"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr. Agus Yusoff dah tak mahu menulis takut didakwa di bawah akta hasutan?

Mohammad Agus Yusoff
Apabila rakan akademik saya didakwa, saya menjadi takut untuk menulis. Saya perlu takut kerana saya tidak mahu didakwa seperti beliau.
Tetapi, sebagai guru politik apakah wajar jika saya mendiamkan diri sahaja tanpa berkongsi idea dengan rakan-rakan yang lain jika saya mempunyai idea dan pendapat politik yang hendak disampaikan?

Saya fikir jika diam, saya tidak adil kepada amanah yang saya pegang. Amanah saya ialah untuk menyampaikan ilmu dan memberi pandangan balas kepada sesuatu isu politik yang saya fikir perlu diperbetulkan. Bukan untuk mencabar sesiapa atau membenci atau menyukai sesiapa, tetapi untuk kita saling menegur bagi mendapatkan yang terbaik antara yang baik.

**************************

Saya tidak mengenali Azmi Sharom secara rapat. Saya pernah menemu bual beliau sekali dalam Rancangan Hujah dalam TV9 yang saya kendalikan suatu waktu dulu. Selepas itu, saya mengenali beliau melalui tulisan beliau dan melalui perbincangan dengan kawan rakan.

Satu yang dapat saya katakan dari pengamatan saya, Azmi seorang yang tenang dan mempunyai pandangan politik dan undang-undang yang jujur. Beliau tidak mengata orang dan menulis berdasarkan pandangan ilmu yang ada pada beliau.

Jadi apabila beliau didakwa, saya berasa terkilan jika saya tidak menulis pandangan saya tentang beliau. Pandangan saya tentang Azmi ialah beliau seorang yang berotak dingin (baca: tenang), menulis dalam keadan yang terkawal dan paling penting memberikan pandangan berdasarkan ilmu yang beliau yakini benar.

Pandangan beliau mungkin salah dan mungkin betul. Ilmu undang-undang dan politik adalah begitu. Ia banyak bergantung kepada tafsiran seseorang. Dan janganlah kerana kita mempunyai perbezaan tafsiran, maka kita tidak boleh menerima kelainan tafsiran kita dengan beliau.

***************************

Saya menulis tentang Azmi ini kerana satu lagi sebab yang paling penting, yakni kebebasan akademik. Saya tahu kebebasan akademik mesti ada batasannya. Tidak ada kebebasan mutlak. Itu saya tahu.

Tetapi dalam dunia akademik, janganlah kebebasan untuk mempunyai pandangan berbeza itu disekat. Jangan takutkan golongan cendikiawan. Mereka adalah harta negara yang kita perlu jaga.

Yakinilah kehebatan sesebuah universiti itu bukan terletak pada bangunannya yang cantik tetapi terletak kepada keupayaan mahasiswa dan pensyarahnya untuk berbincang, mengkaji dan menulis dalam suasana yang mempunyai ruang untuk meraikan persamaan dan juga perbezaan.

Doa saya untuk Azmi Sharom.

Tiada ulasan: