"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Empat lelaki didakwa bunuh anggota polis

Buletin TV3 
Foto NSTP
Foto NSTP
ALOR SETAR: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada 7 Ogos lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25; dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34, dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa membunuh anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.43 petang, 7 Ogos lalu, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf di sini.

Berikutan itu, suspek didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara atau maksimum 40 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula dan pemindahan kes bagi sebutan semula di Mahkamah Tinggi.

Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika sedang menjalankan tugas menahan suspek kes pecah rumah yang cuba melarikan diri berhampiran Taman Golf di sini, pada 7 Ogos lalu.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek.

Tiada ulasan: