"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita warga Indonesia parah ditikam bekas suami di Banting

Sinar Harian

Keadaan di lokasi kejadian kes tikam seorang wanita pada Isnin. (Gambar kecil: Akmalrizal)

KUALA LANGAT: Seorang wanita warga Indonesia parah selepas ditikam bekas suaminya di Jalan Redan, Kanchong Darat, Banting pada Isnin dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa selepas bercerai.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, suspek turut menuduh majikan mangsa menghasut wanita itu supaya tidak merujuk semula hubungan perkahwinan mereka.

“Kita masih mengesan suspek berusia 45 tahun. Senjata yang dipercayai sebilah pisau turut dibawa lari oleh lelaki itu,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun ditikam di bahagian kiri perut oleh suspek yang juga warga Indonesia.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Zon Merah Hospital Banting dan pemeriksaan awal mendapati beliau mengalami pendarahan dalaman sebelum menjalani pembedahan.

Mohd Akmalrizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau balai polis berhampiran. -Sinar Harian

Tiada ulasan: