki bersembunyi di dalamnya.

Difahamkan, lelaki itu adalah suspek yang menjadi buruan polis.

Portal Huffpost melaporkan, ia mendapat perhatian selepas dikongsikan Jabatan Polis Huber Heights di Facebook (Fb).

Video itu memaparkan kakitangan pembersihan dilihat berganjak ke tepi selepas membuka tomg sampah sebelum menunjuk ke arah dalamnya.

Lelaki di dalamnya kemudiannya melompat keluar dari tong sampah dan melarikan diri dan seorang pegawai polis mengejarnya.

Insiden kejar mengejar itu juga menyebabkan kasut lelaki berkenaan 'terbang' ketika melarikan diri.

Menurut polis, lelaki itu akhirnya ditahan tanpa kecederaan.

Difahamkan, suspek itu melarikan diri ketika pemeriksaan lalu lintas pada awal Isnin.
-Hmetro 

Keluarga berpengaruh didakwa cuba tekan PM, SPRM dengan bantuan firma UK

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli kepada keluarga berpengaruh didakwa telah melantik sebuah firma komunikasi strategik berpangkalan di United Kingdom bagi memberi tekanan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan bantuan media antarabangsa.

Dakwaan itu terkandung dalam laporan polis di Balai Polis Brickfields, semalam dan salinan laporan itu kini tersebar luas di media sosial.

Menurut laporan polis berkenaan, beberapa ahli keluarga terbabit didakwa mengadakan pertemuan dengan wakil firma komunikasi strategik itu melalui aplikasi Zoom pada Julai tahun lalu.

Laporan itu turut mendakwa firma UK berkenaan mempunyai keupayaan mempengaruhi dasar negara serta hala tuju isu-isu tertentu melalui rangkaian pelobi.

Terdahulu, Bukit Aman mengumumkan sedang menyiasat dakwaan cubaan oleh individu yang tidak dinamakan untuk menggulingkan kerajaan dan menggugat kestabilan negara.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terperingkat (D5) Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan berkaitan perbuatan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa terbabit.

“Siasatan masih diteruskan dan masyarakt dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah negara ini,” katanya dalam kenyataan.

PN mungkin hilang 37 kerusi, pemimpin PAS jelaskan kenyataan

Alysha Edward, Sherrlina Yesu Dass dan Amardeep Gill

Zaharudin Muhammad berkata itu hanyalah 'senario terburuk'.
Zaharudin Muhammad
Ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad berkata paling penting sekarang ialah PN merapatkan barisan.
PUTRAJAYA: Seorang pemimpin PAS Selangor menjelaskan dakwaannya berhubung Perikatan Nasional (PN) berisiko kehilangan sehingga 37 kerusi Parlimen pada PRU16 hanyalah “senario terburuk”, jika gabungan itu membuat pilihan salah.

Zaharudin Muhammad turut menafikan cadangan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi PN baharu akan membawa kepada kekalahan sedemikian.

“Tidak semestinya jika Samsuri jadi pengerusi PN, PN akan serta-merta kehilangan 37 kerusi. Tidak.

“Ada tiga senario. Senario saya terburuk,” katanya selepas menghadiri bantahan terhadap Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, di sini.

Ketua PAS Sungai Buloh itu berkata, apa yang penting sekarang ialah PN merapatkan barisan.

“Perpaduan adalah penting,” katanya sambil menambah pengerusi perlu menjadi “instrumen” menyatukan semua komponen PN dan jika salah sebuah parti komponen menolak pengerusi, ia akan memecahbelahkan gabungan itu.

Bulan lalu, menantu Presiden PAS, Hadi Awang itu memberi amaran terhadap cadangan melantik Samsuri sebagai pengerusi PN baharu “tidak baik untuk PAS dan Malaysia”.

Beliau mencadangkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebaliknya menerajui PN dan dijadikan calon perdana menteri gabungan itu untuk PRU16.

Tetapi, Tuan Ibrahim menolak kenyataan Zaharudin sebagai pendapat peribadi yang menurutnya tidak mencerminkan pendirian PAS.

Beliau turut mempertahankan Samsuri dengan memetik prestasi kerajaan Terengganu dan PAS negeri di bawah kepimpinannya.

Samsuri yang juga naib presiden PAS dilantik pengerusi PN Ahad lalu, menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Warga emas maut ditembak jiran di Sarawak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang warga emas maut ditembak jiran di kaki lima Rumah Panjang Minis Sungai Minus Entabai, Julau, Selasa lalu.
Vincient Anak Belingau, 69, dilaporkan parah di bahu kanan sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Nanga Entaih kira-kira 11 pagi.

Ketua Polis Julau, Alif Haiqal Ramesh, berkata seorang lelaki 43 tahun dipercayai berlari dari sebuah bilik dengan senapang patah, sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa di kaki lima rumah panjang itu selepas pulang dari kebun sawit.

Menurutnya, seorang saksi di lokasi berhampiran memaklumkan terdengar bunyi tembakan sebelum melihat mangsa rebah.

“Anak mangsa yang berada di bilik lain segera membawa bapanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat tembakan yang menyebabkan pendarahan teruk,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira 1.35 tengah hari di rumah panjang itu, dengan sepucuk senapang patah, sejumlah peluru hidup dan kelongsong peluru dirampas di lokasi kejadian.

Jelasnya, siasatan lanjut mendapati sekitar 5 pagi hari kejadian, suspek dikatakan berang selepas ditegur mangsa supaya tidak bermain senjata api di kawasan rumah panjang.

Katanya, suspek dipercayai tidak puas hati ditegur mangsa beberapa kali dan menggunakan senapang patah milik ibunya yang dipercayai diambil tanpa kebenaran dari tempat simpanan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sibu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dera anak kekasih hingga maut seorang lelaki dihukum gantung

MOHD YUNUS YAKKUB
Davandrakumar
SHAH ALAM – Perbuatan kejam seorang lelaki mendera anak kekasihnya berusia tiga tahun menggunakan kayu, penyangkut baju, tali pinggang sehingga mati akhirnya berbalas apabila dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Norliza Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Davandakumar, 32, yang didapati bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tegasnya, mahkamah mendapati bahawa pembelaaan tertuduh hanya bersifat penafian kosong semata-mata.

“Mahkamah mendapati dalam kes ini mangsa adalah seorang kanak-kanak berusia tiga tahun. Mahkamah meneliti laporan bedah siasat yang menunjukkan tubuh kecil dan kurus mangsa.

“Kanak-kanak itu dipukul dengan kejam menggunakan batang paip, kayu, tali pinggang dan penyangkut baju. Dia yang langsung tidak berdaya melawan kemudian direndam ke dalam air sebelum diseret ke bilik dan dibelasah lagi sehingga tidak bernyawa.

“Oleh itu, mahkamah berpendapat tiada hukuman lain yang setimpal selain digantung sampai mati,” tegasnya.

Mengikut pertuduhan, Davandakumar didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki, K. Nithish, 3, di sebuah rumah di Jalan Hulubalang 28, Taman Sentosa, antara pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang pada 24 Disember 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pada prosiding itu, Peguam Zamri Ibrahim dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya masih bujang dan merupakan anak ketiga daripada tiga beradik selain telah menyesal serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad dan Maryam Jamielah Ab. Manaff menegaskan, kesalahan tertuduh amat keji dan sukar untuk dimaafkan kerana mengambil satu nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.

Tambahnya, tertuduh telah mendera mangsa selama tiga hari berturut-turut hingga akhir nafas si mati sehingga menyebabkan banyak kecederaan dialami mangsa.

“Tertuduh turut menyelamkan kepala si mati dalam baldi yang dipenuhi air sehingga mangsa hampir lemas dan lemah. Setelah si mati lemah, tertuduh mencekik dan menggigit leher serta tangan kanak-kanak itu sehingga keadaan mangsa tidak bergerak.

“Lebih menyedihkan, perbuatan ini berlaku di hadapan mata ibu kandung mangsa sendiri, yang menanggung trauma sehingga ke akhir hayatnya,” katanya.

Kosmo! pada 28 Disember 2021 melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju di daerah ini baru-baru ini.

Insiden itu terbongkar selepas polis menerima laporan dibuat seorang pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) kira-kira pukul 6.20 petang, 24 Disember 2021.

Davandakumar kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada 5 Januari 2022. – KOSMO! ONLINE

Bunuh, kerat mayat bekas tunang, warga emas 71 tahun didakwa

Ersie Anjumin
Piluta Samad, 71, yang didakwa membunuh seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, Sepanggar, pada 12 Februari lalu tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. -FOTO NSTP
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang bekerja sendiri didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya ditemui dikerat di Indah Permai, Sepanggar.

Tertuduh, Piluta Samad, 71, yang hadir di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus memahami pertuduhan namun tiada pengakuan direkodkan.

Pengakuan dia hanya akan diambil di Mahkamah Tinggi sebaik kes itu dipindahkan ke sana.

Piluta didakwa membunuh Hamidah Husin atau dikenali sebagai Lisa, seorang wanita tanpa dokumen, pada 11 Februari 2026, antara jam 6 petang dan 7 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, berhampiran sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, minimum 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon tarikh sebutan lanjut sementara menunggu laporan DNA, patologi, forensik dan kimia.

Beliau juga membantah jaminan memandangkan keseriusan kes itu.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus ditahan sementara menunggu tarikh itu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 44 tahun ditemui mati dengan mayatnya dikerat kepada tujuh bahagian dan dibuang di beberapa tapak pelupusan sampah.

Lelaki berusia 71 tahun itu, yang dipercayai bekas tunang mangsa ditangkap sebagai suspek utama.

Tiga individu lain yang juga anak-anaknya terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita turut ditahan bagi membantu siasatan.

Setakat ini, dua bahagian anggota badan mangsa, iaitu kaki kiri dan tangan kanan, masih belum ditemui.

Adun Pantai Jerejak, Fahmi Zainol mengaku tak bersalah tuduhan keganasan rumah tangga

Dineskumar Ragu

Adun Pantai Jerejak itu didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan mencederakan isterinya.
Fahmi Zainol
Fahmi Zainol didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN: Anggota Exco Kerajaan Pulau Pinang Fahmi Zainol didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas tuduhan keganasan rumah tangga.

Fahmi yang juga Adun Pantai Jerejak daripada PKR, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut kertas pertuduhan, Fahmi dituduh dengan sengaja mencederakan isterinya Nur Hidayah Abd Jabar di rumahnya di Bayan Lepas, kira-kira 10 pagi, 22 Feb lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan kesalahan mencederakan pasangan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Agong gering akibat kesakitan otot dan tulang, majlis rasmi ditangguhkan

Malaysiakini 

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan sedang gering susulan kesakitan musculoskeletal yang melibatkan bahagian otot dan tulang belakang serta pinggul.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda kini sedang menjalani rawatan susulan dan proses pemulihan bagi menangani kesakitan tersebut.

"Seri Paduka Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.

“Disebabkan keadaan kesihatan tersebut, Sultan Ibrahim tidak dapat berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri, serta Ketua Perwakilan Asing yang berlangsung di Istana Negara, kelmarin,” kata kenyataan itu.

Selain itu, majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) oleh Sultan Ibrahim yang dijadualkan semalam juga telah ditangguhkan ke suatu tarikh lain.

Kenyataan itu turut menambah bahawa Sultan Ibrahim menzahirkan titah untuk kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik sahaja tahap kesihatan baginda kembali pulih.

Pada 22 Februari lalu, Malaysiakini melaporkan Seri Paduka Baginda menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan muskulosletal di luar negara.

Menurut Istana Negara, kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.

Rafizi: Tak tahu nak undi siapa? Tunggu Jun

Malaysiakini 

Cara Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengendalikan pelbagai isu, termasuk kes rasuah dan perkara penting bagi golongan progresif serta bukan Melayu, menyebabkan peningkatan rasa kecewa dalam kalangan penyokong teras PH.

Bagaimanapun, Rafizi Ramli, bekas timbalan presiden PKR yang ditolak dalam pemilihan, memberi isyarat bahawa penyokong PH mungkin mempunyai sesuatu yang boleh dinantikan daripadanya menjelang Jun.

Dalam temu bual dengan BFM yang disiarkan semalam, Rafizi berkata dia dan sekutunya terbuka untuk "membawa haluan sendiri".

Ditanya sama ada haluan ini akan melibatkan penubuhan parti, anggota parlimen Pandan itu menjawab bahawa mereka mahu memberi "pilihan" kepada pengundi, terutamanya golongan muda, namun bentuknya hanya akan diputuskan dalam beberapa bulan lagi.

"Kami sedang melihat angka, kami melihat segala kemungkinan, pelbagai kemungkinan konfigurasi politik. Tetapi saya rasa anda akan mendengar lebih banyak daripada kami selepas Jun.

"Bagi mereka yang merasakan 'ini sudah berakhir, saya tidak ada pilihan untuk mengundi siapa'... kerana saya rasa begitulah cara saya terjun ke politik pada 1998. Saya mahukan pilihan.

"Jadi saya mahu memastikan generasi muda terutamanya tidak dinafikan pilihan tersebut," katanya.

Sama ada mereka akan menang atau kalah, katanya hanya masa yang akan menentukan.

Rafizi semakin menjauhkan diri daripada PKR selepas tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti tahun lalu kepada Nurul Izzah Anwar - dan kini merupakan pengkritik keras Anwar.

Minggu lalu dia memberi gambaran akan mempertahankan kerusi parlimen Pandan, tetapi berkemungkinan besar bukan sebagai calon PKR.

Dia menolak kemungkinan menyertai parti sedia ada, atau bekerjasama dengan bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin - yang digambarkannya sebagai amat bertentangan dengannya.

Rafizi memberitahu BFM bahawa matlamat akhirnya bukan tertumpu kepada menawan Putrajaya, sambil menyatakan dia tidak mahu berkompromi dalam segala hal semata-mata untuk berada dalam kerajaan.

Sebaliknya, veteran PKR itu berkata matlamatnya adalah untuk melatih generasi pemimpin progresif seterusnya.

"Saya mempunyai satu atau dua pusingan lagi untuk memastikan sebahagian daripada ahli politik muda yang progresif dan bersih ini benar-benar boleh berdikari dan menjalani tempoh penuh kerjaya mereka.

"Saya rasa jika mereka bertahan sehingga usia 50-an dan melalui pengalaman dalam kerajaan atau sebagai pembangkang kanan, itu akan memastikan kita mempunyai barisan ahli politik yang baik untuk tahun-tahun mendatang.

"Kerana mereka akan dapat melatih orang baru dan berkata 'lihat, saya berjaya lakukannya. Saya tidak ambil wang, saya pegang teguh pada prinsip dan saya bertahan. Saya membawa perubahan.' Itulah matlamat akhir saya," katanya.

Pada masa ini, sekutu Rafizi dalam PKR termasuk anggota parlimen Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Tan Kar Hing (Gopeng), dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Menteri Chang Lih Kang dan Akmal Nasir juga sangat rapat dengan Rafizi, begitu juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Jemaah tarawih bertumbuk rebut pemanis mulut

KOSMO!
Beberapa jemaah turut serta dalam pergaduhan tersebut. - X
NEW DELHI – Sesi solat tarawih di sebuah masjid di negeri Uttar Pradesh, India bertukar kecoh apabila pergaduhan tercetus antara jemaah gara-gara berebut pemanis mulut, lapor laman berita Asia Net News.

Kejadian berlaku di sebuah masjid di Jalan Hapur, Lohiyanagar.

Apa yang bermula sebagai pertengkaran kecil semasa pengagihan ladu, dengan cepat bertukar menjadi pergaduhan fizikal sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan jemaah.

Menurut saksi, ketika kejadian, pihak masjid mengagihkan ladu untuk meraikan selesainya bacaan al-Quran. 

Semasa pengagihan itu, perselisihan faham berlaku antara dua pemuda, menyebabkan mereka bertengkar sebelum ia bertukar ganas.

Saksi mendakwa, seorang jemaah diangkat dan dicampak ke tanah sebelum dia dipukul oleh beberapa orang.

Pergaduhan itu menimbulkan huru-hara di kawasan masjid, dengan penyokong kedua-dua pihak mula berkumpul.

Orang ramai yang hadir di tempat kejadian cuba campur tangan dan menghentikan keganasan, sebelum keadaan kembali tenang.

Polis Uttar Pradesh berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan video tular untuk mengenal pasti mereka yang terlibat. – AGENSI 

Lelaki maut disyaki terjun dari jejambat MRT Titiwangsa

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disyaki terjun daripada jejambat berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Titiwangsa dalam kejadian di Jalan Tun Razak, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 kira-kira pukul 8 pagi memaklumkan terdapat seorang lelaki disyaki telah terjun dari jejambat berkenaan.

“Siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 47 tahun berasal dari Negeri Sembilan itu ditemui dalam keadaan terbaring mengiring sebelah kiri.

“Hasil pemeriksaan tubuh mendapati terdapat kecederaan di bahagian kepala sebelah kiri serta luka pada ibu jari kanan dan lengan kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tiada kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah. – KOSMO! ONLINE

Budak 12 tahun trauma dicabul, ditinggalkan tak berpakaian dalam semak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang budak perempuan berusia 12 tahun mengalami trauma selepas dipercayai dicabul sebelum ditinggalkan dalam keadaan hanya berpakaian dalam di kawasan semak berhampiran sekolahnya di daerah Melaka Tengah semalam.

Memetik sumber, Harian Metro melaporkan mangsa ditemukan kira-kira 7 malam dalam keadaan terbaring di dalam semak dan menangis ketakutan selepas gagal menghadiri kelas tambahan sebaik tamat waktu persekolahan pada 1.05 tengah hari.

Kehilangan kanak-kanak itu disedari gurunya yang kemudian berusaha mencari mangsa di sekitar kawasan sekolah.

Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati murid itu keluar dari kawasan sekolah sekitar waktu tengah hari.

Menurut sumber, mangsa memaklumkan dia keluar sekolah selepas terlihat sebuah kereta seperti milik ibunya, namun mangsa kemudiannya beredar apabila mendapati kereta itu dipandu seorang lelaki yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, individu tidak dikenali itu bertindak mengejarnya menyebabkan kanak-kanak itu melarikan diri ke arah semak berhampiran.

“Suspek berjaya menemukan mangsa sebelum mengarahkannya menanggalkan pakaian sekolah, menyebabkan mangsa yang ketakutan hanya tinggal berpakaian dalam,” menurut sumber.

“Mangsa mendakwa suspek menyentuh pipi serta mengambil beberapa keping gambar menggunakan telefon bimbit sebelum beredar meninggalkan dalam keadaan ketakutan di kawasan semak itu.”

Mangsa bagaimanapun berjaya ditemukan oleh ahli keluarga yang mencarinya kira-kira 7 malam sebelum dia dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Kejadian ini disahkan oleh Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar yang memaklumkan, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, berita kehilangan mangsa tular di media sosial sejak semalam selepas ahli keluarganya yang mahu menjemput mangsa pulang mendapati dia tidak berada di sekolah.

Surat tunjuk sebab: Rafizi dakwa PKR mahu dia keluar parti, hilang kerusi parlimen

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim cuba menekannya untuk keluar sendiri daripada parti dan tersingkir sebagai ahli parlimen agar dia tidak perlu dipecat dan kekal sebagai wakil rakyat.

Jelas Rafizi, dia menerima surat tunjuk sebab daripada PKR yang menuduhnya mengisytiharkan keluar daripada parti apabila mengumumkan rancangan untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bukan di bawah tiket PKR.

“Dia (Anwar) nak saya isytihar keluar, kemudian Speaker dari PKR isytihar saya bukan lagi ahli parlimen. Puas hati mereka, padan muka kau,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial hari ini.

Sedangkan, jelas Rafizi, kenyataannya sebelum ini hanyalah perancangan apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan dia tidak lagi terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti.

"Setelah saya tidak lagi menjadi ahli parlimen, memang terpulang kepada saya nak buat apa.

"Selagi saya ahli parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar dari parti, atau saya tidak mengisytiharkan saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai anggota PKR dan Speaker tidak boleh memecat saya dari Parlimen," kata bekas timbalan presiden PKR itu.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh untuk mendapatkan responsnya terhadap dakwaan Rafizi.

Dalam kenyataan panjang itu, Rafizi tanpa berlapik juga mengecam Anwar sebagai tidak berani memecatnya, dengan membandingkan Presiden PKR itu dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

“Kalau saya dalam Bersatu, dah lama saya kena pecat.

“Tapi Anwar, seperti yang saya pernah sebut dalam podcast, kalau boleh dia nak semua orang buat untuk dia. Apa yang saya sebut sebelum ini sebagai entitlement yang dia ada. Dia rasa hak dia supaya orang berkorban untuk dia kerana dia pemimpin besar.

“Bila sampai kepada kes saya, bila saya kritik dia, orang ingat dia akan tunjuk keberanian dengan memecat saya. Mana-mana pemimpin lain, dah lama akan pecat.

“Tapi Anwar dan PKR, dia nak suruh saya tolong selesaikan masalah itu bagi pihak dia. Sebab kalau dia pecat, maka saya akan kekal sebagai ahli parlimen,” katanya.

Rafizi merujuk kepada undang-undang antilompat parti, yang menetapkan ahli parlimen yang meletak jawatan atau berhenti menjadi ahli parti politik mereka akan dikosongkan kerusi parlimennya.

Sementara mereka yang dipecat daripada parti akan dapat mengekalkan kerusi mereka.

“Mereka (PKR) nak saya tolong masak, tolong hidang dan mereka makan. Sama seperti sebelum ini - Anwar dan PKR nak saya kerja separuh mati angkat dia, keluar masuk lokap dedahkan skandal supaya orang sokong PKR, tapi bila dia dah jadi perdana menteri, ikut suka dia nak buat apa.

“Orang Barat kata ‘he wants to have a cake and eat it too’,” tambahnya.

Salinan surat bertarikh 23 Februari yang ditujukan kepada Rafizi dan dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa parti itu telah meminta Rafizi menjelaskan kenyataannya dalam tempoh lima hari.

Rafizi berkata dia akan membalas surat itu.

“Saya akan balas dan jelaskan seperti ini kepada Fuziah Salleh dan PKR.

“Lepas itu, kamu nak buat apa pun buatlah. Sebab saya yakin Allah melihat semuanya,” katanya.

Dalam temu bual baru-baru ini dengan Sin Chew Daily, Rafizi berkata bahawa walaupun dia berhasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimennya dalam PRU akan datang, usahanya untuk berbuat demikian mungkin akan dilaksanakan tanpa menjadi ahli PKR.

"Saya rasa saya tidak akan bertanding sebagai calon PKR. Saya masih akan bertanding di Pandan, itu saya telah buat keputusan... Bagaimana saya akan bertanding di Pandan, saya rasa itu rahsia," katanya ketika itu.

Rafizi juga berulang kali mendakwa bahawa kerajaan menggunakan SPRM untuk menakut-nakutkannya, dengan agensi antirasuah itu memulakan dua siasatan berasingan terhadapnya.

Siasatan yang pertama melibatkan perjanjian kerajaan dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings, dengan dia dituduh terburu-buru memeterai perjanjian yang didakwa menelan belanja RM1.1 bilion.

Siasatan kedua melibatkan projek tenaga solar oleh UEM Lestra, ddengan dia dituduh mengendalikan kontrak bernilai RM2.5 bilion kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.

Rafizi menafikan sebarang salah laku berkaitan siasatan berkenaan dan sebaliknya mengancam akan saman kerajaan sekiranya siasatan SPRM itu tidak berakhir dengan pertuduhan terhadapnya.

Remaja lelaki warga Indonesia didapati bersalah bunuh kekasih

Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang remaja lelaki warga Indonesia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan membunuh kekasihnya yang juga rakan senegara di sebuah ladang sawit dekat Kalabakan, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos berkata, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekali gus mensabitkan tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah membuat kesimpulan bahawa kesalahan jelas menjurus kepada tertuduh yang membunuh mangsa.

“Mahkamah mendapati pembelaan tidak berjaya menggugat kes pendakwaan selain alibi yang dikemukakan gagal menepati beban pembuktian,” katanya ketika menyampaikan keputusan di peringkat akhir kes pembelaan, hari ini.

Mahkamah menetapkan 8 April depan bagi prosiding pendengaran laporan akhlak daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan tertuduh masih di bawah umur ketika kejadian sebelum hukuman diputuskan.

Mahkamah pada 10 Disember lalu memerintahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 13 Oktober lalu, pihak pendakwaan memanggil seramai 20 saksi untuk memberikan keterangan, manakala pihak pembelaan pula menampilkan tiga saksi.

Pada 13 Ogos 2024, tertuduh pemegang pasport Indonesia berusia 13 tahun (ketika kejadian) dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh kekasihnya Nur Zahirah Safarudin, 13, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemukan dalam parit di kawasan ladang berkenaan dengan kesan kecederaan di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Hon Min.

Pengerusi madrasah didakwa cabul wanita

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang warga emas yang juga pengerusi madrasah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita pengikutnya, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Salleh Hamzah, 70, mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan itu di hadapan Majistret Teoh Shu Yee, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 46 tahun dengan niat mahu mencabul kehormatannya di sebuah vila di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini pada kira-kira jam 9 pagi 1 November lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mengendalikan pertuduhan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Denial Khairul Hizam.

Terdahulu, Farah Nabihah mencadangkan jaminan RM8,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Namun Muhammad Denial merayu jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selain sentiasa memberi kerjasama dan hadir sepanjang siasatan dijalankan.

Menurutnya, tertuduh yang juga guru agama perlu menanggung isteri dan hanya bergantung kepada sumbangan anak serta orang awam sebagai penceramah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 berserta syarat dimohon pendakwaan sementara menunggu perbicaraan kes itu selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 14 April depan bagi serahan dokumen.

Ramai Gen Z berbuka di masjid, meluat dengan ‘pengawas makanan’

KOSMO!

PETALING JAYA – Orang ramai terutama golongan Gen Z meluat dan kesal dengan segelintir individu status ‘pak cik’ dan ‘mak cik’ didakwa ahli jawatankuasa masjid dikatakan suka marah tanpa sebab dan biadab sewaktu menegur jemaah yang hadir untuk berbuka puasa dan solat tarawih.

Keluhan itu dikongsikan orang ramai di media sosial, malah perbuatan ‘pak cik’ dan ‘mak cik’ dilabel seperti ‘pengawas makanan’ atau ‘pengawas masjid’ ini turut membuatkan mereka enggan pergi ke masjid yang dikatakan terlibat dengan perbuatan itu.

Seorang pengguna Thread Seridewiamin mendakwa mengalami pengalaman pahit berbuka puasa bersama keluarga di sebuah masjid di Johor apabila anaknya berusia tujuh tahun dimarahi dan tangannya didakwa direntap sewaktu sedang mengambil makanan.

“Kena hadap perangai mak cik ‘pengawas masjid’ ni, anak aku beratur nak ambil makanan, bila giliran anak aku, anak aku hulur tangan nak ambil, dia terus rentap tangan anak, ‘nah ambil cepat jalan’. Anak aku tercengang, anak baru tujuh tahun, teruja nak buka puasa masjid.

“Suami aku beratur nak ambil makanan dan nampak pinggan kuih yang ada sebiji kuih seri muka. Suami aku nak ambil yang ada kuih seri muka sebab anak suka. Baru nak ambil, pak cik yang jaga tu, ‘jangan memandai ambil sendiri’. Dia rampas pinggan tu, bila suami cakap, ‘maaf cik, saya nak yang ada seri muka’, dia jawab, ‘dah tu, tukar lah’.

“Dalam masjid, ada seorang anak kecil ni menangis. Dah tentulah mak budak tu pujuk cepat-cepat, mak cik pengawas ni terus bangun, ‘shhh shhh’, bagi jelingan,” dakwanya menerusi hantaran.

Seorang lagi pengguna Thread Syahidasahidan mendakwa, anaknya berdepan situasi tidak diingini ketika sedang mengambil makanan berbuka di masjid.

“Majoriti orang masjid macam tu, dia orang layan kita macam peminta sedekah. Anak aku nak ambil nasi, siap cakap lagi, ‘tadi dah ambil kan’. Bila masa pula anak aku dah ambil, kalau orang beratur tu nak ambil nasi, bagi saja lah tak payah tanya. Selalu tengok dia orang hari-hari nasi lebih bawa balik, dah selalu lebih,” katanya.

Pengguna Thread Mekyayaya turut berdepan pengalaman kurang senang sewaktu solat di sebuah masjid di Terengganu apabila ahli jawatankuasa masjid berkenaan didakwa memarahi jemaah dengan kasar.

“Dah 10 kali aku pergi sana, tetapi aku kena marah tak tahu pasal apa. Akhir sekali tarawih baru-baru ni, aku menjawab juga, terus senyap. Mak cik memang perhati dan bangun marah orang. Pergi dekat seorang-seorang ahli jemaah perempuan, nada marah ye, bukan menegur,” katanya.

Ada juga berkongsi pengalaman pahit di luar waktu Ramadan, termasuk pengguna Thread Alfatehmf yang pernah ditampar di kepala kerana tidak menjawab salam seorang pak cik, sedangkan dia orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

“Kejadian tahun lalu, kena tampar kepala gara-gara tak dengar orang bagi salam. Manalah nak dengar sebab tak pakai alat pendengaran. Rambut pula masih basah sebab baru lepas ambil wuduk. Sejak itu, saya elakkan masjid ini,” katanya merujuk kepada masjid tersebut di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Warga asing kendali bazar Ramadan?

Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendedahkan wujud bazar Ramadan yang dikendalikan warga asing, khususnya dalam penempatan mereka secara kecil-kecilan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, perkara itu dikesan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan berada dalam pemantauan pihaknya.

“Saya tidak menafikan ada koloni-koloni kecil yang mereka juga akan berniaga dalam kalangan mereka. Ini juga tidak terlepas daripada pemeriksaan kita.

“Namun, terdapat juga yang terlibat dalam kalangan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Sekiranya mereka memiliki kad yang sah dan sebagainya, kita tidak boleh mengambil tindakan undang-undang atau mendakwa mereka. Justeru, perkara itu menjadi kekangan kepada pihak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengagihkan bubur dalam Program Semarak Ramadan JIM, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya turut meningkatkan pemeriksaan terhadap warga asing yang berniaga di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati, ada warga tempatan yang dikesan menggaji warga asing secara tidak sah untuk bekerja di bazar Ramadan.

“Berdasarkan operasi sejak awal Ramadan lalu, kami telah memeriksa beberapa bazar di sekitar Lembah Klang dan menahan 23 warga asing,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, JIM menerusi Program Repatriasi Migran 2.0 mengesahkan lebih 100,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal sejak pelaksanaannya pada Mei tahun lalu.

Ia turut menjana hasil sebanyak RM88 juta kepada kerajaan dan masih berjalan, sebelum berakhir pada April depan.

Kebakaran lima maut: Jiran dengar jeritan ketika buat persiapan bersahur

Astro AWANI
RAUB: Kejadian lima sekeluarga maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, di sini awal pagi tadi, mengejutkan penduduk setempat yang hendak membuat persiapan bersahur.

Peniaga kedai runcit Ruslah Ismail, 64, yang tinggal berhampiran rumah mangsa berkata mendengar jeritan semasa mahu memasak nasi kira-kira 3 pagi tadi. 

“Saya terdengar jeritan dua kali. Ketika tengok rumah sebelah api sudah marak. Saya segera mengejutkan anak dan ambil barangan penting kerana bimbang api merebak,” katanya semasa ditemui di lokasi kejadian.

Wanita itu berkata terkejut dan panik kerana api begitu marak sebelum ketibaan bomba pada 4.15 pagi.

“Pasangan suami isteri itu berniaga makanan dan menetap di rumah terbabit hampir 10 tahun. Mereka memang baik dengan kami,” katanya. 

Sementara itu, pemilik rumah Nor Rizan Kamaluddin, 59, berkata rumah tersebut dibina selepas kediaman asal yang bersebelahan lokasi kejadian terbakar pada 2014.

Nor Rizan berkata kejadian berkenaan turut memberi kesan kepadanya kerana sudah mengenali keluarga itu sejak lama dan mereka banyak membantu arwah ibunya yang tinggal bersebelahan. 

“Lama mereka menyewa di rumah itu. Memang sangat terkejut dan sedih kerana anak mangsa membesar depan mata kami. 

“Mereka memang baik dan banyak membantu malah ketika ibu masih ada, mangsa yang akan menghubungi keluarga kami jika arwah ibu memerlukan apa-apa,” katanya. 

Pesara itu berkata dimaklumkan kejadian tersebut oleh jiran dan api masih marak semasa dia tiba di lokasi yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya pada 3.45 pagi. 

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata bomba tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi. 

Beliau berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.

-- BERNAMA

Identiti 5 mangsa kebakaran di Ulu Dong dikenal pasti

T N Alagesh
alagesh@nst.com.my

Raub: Identiti lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini, awal pagi tadi sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa adalah pasangan suami isteri dan tiga anak perempuan mereka yang berusia antara 10 hingga 17 tahun.

Katanya, pasangan itu dikenal pasti sebagai peniaga, Mohd Awi Muhammad, 56, dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, manakala anak mereka ialah Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10 tahun.

"Dua lagi anak pasangan itu tiada di rumah ketika kejadian. Anak perempuan mereka yang berusia 19 tahun sedang menuntut di sebuah kolej matrikulasi di Gambang, manakala anak lelaki berusia 15 tahun tinggal di asrama SMK Dong.

"Kesemua lima mayat dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shahril katanya, pihak polis menerima maklumat berkenaan kebakaran itu pada jam 3.40 pagi sebelum sepasukan anggota polis dan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Terdahulu, media melaporkan kebakaran itu turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal.

Pegawai imigresen cedera dirempuh semasa serbu pusat hiburan

Bernama

Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia cedera selepas dirempuh seorang warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Basri Othman berkata dalam operasi bermula 3.15 pagi, pegawai itu disyaki patah kaki kiri dan suspek kemudiannya melarikan diri.

“Suspek bertindak agresif semasa keadaan kelam-kabut di tangga premis sehingga pegawai kami terjatuh. Pegawai itu dikejarkan ke hospital dan dilaporkan stabil,” katanya kepada Bernama hari ini.

Basri berkata operasi melibatkan 85 pegawai dan anggota termasuk 15 daripada Pasukan Taktikal Khas (Pastak) dengan 48 daripada 98 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan itu ialah tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dengan mereka terdiri daripada warga Myanmar, Thailand dan beberapa negara Afrika. 

Selain itu, Basri berkata dua lelaki Nigeria ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai pengacara lagu (DJ).

“Mereka dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.

Basri berkata kebanyakan pengunjung dalam keadaan khayal dipercayai akibat alkohol ketika pemeriksaan dijalankan. 

Siasatan awal juga mendapati premis itu menggunakan khidmat wanita warga asing yang menerima tempahan dan menetapkan kadar bayaran melalui telefon.

Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

-Bernama

5 sekeluarga rentung kebakaran rumah di Pahang

Bernama

Polis berkata maklumat kebakaran itu diterima sekitar 3.35 pagi tadi.
Lima sekeluarga rentung dalam rumah di Raub 
Lima sekeluarga rentung dalam rumah di Raub Gambar JBPM 26226
Ketua Polis Raub Mohd Shahril Abdul Rahman berkata semua mangsa dijumpai selepas kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat dipadamkan. (Gambar JBPM)
RAUB: Lima sekeluarga ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Raub, Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat sekitar 3.35 pagi tadi.

“Sejurus pemadaman, kita menjumpai semua mangsa di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, semua mayat akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Razam Taja Rahim, berkata pihaknya tiba di lokasi pada 4.15 pagi dan kebakaran itu berjaya dikawal pada 4.48 pagi tadi.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan struktur rumah 100%, selain menyebabkan tiga kereta dan tiga motosikal turut terbakar.

“Pasukan Keluaran Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan seunit Emergency Medical Rescue Services dari BBP Raub terbabit dalam operasi itu, dengan bantuan lima anggota serta sebuah FRT dari BBP Lipis.