"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersedia hadapi pilihan raya Selangor

Tan Jooi Long
Rabu ini merupakan hari penentuan menteri besar baru Selangor, atau yang seolah-olah paling mungkin, sama ada pilihan raya akan dijalankan bagi menyelesaikan kebuntuan mengenai pelantikan itu.

Adakah baginda Sultan akan menerima pencalonan tunggal PKR/DAP, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau baginda akan memberi mandat kepada calon-calon lain PAS?

Adakah baginda akan menolak pencalonan Wan Azizah dan memerintahkan PKR dan DAP untuk mencadangkan calon-calon lain, atau adakah baginda akan membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya baru?
Bagaimana pun, satu perkara adalah pasti. Jika pilihan raya baru dijalankan, PAS akan menjadi punca senario paling buruk, dan akan menerima beban kemarahan pengundi.

Pemimpin Pakatan Rakyat membunyikan amaran bahawa gabungan itu akan membayar harga yang besar dengan kehilangan kerusi, jika krisis Menteri Besar itu mencetuskan pilihan raya.

Gabungan itu juga boleh kehilangan kerajaan negeri kerana PAS juga mungkin akan kehilangan lebih separuh daripada 15 kerusinya, manakala DAP boleh kehilangan dua atau tiga daripada 15 kerusinya, dan tiga atau empat daripada baki 13 kerusi PKR selepas pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pakatan PAS, PKR dan DAP ini mungkin akan kehilangan kuasa di negeri ini kerana ia mungkin tidak mendapat lebih 25 kerusi daripada 56 kerusi dalam DUN itu.

Merdeka Center bagaimanapun menegaskan bahawa majoriti pengundi terus menyokong Pakatan di sebalik krisis kepimpinan yang berlarutan.

Kaji selidik baru-baru ini menunjukkan bahawa 57% daripada pengundi Selangor berkata, mereka masih akan memberikan Pakatan peluang untuk mentadbir negeri ini sekali lagi jika pilihan raya diadakan tidak lama lagi.

Hanya 29% daripada pengundi berkata mereka tidak akan memberikan gabungan itu mandat baru, manakala baki 15% tidak pasti.

Memandangkan hasil kaji selidik ini, hakisan sokongan pengundi tidak akan menyebabkan Pakatan kehilangan kerajaan negeri, tetapi ia akan mengurangkan majoriti lebih tiga suku mereka.

Dengan kiraan semasa berada pada 43 kerusi daripada 56 dalam Dewan Undangan Negeri, hanya perubahan besar-besaran yang akan menghakis majoriti itu.

Pakatan akan menang majoriti mudah dengan selesa, dengan kebanyakan kehilangan kerusi berlaku di pihak PAS.

Menang atau kalah, ramalan menganggap bahawa PAS, PKR dan DAP akan menyertai pemilihan baru sebagai sebuah gabungan yang utuh. Tetapi bagaimana jika PKR/DAP membuat keputusan untuk menamakan calon mereka di kerusi-kerusi PAS?

Pasti buruk padahnya bagi parti Islam itu. Tetapi ia juga mungkin bermakna bahawa Pakatan akan kehilangan kawalan terhadap Selangor.

PAS telah mengalami kerosakan yang lebih teruk berbanding sekutu-sekutunya dalam Pakatan.

Pengendalian kepimpinannya terhadap krisis MB ini tidak konsisten, mencerminkan pertelagahan di antara puak konservatif dan progresif yang juga boleh menyebabkan perpecahan dalam parti itu.

Perbezaan pendapat yang ketara juga mungkin membawa kepada perebutan kepimpinan dalam pemilihan parti itu tahun depan, jika bukannya pertarungan langsung di muktamarnya bulan depan.

Sementara itu, PAS berisiko kehilangan sokongan pengundi jika ia terus mengikuti jalan yang bertentangan dengan PKR dan sekutunya DAP.

Sekiranya pilihan raya negeri dilakukan, PAS akan mengalami kerugian yang terbesar dan menjadi punca kekalahan Pakatan.

Kempen hudud parti Islam ini telah menghakis sokongan pengundi bukan Islam, dan ia akan dihukum oleh pengundi bukan Melayu, jika ia berkempen di luar Pakatan.

PAS berkembang di luar kawasan pedalaman majoriti Melayu Kelantan, Terengganu dan Kedah pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Ia mendapat kejayaan di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor, memenangi 23 kerusi parlimen pada tahun 2008 dan 21 pada tahun 2013, berbanding hanya tujuh kerusi pada tahun 2004.

Nasib PAS dalam pilihan raya bergantung kepada komitmennya yang berterusan kepada Pakatan.

Jika tidak, parti ini memiliki risiko kehilangan kerusi campuran penting yang mempunyai pengundi bukan Melayu dan bukan Islam, kerana ia amat bergantung kepada sokongan padu itu untuk memenangi banyak kerusi, terutamanya di Selangor.

Sokongan pengundi Melayu juga akan merosot jika parti ini meninggalkan Pakatan. Pilihan terbaiknya jika mahu kekal relevan dalam politik adalah untuk kekal dengan gabungan itu.

PAS memenangi 15 kerusi negeri di Selangor pada pilihan raya umum tahun lepas, meningkat daripada hanya lapan pada tahun 2008.

Tujuh kerusi PAS sedang menghadapi risiko: Sabak, Dusun Tua, Seri Serdang, Paya Jaras, Sijangkang, Morib dan Tanjung Sepat, semua dimenanginya pada 2013 dengan majoriti di bawah 2,000 undi.

Malah naib presiden PAS, Salahuddin Ayub mengakui partinya bakal mengalami kerugian yang paling banyak melalui pilihan raya negeri.

PAS akan paling sengsara, katanya. "Jika kami gagal menyelesaikan masalah ini, Pakatan Rakyat mungkin kalah dalam pilihan raya negeri."

Tan Jooi Long merupakan bekas pengarang Bernama yang pernah menerajui operasi sebuah agensi berita AS yang berpengkalan di Asia Pasifik. Beliau juga kerap menulis Twitter.

Tiada ulasan: