"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di dada Karpal ada bulan: Karpal memahat nama di hati PAS

Lim Hong Siang
Karpal Singh, Pengerusi DAP yang selama ini dilabelkan oleh media arus perdana milikan UMNO-BN sebagai "anti-Islam", "penderhaka Raja" dan sebagainya, berjaya memahat imej baru di hati penyokong Pakatan Rakyat, khususnya PAS.

Pemimpin ini terkenal dengan pertikaian yang dicetuskan, misalnya kenyataan kontroversial "langkah mayat saya untuk tubuhkan negara Islam", pertikaiannya terhadap PAS sebagai parti komponen PR, malah pernah mendesak agar Anwar Ibrahim meletak jawatan selepas rampasan kuasa di negeri Perak

Namun demikian, pemimpin yang digelar "Harimau Jelutong" ini menerima paling banyak tepukan, ketika menggulung perbahasan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat pertama, di Auditorium MBSA, Shah Alam pada petang ini.

Sikap Karpal Singh yang lurus amat "membimbangkan" sesetengah pihak, bahawa hujah yang "panas" mungkin terlanjur dari mulutnya. Apa yang berlaku di sebaliknya, Karpal Singh berjaya memahat imej yang baru ke hati penyokong PR pada hari yang bersejarah untuk pakatan politik ini.

Duduk di tengah antara Nik Aziz dengan Hadi

Beliau sendiri menceritakan bahawa setelah dilantik Jawatankuasa Pusat DAP untuk menggulung perbahasan, seorang sekretariat dari PR berkata "hey, jika Karpal Singh memberi ucapan, ini bermakna dia akan duduk sebelah Nik Aziz..."

Karpal menggelakkan satu dewan, sebelum disusuli dengan tepukan gemuruh apabila bertanya, "Apa masalah? Bukan (sahaja) saya duduk sebelah Tok Guru Nik Aziz, tetapi pertengahan Nik Aziz dan ...(Tuan) Guru Haji Hadi."

Sebelum ini, pengerusi majlis Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengatakan bahawa ini kali pertama Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat duduk bersama Karpal Singh, orang kuat DAP yang dianggap tidak sehaluan dengan pemimpin PAS. Malah, Nik Aziz yang berucap selepas Karpal, sempat berjenaka dengan mengatakan "Di dada Karpal ada bulan", merujuk kepada logo ketiga-tiga parti komponen PR yang tercetak pada baju pimpinan PR.

Karpal Singh sendiri mengakui bahawa, "hari ini adalah hari yang bersejarah. Kerana Parti DAP dengan PKR dan PAS kumpul di sini hari ini, untuk menunjukkan kepada semua rakyat...(bahawa) kita adalah gabungan parti yang kuat, satu gabungan yang dijayakan bukan sahaja parti-parti ini tetapi seluruh negara, seluruh rakyat."

Iktiraf pimpinan Anwar Ibrahim

Malah, Karpal Singh mengakui bahawa kerjasama antara PAS, DAP dan PKR dijayakan oleh seorang tokoh yang berwawasan dan bijaksana, iaitu Anwar Ibrahim. Walaupun pernah berbeza pendapat dengan Anwar Ibrahim dalam rancangan rampasan kuasa pada 16 September 2008, tetapi Karpal hari ini mengiktiraf kedudukan Anwar sebagai Pemimpin Umum Pakatan Rakyat.

Beliau mengakui tiada orang yang pernah bayangkan bahawa PAS akan duduk bersama DAP, tetapi Anwar Ibrahim telah melakukannya. Tambahnya, Anwar bukan sahaja menyatukan tiga parti, tetapi juga menyatukan rakyat seluruh negara.

Karpal seterusnya menyeru agar penyokong PR mengekalkan Anwar sebagai pemimpin umum, dan tidak membiarkan beliau disabit dan dipenjarakan sekali lagi.

"Sebagai salah seorang peguam di antara peguam yang lain, saya memberi jaminan di sini. Saya akan dengan kebolehan yang ada dalam tangan saya, untuk memastikan dia dilepaskan dari satu tuduhan yang tidak berasas!" janji Karpal disahut dengan laungan "Hidup Karpal" dalam dewan, menggelakkan dan meriuhkan satu dewan.

Bersihkan kehakiman

Karpal juga melontarkan jenaka apabila "memberi amaran bahawa terdapat penjara di Kajang", membalas apa yang dikatakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada sebelah pagi bahawa PR sudah sampai di Kajang dalam perjalanan menuju ke arah Putrajaya.

Walau bagaimanapun, beliau kembali serius dengan satu saranan kepada rakan seperjuangannya, iaitu "membersihkan kehakiman" setelah sampai di Putrajaya.

Karpal (gambar kiri) yang juga seorang peguam sudah 40 tahun berkecimpung dalam sistem kehakiman, menyelar ketempangan yang berlaku dalam badan ini, "Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditempatkan di sana. Bangunan world class tapi hakim-hakim yang third class."

Sekali lagi, Karpal mendesak agar Ketua Hakim Negara sekarang dipecat kerana mengakui bahawa dirinya pernah merasuah. Karpal juga mendedahkan bahawa tiga orang hakim yang berani membuat keputusan adil dalam beberapa kes baru-baru ini, telah ditukar ke bahagian lain.

"Kenapa semua ini? Apa yang harus dibersihkan adalah Ketua Hakim Negara sendiri!"

Baru-baru ini, Karpal Singh mencetus satu lagi kontroversi apabila mencadangkan bahasa Inggeris diterima sebagai bahasa rasmi kedua. Politikus veteran ini sempat menyindir musuh politiknya hari ini, apabila mendedahkan bahawa nama bangunan mahkamah pernah ditukar nama dari "Istana Keadilan" kepada "Palace of Justice", iaitu bahasa Inggeris yang merupakan "bahasa penjajah". Nama bangunan ini ditukar sekali lagi kepada Istana Kehakiman, apabila dibangkitkan dalam parlimen.

"Bukan nama bangunan itu yang significant. (yang penting) adalah keadilan diberi dalam bangunan itu..." katanya.

Baca: Kerja musuh jahat, celaka dan sial Anwar: Lawan habis-habisan!

Baca: Tuntutan perkauman sempit gagal tewaskan politik perkauman sempit

Baca: Dasar Pakatan Rakyat

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Laporan dari Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor.

-tranungkite-

Tiada ulasan: