"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Meng‘Umno’kan PKR dan PAS

Hazlan Zakaria
Saya tertarik melihat perkembangan politik semasa yang menampilkan parti-parti pembangkang seperti PKR dan PAS meniru langkah Umno di dalam menyelesaikan krisis MB Selangor hari ini. Langkah ini saya gelar sebagai proses meng‘Umno’kan sesebuah parti.
Walaupun mereka tidak berkongsi ideologi dengan parti Melayu itu atau bekerjasama bagi mempertahankan agenda ketuanan Melayu, parti-parti ini seakan berbicara dan berfikir seperti Umno.

Mungkin juga, perkara ini berlaku kerana PAS merupakan pecahan Umno manakala PKR pula terdiri daripada bekas pemimpin-pemimpin parti Melayu itu.
Isyarat pertama proses meng‘Umno’kan parti di dalam Pakatan Rakyat ini tercetus melalui suara-suara di dalam PKR, yang menjadi penghubung di antara PAS dan DAP.

“Jika anda tidak yakin dengan parti dan perjuangan para pemimpinnya bagi membasmi korupsi, anda dialu-alukan keluar,” gertak Rafizi di dalam mempertahankan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kongres parti itu hujung minggu lalu.

Akhbar Bahasa Inggeris The Star memetik beliau berkata demikian kepada para ahli PKR yang tidak yakin serta mempersalahkan Anwar kerana mencetus kekalutan yang berlaku hari ini.

Rafizi menumpukan perhatian terhadap mereka yang menuduh tokoh politik kelahiran Pulau Pinang itu mengamalkan nepotisme, dengan mengingatkan mereka bahawa kritikan boleh dibuat sekiranya menggunakan kaedah dan saluran yang betul.

Beliau juga mengingatkan mereka agar jangan menuduh sesiapa yang dipilih mengikut amalan demokrasi sebagai mengamalkan nepotisme, walaupun tidak menyebut tentang pemimpin yang tidak menjalani proses pemilihan.

Tiada juga kenyataan diberi tentang pemilihan parti yang berlanjutan selama beberapa bulan dan diselubungi pertelingkahan mahupun dakwaan bahawa pengaruh “pihak tertentu” memainkan peranan di dalam corak pengundian. Ini terutamanya terjadi apabila “pihak tertentu” itu merupakan tokoh atau idola yang dipuja-puji.

Sementara itu, beberapa hari kemudian, mesej yang sama juga dilaungkan pemimpin gabungan Pakatan Rakyat daripada PAS.

“... sesiapa yang tidak setuju PAS bersama-sama PR wajar meninggalkan parti dan ke tempat lain,” ujar AJK PAS Pusat Khalid Samad yang dipetik sebuah laman berita The Malaysian Insider.

Beliau membidas ahli-ahli PAS yang didakwa menyokong usaha menubuhkan Kerajaan Perpaduan (UG) kerana percaya parti Islam itu perlu bersama-sama saudara seagama dan Umno agar dapat mempertahankan kepentingan oranng-orang Melayu dan ajaran Islam.

Namun ia mungkin juga peringatan kepada ahli-ahli PAS agar berhati-hati supaya tidak melanggar keputusan parti di dalam membuat kenyataan peribadi.

PAS sering dilihat sebagai parti yang mementingkan disiplin tetapi jumlah ahli atau wakil rakyatnya yang rapat dengan pemimpin berpengaruh di dalam PKR telah membuatkan para pemerhati tertanya-tanya samada kesetiaan mereka telah beralih arah.

Ketika krisis jawatan MB Selangor, dua ahli dewan undangan negeri (ADUN) PAS yang berhubungan baik dengan PKR telah membelakangi keputusan parti sendiri apabila menandatangani surat menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku peneraju baru pentadbiran negeri.

Perkara ini berlaku sedangkan sesetengah ahli PAS berbicara soal gabungan dengan Umno di mana MB Tan Sri Khalid Ibrahim mampu dilantik menerajui pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Seperti juga Umno, keangkuhan ini menyaksikan mereka berkata pemimpin dan parti tidak mungkin berbuat salah. Amalan fanatik sebeginilah yang ditakuti kerana apabila dilakukan pemimpin-pemimpin politik, ia mampu memusnahkan negara tercinta.

Contohnya, Umno sering mengingatkan bahawa sesiapa yang tidak menyokong parti dan perjuangannya wajar berhijrah ke negara lain.

Kini, sikap yang sama seakan ditonjolkan pemimpin-pemimpin PKR dan PAS seperti Rafizi Ramli dan Khalid Samad. Pemerhati memang seharusnya gusar dengan perkembangan ini.

Di manakah sikap membenarkan perbezaan pendapat dan membudayakan perbincangan di dalam pakatan pembangkang? Di manakah dasar-dasar toleransi dan keputusan sebulat suara sedangkan mereka gemar melaksanakan dasar tidak ubah seperti Umno?

Di dalam konteks ini, adakah Anwar menjadi teras perjuangan paling utama di dalam PKR, sehingga sesiapa yang tidak setuju dengannya perlu keluar? Adakah kerjasama dengan Pakatan Rakyat paling dititik-beratkan sehingga sesiapa yang tidak gemarkannya, perlu keluar daripada PAS?

Nampak gaya politik Pakatan tidak membenarkan jalan tengah dilakar.

Saya hormati Rafizi dan Khalid Samad, tetapi saya percaya pandangan mereka menggambarkan proses meng‘Umno’kan parti.

Satu lagi contoh yang wajar diperkata ialah kekerapan PAS dan PKR menggunakan perkataan ‘rakyat’, bagi menerangkan pendirian mereka.

Ianya seolah-olah amalan Umno yang kerap menggunakan perkataan ‘kerajaan’ bagi menerangkan pendirian parti, mungkin kerana telah memerintah Malaysia sejak sekian lama.

Kini, PKR dan PAS pula gemar menggunakan perkatan “rakyat” lebih-lebih lagi bagi menggambarkan “harapan” rakyat.

Adakalanya, apa yang rakyat harapkan berbeza daripada perebutan kuasa di dalam Pakatan namun PKR dan parti komponen PR yang lain kekal memberi gambaran bahawa mereka melakukannya demi memenuhi “harapan” rakyat.

Rafizi ketika membidas Khalid Ibrahim berkata Khalid tidak boleh membubarkan Sidang DUN kerana ia bercanggah dengan hasrat “rakyat”.

Tidak pula kita dengar samada pungutan suara dijalankan bagi mengetahui hasrat sebenar rakyat; apa yang kita faham ialah PKR yang tak mahu Sidang DUN dibubarkan dan kempen ini diterajui pakar undang-undang PKR Dr Abdul Aziz Bari, yang menulis kolum di Semut Harian.

Adakah PKR mewakili suara Rakyat? Mungkin tidak; kerana mungkin mereka mendapat mandat di dalam PRU13 tetapi rakyat dibenarkan mempunyai pendapat berbeza dengannya. Sama seperti Umno bukan kerajaan dan kerajaan bukannya Umno.

Aduuhhh! Pakatan. Ketelusan, kesaksamaan, keadilan, kemajuan tidak hanya dibuat bahan perbincangan tetapi perlu dilihat diamalkan. Jangan hanya bercakap tentangnya, kerana politik lebih tertumpu kepada persepsi.

Tiada ulasan: