"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 soalan yang perlu Mustafa Ali jawab

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ada beberapa persoalan yang timbul berkaitan pencalonan PAS untuk jawatan Menteri Besar Selangor selepas perkembangan-perkembangan terkini.

Saya maklum bahawa ada pimpinan PAS yang berbeza sikap dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor. Atas sebab itu, pimpinan pusat parti itu telah bermesyuarat pada 17 Ogos 2014 untuk menentukan pendirian yang mahu diambil.

Umum maklum bahawa PAS mengekalkan pendirian yang telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, iaitu pada 23 Julai 2014, bahawa hak untuk menamakan calon Menteri Besar ada pada KEADILAN, dengan PAS mendakwa lebih daripada satu nama perlu dihantar seraya telah memberi cadangan dua nama, iaitu Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN yang kini merupakan Ahli Dewan Negeri Kajang dan juga Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN yang kini merupakan Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa.

Hasil daripada keputusan tersebut, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah diadakan pada hari yang sama, iaitu pada 17 Ogos 2014, dengan keputusan untuk menamakan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baru. Keputusan ini juga diperakui oleh Azmin Ali selaku calon kedua yang dicadangkan oleh PAS.

Bagaimanapun, beberapa kenyataan media yang dibuat pimpinan PAS kemudiannya, menunjukkan bahawa PAS mahu menghantar lebih daripada satu nama dan PAS akan mencadangkan nama-nama daripada kalangan Ahli Dewan Negeri yang mewakili KEADILAN.

Lebih mengelirukan adalah beberapa pendedahan terkini. Saya ingin bertanya:
a) Mengapakah wujud surat awal yang diakui oleh Setiausaha Agung PAS di mana tiga nama pimpinan PAS yang dicalonkan?

b) Mengapakah dalam kenyataan terkini dikatakan satu nama PAS dan dua nama KEADILAN pula yang dihantar? Bukankah ini melanggar persefahaman bahawa calon Menteri Besar Selangor adalah Ahli Dewan Negeri KEADILAN?

c) Mengapakah Setiausaha Agung PAS tidak mahu mengesahkan siapa nama calon-calon yang dihantar? Adakah nama-nama calon KEADILAN yang dihantar di dalam surat kali ini berlainan dengan keputusan PAS pada 17 Ogos 2014?

Penting untuk rakyat Selangor mendapat penjelasan segera agar segala kekeliruan dan tanda tanya dapat dijawab.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

Tiada ulasan: