"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut terjatuh dari bumbung kilang ketika cuci panel solar

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Pekerja syarikat sub kontraktor dilaporkan maut selepas terjatuh dari bumbung lutsinar setinggi 9.14 meter (m) ketika menjalankan kerja pembersihan panel solar di sebuah kilang di sini, tengah hari semalam.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata, insiden itu berlaku jam 12.15 tengah hari membabitkan lelaki warga tempatan berusia 21 tahun.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Sungai Bakap (HSB).

"Susulan kematian mangsa, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan Notis Larangan kepada pihak terbabit serta mengarahkan memberhentikan aktiviti kerja sehingga tindakan pembetulan dibuat.

"Pihak JKKP negeri juga akan menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian berhubung insiden ini.

"Tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang oleh pihak yang terbabit," katanya.

Menurutnya, setiap majikan dan kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya memastikan sistem kerja selamat disediakan, dinilai dan dipatuhi sebelum pekerja diarahkan menjalankan kerja berisiko tinggi.

"Kegagalan berbuat demikian adalah suatu kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"JKKP memandang serius sebarang kemalangan membabitkan kerja di tempat tinggi kerana ia salah satu penyumbang utama kepada kemalangan maut di tempat kerja.

"Justeru, semua pihak industri diingatkan supaya mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya termasuklah penyediaan 'anchorage point' (titik tambatan) yang sesuai, latihan keselamatan berterusan, serta penguatkuasaan pematuhan prosedur kerja selamat," katanya.

Tiada ulasan: