"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Israel musnahkan ladang zaitun milik petani Palestin di Tebing Barat

Buletin TV3 
Ladang pokok zaitun yang didakwa dimusnahkan oleh Israel di Al-Mughayyir, utara Ramallah, Tebing Barat yang diduduki Israel. – Foto AFP
AL-MUGHAYYIR: Israel menggunakan jentolak untuk memusnahkan ratusan ladang di Kampung Al-Mughayyir dekat Tebing Barat semalam dengan kehadiran tentera Zionis, menurut wartawan AFP yang menyaksikan tindakan itu.

Kebanyakan dipercayai ladang pokok zaitun yang penting kepada ekonomi dan budaya di wilayah berkenaan.

Sejak sekian lama, kebun pokok zaitun menjadi titik panas pertembungan berdarah antara petani Palestin dan peneroka haram Israel.

Seorang petani tempatan dari kampung berdekatan Ramallah, Abdelatif Mohammed Abu Aliya, berkata dia kehilangan pokok zaitun berusia lebih 70 tahun di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar.

“Mereka menumbangkan dan meratakan semua dengan alasan palsu,” katanya sambil menjelaskan dia dan penduduk lain mula menanam semua pokok yang dimusnahkan itu.

Menurut jurugambar AFP di lokasi kejadian, kebun di situ diratakan, pokok zaitun tumbang dan kelihatan beberapa jentolak sedang giat beroperasi di bukit mengelilingi kampung terbabit.
Foto AFP
Salah sebuah jentolak memaparkan bendera Israel, manakala kenderaan tentera rejim Zionis diletakkan berhampiran.

Ketua sebuah persatuan pertanian tempatan, Ghassan Abu Aliya, berkata tentera Israel bukan hanya berkawal tetapi memaksa orang kampung di situ meninggalkan kawasan berkenaan.

“Tujuan mereka ialah mengawal dan memaksa orang ramai meninggalkan kampung. Ini baru permulaan dan ia akan merebak ke seluruh Tebing Barat,” katanya.

Penduduk kampung terbabit memberitahu kerja menebang dan memusnahkan kebun berkenaan bermula sejak Khamis lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin melaporkan 14 orang ditahan di kampung itu dalam tempoh tiga hari.

Sementara itu, tentera Israel semalam memberitahu mereka kononnya melancarkan aktiviti operasi intensif di kawasan itu, berikutan berlaku satu serangan tembakan serius berhampiran kampung menyaksikan berlaku tangkapan seorang pemuda warga Palestin.

Pada 16 Ogos lalu, pihak berkuasa Palestin melaporkan seorang pemuda berusia 18 tahun ditembak mati oleh tentera Israel di kampung sama selepas dibaling batu, tetapi tidak mengaitkan secara langsung dengan kematian pemuda itu. – AFP

Tiada ulasan: