FMT Reporters
Empat bekas ADUN Melaka sedang meneliti dan memperhalusi setiap tawaran sebelum membuat sebarang pengumuman.
PETALING JAYA: Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka akan membuat keputusan Selasa depan untuk menyertai mana-mana parti politik bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan pada 20 November depan.
Perkara itu dimakluman bekas ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan di mana beliau dan tiga lagi bekas ADUN akan mengumumkan perkara itu selepas Pakatan Harapan (PH) enggan menerima mereka.
Katanya, walaupun PH menolak bekas ADUN Pengkalan Batu sebagai calon mereka, namun sudah ada tawaran dibuat daripada parti politik lain.
“Saya melihat di media sosial yang disampaikan Lim Kit Siang dan beberapa parti dalam Pakatan Harapan (PH) menolak Norhizam Hassan Baktee. Bunyinya macam menolak empat lagi bekas ADUN, saya dihubungi Norhizam mengatakan apa akan berlaku pada diri kita.
“Sebenarnya ada beberapa parti menghubungi kita, akan mengambil kita jika PH tidak mahu. Nanti dulu, Insyaallah minggu depan akan buat keputusan, Insyaallah kami bersama-sama, tidak boleh seorang pun tertinggal,” menurut laporan Sinar Harian.
Jelas Nor Azman, meskipun banyak tawaran diterima menjelang PRN Melaka, mereka sedang meneliti dan memperhalusi setiap tawaran sebelum membuat sebarang pengumuman.
“Jadi kami akan tengok di mana masa terdekat dan Insya-Allah kami akan berbincang hala tuju kami, macam mana tetap akan bertanding.
“Ada beberapa parti, mahu berjumpa dengan saya pada Isnin. Banyak tawaran datang bertanding kepada PRN,” katanya.
Selain Nor Azman, tiga lagi ADUN yang menarik sokongan iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam (Pengkalan Batu) menyebabkan kerajaan negeri tumbang selepas hilang majoriti.
Ketua Menteri Sulaiman Md Ali mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu sebagai usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan